suria

Ubi rezeki musim tengkujuh

Seorang penjual ubi kayu Faezah Hassan (kiri) menjual ubi kayu di tepi jalan antara Jalan Kampung Batu Enam - Kuala Terengganu dekat Kampung Kubang Jela di Kuala Terengganu, kepada seorang pelanggan pada musim tengkujuh yang berlaku di negeri itu sejak beberapa hari lalu. -foto BERNAMA

LAZIMNYA musim tengkujuh yang tiba setiap penghujung tahun ke pantai timur amat dinantikan Sharifah Mahmod.

Apa tidaknya, itulah masanya beliau memasarkan pelbagai jenis ubi yang ditanam tidak jauh dari rumahnya di Kampung Pangkal Berangan, di sini.

Hampir semua jenis ubi yang ditanamnya dijual di gerai di tepi jalan Machang-Tanah Merah.

Yang menariknya, lebih 20 deretan gerai menjual ubi di situ akan hanya muncul setiap kali tiba musim tengkujuh dan beroperasi dalam masa lima hingga enam minggu, bergantung kepada bekalan.

Ketika ditemui Bernama di gerainya, Sharifah, 43, berkata beliau menanam pelbagai jenis ubi seperti ubi kayu, ubi keledek, ubi keladi, ubi itik, ubi badak dan ubi tongkol dengan menganggarkan masa matangnya pada musim tengkujuh, iaitu pada bulan November dan Disember.

"Biasanya kami di sini mula menanam ubi pada bulan Februari dan Mac, bergantung kepada tempoh matang jenisjenis ubi, ada yang lambat matang, seperti ubi kayu dan ubi badak, kami tanam awal tahun untuk pastikan ia sudah boleh dijual pada hujung tahun," katanya.

Pendapatan lumayan

Ubi-ubi berkenaan, bergantung kepada jenisnya, dijual dengan harga antara RM2 hingga RM4 sekilogram.

Sharifah juga mendapatkan bekalan ubi daripada penduduk kampung itu yang kebanyakannya rajin bertani.

"Gerai ini dibuka setahun sekali. Musim tengkujuh di sini bagaikan pesta ubi. Semua jenis ubi ada dan ramai pengguna jalan ini berhenti beli ubi di sini. Kami bersyukur kerana rezeki penduduk pun bertambah setiap kali datangnya musim tengkujuh," katanya.

Jelasnya, beliau mampu memperoleh pendapatan lumayan setiap musim dan cukup untuk menampung perbelanjaan persekolahan anakanak di awal tahun.

Ulam-ulaman

Selain ubi, pelbagai jenis ulamulaman dan ikan air tawar turut dijual di gerai yang dibuka setiap hari sehingga lewat petang itu.

Ahmad Ikhsan Osman, 16, turut menggunakan masa cuti sekolahnya untuk mengumpul pendapatan sampingan dengan menjual ubi di gerai itu.

Selain ubi, dia juga menjual ikan air tawar yang ditangkap kawan-kawannya.

Faridah Yusof, 43, dari Kota Baharu berkata beliau berkunjung ke gerai berkenaan hampir setiap tahun membeli pelbagai jenis ubi, termasuk ubi keledek dan ubi kayu untuk dibuat kuih.

Katanya di gerai-gerai itu, beliau mempunyai banyak pilihan ubi segar yang murah harganya, menyebabkan beliau tidak kisah berkunjung ke situ walaupun agak jauh dari Kota Baharu.

"Tak apa jalan jauh sikit, asalkan anak-anak Kak Dah puas hati dapat merasa kuih muih tradisional yang Kak Dah buat sendiri," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain