suria

Makmal Kalibrasi Biomedikal Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Bertaraf Antarabangsa

KP Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar

SHAH ALAM: Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini menjadi organisasi pertama di negara ini ang mempunyai makmal kalibrasi bioperubatan berakreditasi MS ISO 17025 setaraf antarabangsa.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar berkata, pensijilan itu merupakan yang pertama dalam sistem politeknik dan menjadi satu kejayaan yang amat membanggakan bagi warganya.

"Makmal ini kita bina untuk 'calibrate' pelbagai peralatan hospital dan ia telahpun diberi pengiktirafan daripada Jabatan Standard Malaysia kerana memenuhi keperluan piawaian antarabangsa," katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, kewujudan makmal itu diharap dapat mengurangkan kos yang ditanggung bagi aktiviti kalibrasi peralatan bioperubatan yang selama ini terpaksa dilakukan di luar negara.

Menurut Mohlis, makmal bernilai RM3.5 juta yang dibiaya Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Sirim Berhad itu mula dibangunkan pada Januari 2012 dan kini bersedia memulakan operasinya.

Makmal ini dilengkapi lebih 30 peralatan kalibrasi dengan kekuatan 10 tenaga pengajar, katanya.

"Kalibrasi amat penting dan perlu dilakukan kerana ia menentukan bacaan tepat bagi setiap peralatan biomedikal yang digunakan.

"Sirim ada teknologi (kalibrasi) itu cuma tiada pengkhususan, maka 'assets investment' yang dilabur kementerian ini amat tepat dalam meningkatkan perkhidmatan kita setaraf dunia," katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara PSA yang diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Sirim Standards Technology Sdn Bhd yang diwakili Presiden dan Ketua Eksekutif Sirim Berhad Dr Zainal Abidin Mohd Yusof.

Sementara itu, Zainal berkata kerjasama yang dijalin dengan PSA membolehkan industri bioperubatan di negara ini berkembang dengan pesat dalam memberi perkhidmatan teknikal yang lebih berkualiti kepada pesakit dan masyarakat.

Katanya, melalui MoA itu, Sirim akan mempertingkatkan penampilan dan kualiti perkhidmatan kalibrasi PSA melalui penjenamaan dan pemasaran selain memperkukuh keupayaan operasi makmal tersebut menerusi pelbagai program latihan, pemindahan teknologi, program pemantauan dan pembangunan modal insan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia