suria

Bayar hanya RM1.00 untuk makan tengah hari?

PADA tahun-tahun awal selepas Merdeka, seseorang dapat makan dengan agak 'mewah' dengan membayar tidak sampai satu ringgit.

Kini dengan kadar inflasi yang meningkat, masihkah 'kemewahan' sebegini dapat dicapai?

Baru-baru ini, penulis agak terkejut bila seorang kawan telah membelikan sebungkus nasi 'vegetarian' dari sebuah restoran di Sentul di sini dengan harga hanya RM1.00.

Ini adalah satu kejutan yang menggembirakan lebih-lebih lagi pada masa sekarang di mana sebungkus nasi lemak biasa berbungkus daun pisang dijual pada harga RM1.50 serta kuih-muih pada harga 40-50 sen sebiji.

Makanan itu adalah nasi serta sayuran, kuah kari dhal, acar serta beberapa keping keropok papadom.

Restoran tersebut memang menjual makanan dengan harga yang amat berpatutan sedangkan untuk makan tengah hari yang ringkas di ibu kota ini pun perlu bayar kira-kira RM5.00.

Indeks Harga Pengguna

Ini adalah satu berita yang baik kerana menurut Jabatan Perangkaan Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk November 2008 menunjukkan kenaikan 5.7 peratus dibandingkan dengan bulan yang sama pada tahun 2007.

Manakala indeks untuk Makanan dan Minuman Bukan Alkohol untuk November pula mencatatkan kenaikan 11 peratus jika dibandingkan pada bulan yang sama pada tahun 2007.

Walaupun kerajaan telah menurunkan harga petrol di pam sebanyak tujuh kali semenjak Jun 2008, dari RM2.70 seliter (Iun) kepada RM1.80 seliter (Disember), harga barang makanan masih enggan berganjak untuk mengikuti rentak penurunan ini.

Makanan ‘harga murah

Menurut ahli pendidik, Fatimah Mansur, pengguna sebenarnya mempunyai pilihan tentang apa yang mereka mahu dan perlukan.

"Kita tidak boleh nak salahkan peniaga kerana mereka perlu cari pendapatan dan mereka perlu sediakan pelbagai pilihan untuk pengguna. Rasa dan selera pengguna memang berbeza", kata Fatimah yang juga merupakan aktivis sosial dan pengguna.

"Kini, pengguna pun memang ada pilihan untuk terbang dengan harga tambang murah. Apa kata konsep ini kita panjangkan semasa kita beli makanan?

"Sudah tentu harganya akan jadi lebih murah", kata beliau.

Menurut Fatimah ada pelbagai 'tambahan' yang sebenarnya tak perlu bagi pengguna.

"Bila kita makan di restoran, kita ada sifat untuk mengambil lauk lebih seperti ayam, daging dan sebagainya. Apa kata kalau ambil apa yang boleh makan sahaja?", kata beliau.

Sementara itu, bila ditunjuk gambar nasi yang berharga RM1.00, seorang pakar pemakanan di sebuah pusat perubatan di sini berkata: "Makanan seperti ini memang bernilai untuk wang. Ianya sihat, kurangkan nasi, tambah sumber protein seperti ikan dan sayur untuk lebih fiber untuk diet yang lebih seimbang". BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain