suria

Taman KLCC, oasis di tengah-tengah bandar

TAMAN KLCC yang berlatar belakangkan struktur hebat Menara Kembara Petronas bukan saja mudah menggamit mana-mana pengunjung tetapi keindahan landskapnya menjadi tempat sesuai untuk menghilangkan rasa stres kehidupan kota.

Kewujudan taman hijau seluas 20 hektar di tengah-tengah hutan batu Kuala Lumpur ini memberikan sisi pemandangan berbeza Malaysia yang memang kaya dengan flora dan fauna.

Taman ini, yang menjadi sebahagian daripada ikonik Menara Kembar Petronas, direka bentuk oleh arkitek landskap dan pencinta alam terkemuka dunia, dari Brazil, mendiang Roberto Burle Marx.

Ia merupakan testimoni mengagumkan bagaimana pereka ini menyeimbangkan di antara pembangunan dan memulihara alam semula jadi.

Untuk memikat pengunjung, tema air disertakan bagi mencetuskan suasana santai dan satu daripadanya ialah Tasik Simfoni.

Tasik ini memiliki dua air pancut dengan 30 jenis animasi yang berubah setiap 15 minit. Keindahan dan liuk-lentok pancutan air lebih nampak jiwanya apabila disinari cahaya lampu di waktu malam.

Untuk lebih menikmati suasana santai di waktu petang, seseorang itu boleh menyusuri trek joging sejauh 1.3 km.

Trek ini akan membawa pengunjung mengelilingi taman yang diliputi kawasan berbukit, landskap-landskap kecil dan tempat berteduh.

Turut disediakan ialah mural dan kemudahan asas awam serta kolam merandai untuk kanak-kanak dan kawasan permainan kanak-kanak seluas dua hektar.

Ia bagaikan taman mini untuk kegunaan pekerja pejabat, warga kota dan pelancong di kawasan berhampiran.

Maka tidak hairanlah jika taman ini menerima di antara 2,000 hingga 3,000 pengunjung setiap hari, malah meningkat berkali ganda terutama ketika warga kota meraikan Ambang Tahun Baru dan Ambang Merdeka, menjadikan jumlah pengunjung ke taman ini setiap tahun melebihi 1 juta.

Sejarah Taman KLCC

Taman KLCC yang dibuka kepada orang ramai pada tahun 1998 ini oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan satu daripada komponen penting di dalam pelan induk pembangunan KLCC seluas 40 hektar.

Taman ini diwujudkan sebagai sebahagian daripada komitmen Petronas terhadap usaha penjagaan dan pemuliharaan warisan alam negara, maka kawasan yang asalnya Pusat Lumba Kuda Kuala Lumpur ini kini menjadi kawasan rehat dan riadah kegemaran warga kota.

Sentuhan Marx, perekanya, dilihat melalui penggunaan pohon-pohon tempatan yang subur, reka bentuk bulat dan bersegi serta gabungan rupa bumi beralun dan padanan landskap yang pelbagai.

Jika berpeluang ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hasil sentuhan Marx ini lebih jelas untuk dilihat menerusi dinding kaca di sepanjang ruang legar aras satu bangunan itu. Memulihara biodiversiti sedia ada

Menurut Pengurus Besar Kanan, Bahagian Undang-undang & Hal Ehwal Korporat Petronas, Mohd Azhar Osman, Taman KLCC berbeza berbanding Central Park di New York dan Hyde Park di London.

"Selain menyediakan tempat beriadah dan melepas lelah bagi para pengunjung, ia juga bertujuan menawarkan perlindungan dan habitat semulajadi kepada flora dan fauna di dalam bandar," jelas beliau.

Taman KLCC boleh dibanggakan apabila ia mengekalkan sejumlah 63 batang pokok matang yang hidup di tapak taman semasa di bawah pengurusan Kelab Lumba Kuda Kuala Lumpur.

"Pada waktu itu, pokok-pokok yang mencapai usia berpuluh tahun ini dialihkan seketika sebelum dipindahkan semula ke taman ini beserta dengan rumput dan lapisan atas tanah kelab itu.

"Agak nostalgia kerana selain pokok-pokok yang sudah berusia, rumput yang kita pijak ini juga adalah rumput yang asal," kata Mohd Azhar.

Kini, selepas 10 tahun, taman urban ini menjadi tapak kepada 1,900 batang pokok serta palma daripada 66 spesies.

Mungkin ramai yang tidak menyedari, di taman ini juga ditanam pokok buah-buahan tempatan seperti longan, duku, jambu bol, rambutan dan juga manggis. Sebahagiannya ada yang sudah mula berbuah tetapi bukan untuk santapan orang ramai.

Ia lebih kepada konsep untuk mendidik sambil memelihara flora dan fauna.

Taman KLCC perlu masa untuk matang

Taman KLCC bagaimanapun belum boleh dibandingkan dengan The Garden of Versailles di Perancis atau The Eden Garden di Cornwall, England tetapi kedua-duanya menjadi tercantik dan popular setelah mengambil masa beratusratus tahun sedangkan Taman KLCC baru berusia 10 tahun.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia Datuk Seri Dr Salleh Mohd Nor, berpendapat sungguhpun tidak dapat menandingi sejarah setiap taman itu, namun Taman KLCC memenuhi ciri-ciri taman urban yang disesuaikan dengan kepesatan pembangunan.

"Sejarah kewujudan taman bermula 3,000 tahun sebelum Masihi lagi. Kebanyakannya dibina atas perkenan raja dengan tujuan kesihatan, sumber makanan, herba dan liburan. Maka taman-taman yang dibina ini memiliki keunikan dan ciri tamadun zaman berkenaan.

"Hari ini, ciri-ciri pembinaan taman berkembang mengikut peredaran zaman hingga muncul konsep taman urban atau taman dalam bandar yang meliputi empat perkara iaitu untuk keperluan ekonomi, pemuliharaan, kajian dan juga pendidikan," jelas Dr Salleh.

Dr Salleh berpendapat Taman KLCC mewakili ciri-ciri taman urban yang dinyatakan beliau.

"Ia diakui mengambil masa dan memerlukan usaha yang berterusan. Namun,warga negara Malaysia khususnya penduduk Kuala Lumpur boleh berbangga dengan keindahan dan keunikan landskap Taman KLCC," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain