USIANYA masih muda, baru 14 tahun. Letaknya pula di negeri paling kecil di Malaysia dan paling ke utara tanah air, dengan persekitaran yang sunyi dan damai, jauh daripada hiruk pikuk kota. Namun dalam usia muda ini Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah membuktikan keunggulannya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berwibawa. UniMAP yang ditubuhkan pada 25 Julai 2001 sebagai IPTA ke-17, pada asalnya ialah Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM). Di awal kelahirannya pada 2011, universiti ini sememangnya dianggap tidak glamor dan tidak sehebat IPTA lain yang sudah ‘established’. Itu cerita 14 tahun lalu. Hari ini UniMAP, dengan kampus tetapnya di Pauh serta pusat pengajian yang bertaburan di beberapa bahagian negeri Perlis, berdiri megah sebagai sebuah `universiti kejuruteraan’ yang berprestij. Ia menjadi pilihan ramai pelajar dalam dan luar negara untuk mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang kejuruteraan. Sekalipun kejuruteraan adalah asas dan teras pengajian di UniMAP , bidang keusahawanan dan perniagaan juga ditawarkan. Majlis Konvokesyen ke-10 pada 19 hingga 21 September lalu sangat bermakna bagi UniMAP. Sudah sedekad ia mengurniakan ijazah kepada para graduannya. Buat pertama kali juga konvokesyen diadakan di Dewan Ilmu di kampus tetap di Pauh, menggantikan Dewan Wawasan di Kangar. UniMAP membuktikan usia muda bukan penghalang untuk merentas kemajuan dan kejayaan. Sehingga majlis Konvokesyen ke- 10 itu, UniMAP sudah melahirkan 12,000 graduan di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falasafah melalui pelbagai program pengajian kejuruteraan dan perniagaan yang ditawarkan. Sepanjang usia 14 tahun, UniMAP membuktikan ia mampu melahirkan jurutera berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan negara. Pengajian yang dijalankan dengan memberi penekanan kepada latihan atau ‘hands on’ melengkapkan pelajar dengan dengan pengetahuan teori dan amali yang menepati keperluan pasaran kerja. Hasilnya, sebilangan besar graduan UniMAP berjaya mendapat kerja sebaik tamat pengajian. Rekod kebolehpasaran lulusan UniMAP sejak 2014 begitu memberangsangkan apabila 86 peratus graduan berjaya mendapat pekerjaan sehingga Februari 2015. Mereka ini samaada bekerja dengan kerajaan, syarikat multinasional, syarkat swasta dan GLC atau bekerja sendiri. Selainnya menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi. Bagi tahun ini, 71 peratus daripada 1,942 graduan yang menerima ijazah sarjana muda pada Konvokesyen ke- 10 telah mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor atau menjalani latihan di syarikat-syarikat tertentu. Biasanya mereka akan diserap selepas menamatkan latihan. Kecemerlangan UniMAP juga terserlah dalam bidang penyelidikan apabila banyak menempa kejayaan dalam dan luar negara. Sekadar mengambil beberapa contoh, UniMAP menang tiga emas dan satu perak dalam Pameran Penciptaan Produk dan Idea Baru Antarabangsa (IENA) di Jerman pada Oktober 2011. Pada Mei 2013, UniMAP mencipta kejayaan gemilang apabila kesemua 10 produk penyelidikannya menang pingat emas pada pertandingan Asian Young Inventors for Young Inventors (AYIE) di Kuala Lumpur. Pada Mac 2014, UniMAP muncul juara keseluruhan Malaysia Technology Expo (MTE 2014), juga di Kuala Lumpur dengan memenangi 15 pingat emas, 11 perak dan lapan gangsa. Jumlah ini menampakkan peningkatan lebih baik daripada tahun sebelumnya apabila hanya memenangi tujuh emas, 11 perak dan 10 gangsa melalui pertandingan yang sama. Selain itu, empat penyedidik UniMAP menang enam anugerah pada pameran British Invention Show (BIS) 2014 pada Oktober 2014 di London dan satu anugerah khas daripada Huller Pro Invention Foundation di Poland. UniMAP juga memenangi pingat emas serta anugerah utama Persatuan Rekacipta Harta Intelek Dunia (WIPPA) pada Ekspo Kajian Teknologi Hijau (GTRex) di Vietnam pada Disember 2014. Kejayaan dicapai melalui salah seorang penyelidik universiti itu, Profesor Madya Dr. Zainab Hamzah. Pada April 2015 UniMAP meraih 111 pingat pada International Engineering Invention dan Innovation Exhibition (i-Envex) 2015 yang diadakan di kampus Pauh. Pada pameran ini, UniMAP menang 44 pingat emas, 47 perak dan 20 gangsa daripada 126 produk yang dipertandingkan. Kejayaan yang diraih oleh UniMAP terutama dalam aspek akademik pula, melayakkan ia menerima pengiktirafan dan penarafan baik daripada badan penarafan dunia. Pihak QS Intelligence Unit , yang berpejabat di United Kingdom, memberi penarafan QS Stars 3 Bintang secara keseluruhan . Seperti yang ditegaskan oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Kamarudin Hussin, amat sedikit universiti yang berusia di bawah 15 tahun berupaya mencapai taraf tiga bintang secara keseluruhan. Menurutnya, UniMAP juga bertaraf lima bintang untuk kriteria Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) serta kemudahan prasarana. Ini membuktikan kualiti P&P serta persekitaran UniMAP kini berada di tahap yang sangat membanggakan. Dalam QS Asian University Rankings yang melaksanakan penilaian ke atas institusi pengajian tinggi di Asia berdasarkan kriteria penilaian seperti maklum balas majikan, pengajaran-pembelajaran, penyelidikan dan pengantarabangsaan , UniMAP berada di kedudukan 226 sekali gus menjadikannya universiti ke- 10 terbaik di Malaysia. Bagi QS World University Ranking, berdasarkan pestasi semasa, UniMAP disasarkan berada pada kedudukan di antara 750 hingga 780 . Menjelang tahun 2020 sasaran UniMAP adalah untuk berada pada kedudukan di antara 500 universiti terbaik dunia. Dalam penarafan tempatan pula, UniMAP diberikan penarafan empat bintang untuk MyRA (My Research Assesment). Sekali gus UniMAP menduduki tempat lapan terbaik di negara ini. Kejayaan yang dicapai oleh UniMAP sehingga ini daripada segi prestasi akademik, kebolehpasaran graduan, kejayaan penyelidikan dan ranking universiti, menyerlahkan bahawa walaupun universiti ini masih muda dan masih ‘kecil’ , pencapaiannya amat membanggakan sehingga memintas IPTA yang lebih `tua’. UniMAP adalah ibarat cili api, walaupun kecil pedasnya amat terasa. Dengan segala program pembangunan dan penambahbaikan terus dirancang, penawaran kursus-kurus yang relevan dengan kehendak pasaran serta peningkatan kebolehanpasaran graduannya, UniMAP akan terus bergerak maju mencapai kejayaan lebih gemilang.