suria

Sultan Azlan Shah pemikir yang pentingkan rakyat

NEGERI Perak Darul Ridzuan menyaksikan banyak kemajuan dan pertumbuhan dalam pelbagai sektor ketika berada di bawah naungan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang menyambut ulangtahun Jubli Perak pemerintahannya pada 3 Februari.

Baginda bekerjasama erat dengan semua Menteri Besar yang berkhidmat mentadbir kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan untuk rakyat diutamakan.

Pemerintahan Sultan Azlan Shah yang memayungi Perak Darul Ridzuan bermula pada tanggal 1 Julai, 1983 apabila baginda dimahkotakan sebagai Raja Muda Perak.

Tujuh bulan selepas itu baginda mewarisi takhta sebagai Sultan Perak ke-34 selepas kemangkatan ayahanda saudaranya Sultan Idris Shah pada 3 Februari 1984.

PENDIDIKAN DAN KERJAYA BAGINDA

Sultan Azlan Shah mendapat pendidikan awal di sekolah kerajaan (Inggeris) Batu Gajah (kini dikenali sebagai Sekolah Sultan Yussuf Batu Gajah) sebelum meneruskan pelajaran menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Baginda kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Nottingham, United Kingdom dan dikurniakan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada 1953.

Apabila pulang ke tanah air, Sultan Azlan Shah memulakan perkhidmatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sebelum memasuki Perkhidmatan Undang-Undang Dan Kehakiman Persekutuan Tanah Melayu sebagai Majistret Kelas Pertama dan Presiden Mahkamah Sesyen.

Malaysia mengenali kemasyhuran baginda dalam kerjaya kehakiman. Pada 1965, pada usia 37 tahun, Sultan Azlan Shah menjadi hakim Mahkamah Tinggi paling muda dalam sejarah Komanwel.

Sepanjang perkhidmatan baginda, Sultan Azlan Shah pernah dilantik ke jawatan seperti Peguam Persekutuan dan Timbalan Pendakwa raya, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan Johor, Pendaftar Mahkamah Tinggi Persekutuan Tanah Melayu dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Sultan Azlan Shah berada di kemuncak bidang kehakiman pada 1982 apabila dilantik Ketua Hakim Negara. SULTAN AZLAN SHAH SEORANG PEMIKIR

Bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib berkata rakyat di negeri Perak amat berbangga menumpang tuah Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang merupakan seorang pemikir yang sentiasa meneliti dan menimbangkan secara mendalam setiap langkah dan tindakan yang diambil bagi kepentingan rakyat.

"Dengan pendekatan itu, Paduka Seri Sultan telah dapat membuat keputusan yang bijaksana dan saksama. Di bawah pemerintahan baginda Perak menjadi aman dan makmur. Baginda juga merupakan seorang pemerintah yang peramah dan senang berinteraksi dengan rakyat jelata," katanya.

Ramli adalah Menteri Besar Perak kelapan yang berkhidmat antara 1 Mac 1983 hingga 2 Disember 1999. Beliau menyifatkan selama tempoh perkhidmatannya, tiada satu pun dasar dan pentadbiran yang menjadi persoalan dalam perhubungan kerajaan negeri dengan Sultan Azlan Shah.

"Saya berasa amat bertuah kerana dapat menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar selama 16 tahun di bawah pemerintahan dan naungan Sultan Azlan Shah. Saya merasa bangga kerana tiada Menteri Besar Perak yang dapat bertugas sebegitu lama di bawah baginda," ujarnya.

Beliau berkata dengan perhubungan yang baik di bawah pemerintahan Sultan Azlan Shah, setiap tugas dan langkah penting kerajaan negeri dapat dijalankan dengan baik.

Antara langkah penting yang diingatinya semasa di bawah pemerintahan baginda dan beliau menjadi menteri besar, ialah menyelamatkan wang rakyat Perak sebanyak RM30 juta dengan tidak menubuhkan Amanah Saham Perak.

Langkah itu ternyata bijaksana apabila dana serupa yang ditubuhkan beberapa negeri mengalami kerugian.

KEMAJUAN DI BAWAH SULTAN AZLAN SHAH

Ramli yang juga merupakan Orang Kaya Lapan dengan bergelar Orang Kaya Seri Agar Diraja berkata, di bawah pemerintahan Sultan Azlan Shah juga, sektor pelancongan, industri automotif dan kraftangan diberi penekanan.

Bukti kejayaan ialah industri seramik dan budaya Perak yang kukuh, operasi kilang Proton di Tanjung Malim dan kemajuan industri pelancongan di Pulau Pangkor, Bukit Merah, Tambun dan Kompleks Sejarah Pasir Salak.

"Ini antara langkah besar dan penting yang dapat diambil berkat pemerintahan Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Shah...," katanya.

SULTAN PERAK KE-34

Ramli berkata Sultan Azlan Shah, Sultan Perak ke-34, merupakan seorang sultan yang amat bertuah kerana dalam perjalanan hidup baginda telah dapat mencapai mercu kejayaan dalam masa yang singkat.

"Dalam kalangan 34 yang pernah menjadi Sultan Perak itu, cuma ada lima Sultan sahaja termasuk Sultan Azlan Shah yang dapat memerintah Perak selama 25 tahun dan lebih, justeru itu saya merafakkan sembah mengucap setinggi-tinggi tahniah terhadap Paduka Seri Sultan, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun sempena Jubli Perak pemerintahan baginda," ujarnya.

Sultan Azlan Shah dilantik Yang diPertuan Agong kesembilan pada 25 April 1989.

Baginda juga pernah memegang jawatan sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia (4 Oktober 1971 - Februari 1984), Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (1 Novvember 1974 - 31 Oktober 1976) dan sebagai Canselor Universiti Malaya sejak 8 Feb 1986 sehingga kini.

MENTERI BESAR PERAK

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dipilih Sultan Azlan Shah bagi menerajui pentadbiran kerajaan negeri apabila Pakatan Rakyat gabungan parti PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi pilihan raya umum Mac 2008 menyifatkan baginda sebagai Sultan yang sangat baik, beradab dan tenang dalam konteks hubungan antara kerajaan negeri dan baginda.

"Baginda cukup halus, cukup permai. Baginda sering memberi respons, teguran serta nasihat yang memberangsangkan dan membina. Dengan ciri-ciri yang dimiliki baginda Sultan Perak itu maka saya lebih mudah merujuk kepada baginda untuk tunjuk ajar dan nasihat sekiranya ada perkara yang kurang tepat," katanya.

Beliau berkata Sultan Azlan Shah memberi respons yang sangat positif dan menyokong terhadap dasar kerajaan walaupun terdapat perubahan daripada kerajaan dahulu dengan sekarang terutama dasar yang melibatkan pembangunan dan kemajuan rakyat di Perak.

Mohammad Nizar turut berbangga dan merasa bertuah berada di bawah pemerintahan Sultan Azlan Shah malah, amat menjunjung kasih kepada baginda atas pemilihannya sebagai Menteri Besar ke-10.

"Saya akan cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik, profesional berlandaskan kepada prinsip yang baginda titik beratkan," katanya yang memimpin pentadbiran kerajaan negeri hampir 10 bulan.

DEKAT DI HATI RAKYAT

Sultan Azlan Shah, seorang Sultan yang amat dekat di hati rakyat dengan pelbagai pencapaian, kejayaan dan ciri-ciri pemerintah yang baik, bijaksana dan mulia.

Dalam titah ucapannya sebelum ini mengenai pemerintahan sesebuah kerajaan, baginda menegaskan bahawa seorang Raja mempunyai peranan untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, memberi galakan dan dorongan serta memberikan sesuatu peringatan dan teguran.

"Raja sewajarnya menggunakan akal bicara, menggunakan hikmah mempertimbang secara arif lagi bijaksana dalam memberikan sesuatu perkenan terutama dalam perkara berhubung kepentingan negeri dan rakyat," titah baginda. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Malaysia utamakan pembelian OKU

Artikel Lain