suria

Jambatan bakal lonjak pembangunan pulaupulau di Semporna

PERLU menaiki bot dua kali sebelum sampai ke pekan, di tanah besar Semporna, sudah menjadi kebiasaan bagi Indarukiah Subaiton, seorang guru prasekolah di Pulau Omadal, berhampiran Pulau Bum Bum.

Indarukiah, 33, mulanya akan mengharungi ombak menggunakan bot ke jeti Gusung Melanta di Pulau Bum Bum sebelum menaiki kereta sapu merentasi Pulau Bum Bum ke jeti Balembang dan dari situ Indarukiah akan menaiki sebuah lagi bot untuk ke tanah besar Semporna.

Rutin harian Indarukiah ini merupakan pengalaman biasa bagi guru sepertinya yang mengajar di pulau-pulau di sekitar Semporna apabila keluar ke pekan mendapatkan keperluan harian atau menjalankan urusan rasmi.

Nurmirah Waty Amirjal, pelajar Tingkatan 6 Atas di SMK Bum Bum pula kadang kadang terpaksa masuk ke kelas dalam keadaan basah kuyup kerana disimbah air laut dan hujan ketika menaiki bot ke sekolahnya, terutama pada musim tengkujuh.

Selain basah kuyup, Nurmirah Waty,19, kadang-kadang terlewat masuk kelas kerana dia dan rakan-rakannya yang tinggal di tanah besar Semporna, perlu meredah laut ke Pulau Bum Bum sebelum menaiki kereta sapu untuk tiba di sekolah. Pengalaman cemas menaiki bot Liana Jamdi pula pernah menyaksikan sebuah kereta yang dibawa dari tanah besar Semporna menggunakan dua buah bot yang diubahsuai menjadi seperti sebuah feri,terjatuh ke dalam laut ketika cuba dinaikkan ke atas jeti di Balembang.

Mujurlah peristiwa yang menimpa penduduk Pulau Bum Bum yang berlaku di hadapan mata Liana itu tidak sampai mengakibatkan kemalangan jiwa.

Liana, 34, seorang suri rumah yang berasal dari Pulau Bum Bum, berkata upah bagi membawa kenderaan dari tanah besar ke Pulau Bum-Bum menggunakan dua bot yang dikembarkan, biasanya antara RM150 hingga RM250.

Pengalaman Liana dan segala kesukaran yang terpaksa dilalui Indarukiah dan Nurmirah Waty serta lebih 30,000 orang penduduk Pulau Bum Bum bakal suatu hari nanti akan tinggal kenangan apabila sebuah jambatan akan dibina menghubungkan tanah besar dengan Pulau Bum Bum seperti yang diumumkan kerajaan.

Semasa membentangkan Bajet 2009 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan peruntukan berjumlah RM3 bilion untuk Sabah membina pelbagai kemudahan awam di negeri ini termasuk pembinaan jambatan Semporna-Pulau Bum Bum.

Jika jambatan menjadi kenyataan

"Sejak berpuluh-puluh tahun, perahu dan bot inilah menjadi alat pengangkutan penduduk di pulau-pulau sekitar Semporna untuk ke pekan termasuk penduduk dari Pulau Bum Bum.

"Sudah begitu lama kami nantikan berita gembira ini. Saya berharap projek pembinaan jambatan berkenaan dapat dilaksanakan secepat yang boleh kerana ia amat diperlukan bukan sahaja bagi penduduk Pulau Bum Bum dan penduduk pulaupulau lain malah, penduduk tanah besar sendiri," kata Liana.

"Bagi saya, jika ada jambatan, ramai pelajar tidak akan tinggal di asrama di Pulau Bum Bum kerana lebih selesa hidup bersama ibu bapa. Pelajar boleh ke sekolah dengan menaiki kenderaaan darat melalui jambatan berkenaan," kata Nurmirah Waty, yang berasal dari Kampung Kabogan, di tanah besar.

"Naik bot kemudian naik kenderaan kemudian naik bot lagi memang memenatkan. Biasanya kami akan melalui semua ini empat kali seminggu. Malah kadang kadang setiap hari dalam seminggu," kata Indarukiah ketika ditemui bersama dua orang rakannya, juga guru di Pulau Omadal, ketika menunggu bot untuk balik ke Pulau Omadal.

Pemangkin kemajuan

Pegawai Daerah Semporna A.M Ibnu A.K Baba yang turut berkongsi kegembiraan berikutan pengumuman Perdana Menteri itu berkata pembinaan jambatan itu bakal melonjakkan pembangunan sosio ekonomi masyarakat Semporna khususnya Pulau Bum Bum.

Bukan itu sahaja katanya malah jambatan berkenaan juga akan menjadi pemangkin kepada perancangan pembangunan Semporna sebagai hab sumber laut dan pelancongan seperti yang digariskan di dalam Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

A.M Ibnu berkata Semporna merupakan pengeluar rumpai laut terbesar di Sabah dan jambatan itu nanti akan memudahkan pengangkutan keluar rumpai laut yang selama ini bergantung kepada pengangkutan laut.

Pelan pembangunan daerah Semporna juga mungkin perlu dirancang semula bagi mengambil kira cadangan pembinaan jambatan ke Pulau Bum Bum.

"Sebelum ini, kita merancang membina pelabuhan di Kampung Selamat. Bagaimanapun, berikutan perkembangan terbaru ini, kemungkinan pembinaan pelabuhan berkenaan akan dipindahkan ke Pulau Bum Bum kerana perairan di sana lebih dalam.

"Ini bagi memudahkan kapal pelancong dari dalam dan luar negara untuk berlabuh. Saya juga tidak menolak kemungkinan sebahagian pengusaha pelancong akan mengubah pusat operasi mereka ke Pulau Bum Bum," katanya.

A.M Ibnu berkata pihaknya akan berbincang dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SedcO) untuk memesatkan pembangunan dan menjadikan Pulau Bum Bum serta Semporna, hab industri laut dan pelancongan.

Pembangunan sektor berkenaan bukan sahaja akan membawa limpahan ekonomi kepada penduduk Pulau Bum Bum tetapi akan membantu meningkatkan taraf hidup mereka yang sebelum ini agak ketinggalan, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain