suria

UniMAP, IPTA Pertama Anjur Perlumbaan Formula Di Litar Miliknya

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi universiti pertama menganjurkan perlumbaan Formula UniMAP di litar miliknya di Pauh Putra dekat sini yang akan diadakan selama tiga hari mulai Jumaat ini.

Pengarah program Formula UniMAP 2013, Dr Shariman Abu Bakar berkata di sini hari ini, perlumbaan itu adalah perintis bagi penggunaan litar sepanjang 1.2 kilometer yang baharu siap dibina bernilai RM1.8 juta dan mendapat pengiktirafan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) pada penghujung Ogos lalu.

Perlumbaan itu akan disertai 16 pasukan dari institusi pengajian tinggi awam tempatan termasuk satu dari Karpagam University, India dan akan dirasmikan Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Menurutnya, acara membabitkan 25 jentera itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM12,000 melalui enam kategori iaitu juara keseluruhan, perlumbaan akhir, pembentangan terbaik, masa kelayakan terbaik, reka bentuk dan inovasi terbaik serta pecutan dan berhenti terbaik.

"Kami amat berbangga kerana Formula UniMAP menjadi perlumbaan pertama anjuran institusi pengajian tinggi yang turut mendapat penyertaan antarabangsa iaitu Karpagam University, India," katanya ketika ditemui di sini. "Setelah diiktiraf AAM, litar ini secara tidak langsung boleh digunakan untuk sebarang penganjuran perlumbaan peringkat antarabangsa dan kami juga akan menganjurkan lebih banyak perlumbaan pada masa akan datang," kata Shariman.

Secara tidak langsung, kegiatan di litar ini berupaya menarik golongan remaja terutama di Perlis bergiat aktif dalam sukan permotoran, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain