SAAT GEMBIRA... Gambar fail menunjukkan mendiang naib presiden Gerakan Datuk Dr S. Vijayaratnam ketika memenangi jawatan itu pada pemilihan parti yang diadakan di Menara PGRM, Kuala Lumpur Oktober lepas. Vijayaratnam memperolehi undi kedua terbanyak (678 undi) pada pemilihan itu. --fotoBERNAMANAIB Presiden Gerakan Senator, Datuk Dr. S. Vijayaratnam, yang lahir dalam keluarga ahli politik, terkenal dalam kalangan anggota parti itu sebagai seorang yang lembut tutur kata dan gemar membantu sesama manusia.Kematian beliau bukan saja merupakan kehilangan besar bagi Gerakan tetapi juga bagi Barisan Nasional (BN) kerana mendiang merupakan seorang yang rasional dan berhemah tinggi dalam membuat sesuatu keputusan.Vijayaratnam, yang ditemui mati di luar kliniknya di Seremban pagi ini, meninggalkan isteri Datin Anucia Tharumaratnam dan empat anak.Bapanya, mendiang Dr S. Seevaratnam, pernah menjadi Anggota Parlimen Seremban Barat dari 1969 hingga 1974 dan bekas bendahari kebangsaan DAP.Bapa saudara beliau, mendiang S. Rajaratnam, pula pernah menjadi Menteri Luar Singapura dari 1966 hingga pertengahan 1980-an.Vijayaratnam mula menceburi arena politik pada 1981, sama dengan tahun beliau membuka klinik sendiri, setelah berkhidmat dengan kerajaan selama lapan tahun.Vijayaratnam, 58, yang juga bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi, pertama kali dilantik sebagai senator pada Ogos 2002 dan sekali lagi pada Februari 2006. Penggal pelantikan beliau dijangka berakhir pada Februari 2009.Walaupun mencipta nama sebagai tokoh yang disegani dalam arena politik Malaysia, beliau terus memberi khidmat sebagai doktor di kliniknya yang terletak di Jalan Tunku Hassan, Seremban.Vijayaratnam mendapat didikan peringkat sekolah rendah dan menengah di St. Paul's Institution. Beliau memperoleh ijazah MBBS dari University of Agra, India.Beliau juga pernah menganggotai Majlis Perundingan Ekonomi Malaysia Kedua (MAPEN II).Vijayaratnam menyertai Gerakan sebagai anggota biasa sebelum dipilih sebagai anggota jawatankuasa pusat parti itu pada 1993 dan seterusnya diberi kepercayaan menyandang jawatan naib presiden sejak 1999.Jawatan lain yang pernah beliau sandang ialah Naib Presiden Persatuan Kriket Negeri Sembilan (1987-1989) dan Setiausaha Persatuan Perubatan Malaysia cawangan Seremban pada 1996.Sebagai menghargai khidmat bakti beliau, Vijayaratnam dianugerahi bintang kebesaran Dato Setia Negeri Sembilan yang membawa gelaran Datuk oleh kerajaan Negeri Sembilan pada 2000.Beliau juga adalah penerima anugerah zamalah kehormat The Royal Society of Health, London, zamalah kehormat Indian College of General Practitioners pada 1999 dan zamalah kehormat Fakulti Perubatan Pekerjaan, The Royal College of Physicians Ireland pada 2007. BERNAMA