KOTA MARUDU: Kejayaan penganjuran Karnival Pendidikan Parlimen Kota Marudu pada 21 Mac 2013 yang lepas telah menyuntik semangat Jawatankuasa Penganjur untuk meneruskan program transformasi pendidikan di Kota Marudu dengan menganjurkan satu lagi program untuk manfaat para pelajar Kota Marudu.Jurucakap penganjur program Wellson Magusun berkata program 'Selangkah Ke Menara Gading' bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan diadakan di Dewan Komuniti Kota Marudu pada 28 Mac ini.Ia merupakan salah satu pendekatan 'turun padang' UMS untuk memperkenalkan semua kursus yang ditawarkan kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, katanya."Program satu hari ini akan bermula pada jam 8.00 pagi dan akan membawa bersama kakitangan dari semua sekolah dan fakulti di UMS untuk berjumpa dengan para pelajar dan penduduk Kota Marudu," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.Sehubungan itu, Wellson mempelawa semua pelajar yang baru menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia serta mereka yang bakal menduduki peperiksaan tahun ini untuk menghadiri program pendidikan itu."Kita berharap para ibubapa akan datang bersama dengan anak-anak mereka kerana ini adalah peluang terbaik untuk mendapat maklumat secara langsung daripada pihak UMS," katanya.Wellson berkata program itu adalah inisiatif Pejabat Parlimen Kota Marudu bersama UMS, dan perasmian majlis berkenaan akan disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri D. Maximus Ongkili yang juga anggota Parlimen Kota Marudu. BERNAMA