suria

Kampung Baru: Tumpuan warga kota Kuala Lumpur

"YOU nak buat kondo di slum area?" Begitulah reaksi awal yang agak mengejutkan daripada kenalan Datuk Abdul Rahim Mohd Ibrahim, seorang pemaju hartanah, mengenai cadangannya membina kondominium mewah di Kampung Baru Kuala Lumpur.

Beliau tidak menyangka perkataan slum yang bermakna setinggan terucap oleh kenalannya mengenai Kampung Baru.

Akhirnya setelah mengatasi segala rintangan termasuklah kepungan fakulti minda, beliau berjaya membangunkan Plaza RAH, satu-satunya kondominium mewah di Jalan Raja Abdullah yang merupakan struktur tunggal kediaman paling tinggi di kampung ini.

Kemunculan plaza berkenaan sebagai mercu tanda baru perkampungan Melayu di tengahtengah bandar raya metropolitan Kuala Lumpur ini menghakis segala tanggapan bahawa Kampung Baru tidak boleh dimajukan atau tidak boleh berubah wajah disebabkan pelbagai masalah usang yang kompleks.

Kenalan Abdul Rahim menyamakan Kampung Baru dengan Bronx, sebuah petempatan majoriti bukan kulit putih Amerika di utara New York dan "mereka tidak yakin unitunit kondo ini boleh terjual," katanya.

Kini, mereka mungkin boleh gigit jari kerana kondominium itu laris macam pisang goreng!

Umum mengetahui Kampung Baru bukanlah kawasan setinggan, kerana ia petempatan khusus bagi orang Melayu yang wujud pada tahun 1899 dan dikenali sebagai Malay Agriculture Settlement (Petempatan/Tanah Pertanian Melayu).

Walaupun pembangunan tidak begitu rancak di kampung ini, namun ia tetap menjadi tumpuan warga kota, terutama untuk menjamu selera kerana dikatakan lubuk segala lubuk kepada makanan dan minuman.

Pusat segala jenis makanan Biasanya agak sukar mencari tempat meletak kereta di tepi jalan Pasar Minggu Kampung Baru terutama pada waktu tengah hari dan malam.

Deretan kereta mewah, kereta kecil dan motosikal sentiasa mengisi setiap ruang termasuk di Jalan Raja Muda Musa yang telah diperindah sebagai pusat tumpuan.

Warga kota berbaris untuk membungkus atau memilih makanan juga sudah biasa dalam kalangan pengunjung yang berpakaian pejabat akan sebati dengan mereka yang hanya berkemeja T, berkain pelikat dan berketayap atau berselipar, beratur menunggu giliran di gerai nasi lemak, nasi bubur atau gerai yang menjual berpuluh-puluh jenis masakan pelbagai selera di sini.

Pasar Minggu Kampung Baru yang terkenal dengan pintu gerbangnya bukan pasar ikan atau pasar hujung minggu, tetapi nadi aktiviti harian perniagaan makanan di kampung ini.

Yang berkereta tidak semestinya berpakaian segak, yang berselipar tidak seharusnya penghuni rumah berhampiran, yang berkain pelikat tidak semestinya baru balik dari Masjid Jamek Kampung Baru. Tiada siapa yang memandang serong atau pelik terhadap mereka yang datang dengan kereta mewah atau yang berselipar jepun duduk berkongsi meja makan di sini.

Di seluruh ceruk Kampung Baru sebenarnya tidak pernah sunyi dengan kunjungan orang ramai ke gerai-gerai makan, semata-mata untuk menikmati nasi lemak bungkus, sup/tom yam panas, kuih Melayu dan roti canai dengan secawan kopi atau teh tarik, tidak kira siang atau malam.

Sekali sekala akan kelihatan anak muda menampal iklan bilik atau rumah kosong untuk disewa di pokok atau gerai makan berhampiran. Ada juga yang terdengar berbual menerusi telefon mencari rakan serumah atau rakan sewa sebilik.

Daya penarik iklan mereka, ialah kalau bilik sewa itu di flat PKNS berusia lebih 30 tahun di Pasar Minggu, ia berdekatan dengan Stesen LRT, di belakang flat berkenaan.

Rumah dan bilik sewa di Kampung Baru sentiasa laris Menyewa di Kampung Baru, bagi pelajar universiti atau mereka yang baru bekerja, memang selesa rumah atau bilik boleh disewa beramai-ramai, tempat makan, masjid, bank, hospital dan pasar (Chow Kit), semuanya berdekatan.

Tidak menghairankan sekiranya tuan rumah (yang kebanyakannya tinggal di luar Kampung Baru) tidak perlu bersusah payah menempah iklan di akhbar kerana penyewa yang ada boleh mencari sendiri rakan sebilik atau serumah mereka.

Letak saja harga sewa untuk satu unit flat paling murah di sekitar RM850 maka pandailah penyewa berkongsi beramai-ramai mengisi ruang tiga bilik flat itu. Harga beli flat PKNS ini asalnya hanya sekitar RM28,000 tetapi kini nilainya melonjak lebih RM100 ribu.

Di kawasan sekitarnya, tuan tanah membina khas rumah sewa beberapa pintu atau menyambung rumah kampung mereka menjadi deretan panjang untuk disewakan.

Kata seorang penduduk, untuk mengutip sewaan sekurang-kurangnya berjumlah RM2,000 atau RM3,500 sebulan memang mudah di Kampung Baru.

Sebab itu untuk menjimatkan ruang tanah, rumah sewa biasanya dibina rapat-rapat, menggunakan sepenuhnya kawasan tanah yang ada sehinggakan ada rumah yang bertembung pintu depannya dengan pintu dapur penyewa lain.

Berebut kawasan parkir adalah perkara biasa kerana halaman yang dikongsi hanyalah sekangkang kera. Sebab itu juga di tepi jalan dan setiap lorong Kampung Baru akan ada saja kereta yang diletakkan penghuni rumah sewa ini.

Disebabkan itu juga mungkin punca ada rumah sewa yang tidak pernah berubah wajah daripada bentuk asalnya.

Ada rumah papan yang nampak uzur tetapi masih ada penyewa. Untuk mengubah suai, tuan rumah terasa rugi akan kehilangan wang sewa, sedangkan permintaan penyewa bertali arus.

Berjalan kaki amalam biasa

Berjalan kaki di Kampung Baru juga selamat dan selesa, melalui celah-celah jalan, rumah dan bangunan yang ada.

Kalau ada yang berkata orang Malaysia hanya berjalan jauh jika di London, mereka silap. Di Kampung Baru ada penduduk yang berbuat demikian, walau bertali leher atau berkemeja kemas sambil menyandang beg.

Tidak ada siapa yang ambil pusing terhadap mereka ini kerana mereka berjalan kaki untuk ke Jalan Raja Muda Aziz yang ada bank dan pusat pameran kereta mewah, menuju ke belakang flat PKNS untuk menaiki LRT, ke Jalan Tun Razak untuk ke pejabat, ke perpustakaan atau hospital, ke persimpangan Jalan Raja AbdullahJalan Sultan Ismail untuk ke universiti dan ke Chow Kit untuk ke pasar dan membeli belah.

Kemudahan yang berdekatan ini mengelilingi Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah ibu kota.

Kampung Baru bersempadankan Jalan Raja Muda Abdul Aziz di utara, Jalan Dang Wangi, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur dan Sungai Kelang di selatan, Jalan Tun Razak di timur dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (kawasan Chow Kit) di sebelah barat.

Keunikan kedudukan dan suasana santai Kampung Baru inilah yang membuatkan orang mudah bernostalgia apabila bercakap mengenai rancangan untuk membangunkannya.

Ada yang mahu suasana dan identiti Kampung Baru ini dikekalkan selama-lamanya begini, ada juga yang mahukan perubahan.

Tetapi kalau dilihat pemandangan di sekelilingnya, Kampung Baru tidak seindah mana. Rumah Melayu tradisional yang masih dipelihara dan dikekalkan rupanya juga tidak banyak.

Yang banyak kelihatan ialah rumah papan usang atau rumah sewa separuh batu yang bersambung-sambung, gerai makan dan kedai runcit di celah-celah bangunan yang berkilat cerminnya, yang menempatkan bank dan pejabat, lorong-lorong kecilnya sarat dengan bengkel kereta, kedai cat dan pertukangan, serta butik-butik kecil pakaian dan rawatan kecantikan. Ada juga penduduk Kampung Baru yang sememangnya menantikan pembangunan ini.

Penduduk sudah berkorban, kini nantikan pembangunan Umpamanya beberapa keluarga di Kampung Periuk, yang sebahagian rumah mereka telah dikorbankan untuk pembinaan jalan dari sebuah kedai pizza di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang merentasi Jalan Dewan Sultan Sulaiman dan dijangka berakhir berdekatan dengan Menara Perkeso di Jalan Tun Razak.

Ada rumah di situ sudah kehilangan bahagian dapur dan bilik airnya di belakang rumah, menyebabkan rumah mereka sudah tinggal sekerat, betul-betul berada di tepi jalan besar.

Di Jalan Raja Bot, ada keluarga yang mendindingi kediaman mereka dengan kedai-kedai separuh papan dan separuh batu, yang menjalankan perniagaan VCD/DVD, ejen pelancongan, pejabat sekolah memandu dan menjual ubat tradisional dan jamu.

Di belakang kedai-kedai itu, rumah pesaka yang ada, sudah uzur. Rumah-rumah papan itu disambung berangkai-rangkai dan rapat-rapat. Ada yang disewakan, dan ada yang diduduki anak atau saudara mara dan adik beradik, yang berkongsi hak sebidang tanah kecil ada yang tidak sampai 0.2 hektar.

Yang duduk di situ berkongsi halaman yang tidak sebesar mana, berkongsi garaj kereta yang beratapkan zink yang penuh dengan besi buruk, bekas plastik petrol dan tayar terpakai, berkongsi tempat menjemur baju malah berkongsi longkang untuk mengalirkan sisa kotoran.

Mantan menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad semasa melancarkan projek itu empat tahun lepas menyatakan harapan pembinaan kondominium itu, yang merupakan hasil usaha anak jati Kampung Baru dan di atas tanah milik sendiri, akan menjadi pencetus kepada usaha pembangunan seterusnya di Kampung Baru.

Beliau juga berpesan bahawa walaupun ingin dimajukan, entiti Melayu yang menjadi kebanggaan di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur hendalah dipertahan selama-lamanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain