SUBANG JAYA: Taylor's College akan menganjurkan satu forum khas mengenai cara-cara memilih kursus yang sesuai di universiti untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Forum selama sejam itu akan berlangsung pada Sabtu ini dari jam 11 pagi di kampus kolej berkenaan di sini. Ia adalah untuk membantu lepasan-lepasan SPM dan ibu-bapa membuat pilihan kursus yang sesuai di peringkat tinggi berdasarkan keputusan SPM mereka di samping tips untuk berjaya dalam akademik, tips tentang kehidupan di kampus dan mengenalpasti kehendak dan kemampuan diri. Taylor's College, dalam satu kenyataan menyebut, satu kajian yang dijalankan oleh sebuah universiti di Amerika Syarikat mendapati, 80 peratus pelajar tidak pasti apakah mereka telah membuat pilihan kursus yang betul ketika memasuki universiti dan 50 peratus lagi didapati menukar pengkhususan kursus mereka sekurang-kurangnya sekali sebelum tamat belajar. Ini menurut kenyataan itu adalah satu pembaziran masa, tenaga dan juga wang ringgit. Forum yang bakal berlangsung nanti akan membantu para pelajar membuat pilihan yang betul dalam memilih kursus dan juga kerjaya mereka berdasarkan keputusan peperiksaan SPM. Ia adalah percuma dan terbuka untuk semua.