suria

Falsafah ‘indie’ teraju budaya pop belia 2008

HAMPIR 20,000 anak muda mengakhiri aktiviti tahun 2008 dengan menghadiri konsert pemuzik bebas terbesar negara 'Rock The World 8' yang berlangsung di Stadium Merdeka pada malam Sabtu lepas.

Kali pertama Rock The World dipentaskan ialah pada lapan tahun lepas, ia hanya berlangsung di tapak parkir untuk memberi peluang kepada pemuzik bebas, yang kini sering diberi jolokan pemuzik 'indie', membuat persembahan.

Senario ini menjadi satu daripada petunjuk terbesar bahawa belia Malaysia kini semakin mesra dengan konsep 'indie' yang secara tradisinya merujuk kepada karya seni bukan arus perdana dan tidak mendapat pembiayaan korporat.

Apa yang satu ketika dahulu merupakan subbudaya eksklusif kepada belia kawasan pinggir urban, kini menjadi trend utama belia seluruh negara.

Pemahaman istilah indie

Sebenarnya pemahaman tentang istilah 'indie' agak tersasar dan tidak ramai yang sedar tujuan utama karyawan muda tidak memilih jalan arus perdana.

Istilah 'indie', yang berakar dari perkataan 'independent' mulanya digunakan oleh peminat dan pemuzik idealis yang menghasilkan karya untuk kepuasan diri berbanding mencapai populariti atau keuntungan.

Ia juga merujuk kepada pilihan mereka untuk menjual dan mengedarkan karya atau produk mereka sendiri kerana tidak mahu tunduk kepada syarat dikenakan syarikat arus perdana.

Pendekatan yang sama diambil dalam pelbagai bidang berkaitan seperti fesyen, seni dan filem.

Produk dan karya yang dihasilkan lazimnya bertujuan untuk mengekspresikan diri mengenai pelbagai perkara yang membelenggu belia dari isu sosial, politik, budaya hinggalah kepada alam sekitar.

Kini, konsep 'indie' tidak begitu terkongkong. Yang penting karyawan memelihara integriti dan kawalan terhadap karya masing-masing serta berdikari dan bebas.

Trend 'indie' juga lazimnya diekori rapat budaya popular, justeru dipantau pelbagai pihak untuk tujuan komersial.

Dari membiarkan kesempatan ini dinikmati dan dieklspoitasi golongan korporat, belia kini lebih bijak dan merebut peluang perniagaan.

Indie bukan hanya untuk belia urban

Gelombang 'indie' juga tidak hanya milik belia urban apabila kolektif seperti Angkatan Baju Malaya (ABM) mengadakan siri jelajah yang menggabungkan pameran seni, bazar dan pertunjukan muzik di luar Kuala Lumpur.

Pergerakan 'indie' juga telah lama aktif di Johor Bahru, Kuantan dan Ipoh.

Selain ABM, terdapat beberapa kolektif dan program lain yang turut bergerak aktif seperti Indie Day Out, Bijou Bazaar, RanTai, Art For Grabs, Pipit dan thethreadszoo.

Pemuzik bebas tempatan juga mula mendapat tempat dalam arus perdana. Ironinya beberapa tahun lepas golongan yang sama dikecam kerana didakwa terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan memuja syaitan justeru mengakibatkan serbuan oleh pihak berkuasa, permit persembahan ditarik balik dan kesukaran mendapat penaja.

Radio dan televisyen juga semakin membuka ruang kepada karyawan bebas. Begitu juga penajaan dan perhatian daripada pihak korporat terutama syarikat telekomunikasi.

Kejutan dari stesen televisyen yang agak konservatif seperti saluran RTM memberi laluan kepada pemuzik 'indie' seperti OAG, Hujan, Muck, Freelove dan Meet Uncle Hussin adalah isyarat yang subbudaya ini semakin diterima.

Stesen televisyen swasta seperti 8tv dan radio XFM pula menjadi penyokong kuat pergerakan belia yang merupakan golongan sasaran pasaran mereka.

Semai semangat aktivisme

Pergerakan 'indie' bukan saja berkaitan fesyen dan muzik. Aktiviti yang mensasarkan belia yang lain seperti FreedomFilmFest2008, Young Gun (program usahawan muda sempena Minggu Usahawan Global) dan Popteevee (rangkaian web TV) turut rancak.

Pergerakan belia ini telah banyak mendorong usahawan muda dan membina keyakinan bahawa mereka boleh mengembangkan usaha mereka secara organik tanpa sokongan atau suntikan dana dari konglomerat. Secara tidak langsung, kesedaran tersebut, ditambah lagi dengan perubahan suasana politik tempatan, turut menarik minat lebih ramai belia menyertai kegiatan aktivisme terutama dengan pertubuhan bukan kerajaan antaranya Suaram, Food Not Bomb, Amnesty International Malaysia, Centre for Independent Journalism dan Komas.

Tahun 2008 juga penanda aras bagi penyertaan belia yang lebih signifikan dalam politik, khususnya Pilihanraya Umum ke-12.

Parti pembangkang dilihat responsif kepada suara belia dengan menurunkan calon muda seperti Nik Nazmi Nik Ahmad (Adun Seri Setia), Nurul Izzah (Ahli Parlimen Lembah Pantai) dan Elizabeth Wong Keat Ping (Adun Bukit Lanjan).

Pun begitu, setakat ini prestasi mereka masih belum menunjukkan sebarang impak yang impresif.

Mengharumkan nama negara

Belia Malaysia turut mengharumkan negara dengan kejayaan akademik antaranya Oktober lepas enam pelajar tajaan Petronas menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama dari Imperial College London manakala 12 orang lagi menerima ijazah kelas kedua (tinggi).

Imperial College adalah antara enam universiti dalam ranking tertinggi universiti terbaik dunia.

Dalam perkembangan lain, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berjalan dengan lancar sepanjang tahun.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Ng Yen Yen mengumumkan bahawa empat modul baru bakal diserapkan dalam kursus asas yang akan meliputi pendidikan seks, pendedahan mengenai HIV dan Aids, kursus pembangunan dan pengurusan remaja serta cara-cara melindungi diri.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan Program Rakan Muda bakal dijadikan sebahagian daripada kegiatan kokurikulum sekolah dalam usaha untuk mendekati belia dari peringkat awal remaja.

Timbalan Perdana Menteri, yang merupakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk memperkasakan golongan belia melalui program baru semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2009 di Dewan Rakyat.

Antara program yang akan disediakan ialah rakan muda sekolah, rakan muda sektoral yang melibatkan kampung baru Cina, estet untuk kaum India, kampung Orang Asli dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

Belenggu mat rempit

Masalah rempit masih lagi membelenggu belia Malaysia meskipun pelbagai program diadakan.

Kerajaan negeri Kelantan memperkenalkan program 'Sahabat Motor' sebagai usaha membendung gejala mat rempit dan lepak di kalangan remaja di negeri tersebut manakala Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, lebih 6,000 mat rempit akan dihantar untuk bekerja dalam pelbagai bidang di luar negara selepas mengikuti latihan di kolej tertentu anjuran Putera Umno sebagai usaha membantu mengubah golongan itu.

Katanya, terdapat permintaan dari luar iaitu di Timur Tengah dan Australia yang memerlukan kira-kira 6,500 lelaki muda untuk berkhidmat di sana dalam bidang tertentu.

Tahun ini turut digemparkan dengan trend remaja wanita yang dipercayai dilarikan teman lelaki ke Lombok, Indonesia. Nur Liyana Abd Rahim, 18, Noor Fadilah Ahmad, 18, dan Che Siti Nor Azreen Che Ishak, 12, kesemuanya selamat pulang ke tanahair hasil usaha pelbagai pihak. BERNAMA

Artikel Sebelum

ISA kekal walau dikecam hebat

Artikel Berikut

Menjana ummah gemilang

Artikel Lain