suria

Stress mungkin baik untuk anda? (Sempena 'Hari Stress Down pada 6 Februari)

BARU-BARU ini seorang ibu membawa anak lelakinya berusia tujuh tahun menemui doktor pakar setelah anaknya mengalami demam yang berpanjangan sejak memasuki tahun satu sekolah rendah pada 5 Jan lepas.

Sebelum ini, doktor yang merawat budak lelaki tersebut telah menyatakan bahawa dia bebas daripada penyakit yang serius.

"Setiap kali saya bawa anak ke klinik atau hospital, mereka (doktor) hanya bagi ubat untuk demam. Ujian darah pula menunjukkan tiada apa-apa penyakit", ibu tersebut, yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimah, memberitahu penulis di sini baru-baru ini.

"Anak anda adalah normal. Mungkin dia stress kerana masih belum dapat menyesuaikan diri di persekitaran baru sekolah", itulah antara kata-kata oleh pakar kanak-kanak tersebut kepada Rahimah semasa sesi rawatan di kliniknya.

Apa itu stress

Menurut Dr Hans Selye, pengasas teori stress, stress merupakan satu gejala tindakbalas yang tidak spesifik oleh individu terhadap beban yang datang dalam bentuk keresahan yang disebabkan cabaran, ancaman atau perubahan yang memerlukan respon.

Bertentangan dengan persepsi ramai orang, stress boleh dibahagi kepada stress yang baik atau positif yang dikenali sebagai 'eustress' dan yang buruk atau negatif 'distress'.

Pegawai perubatan di sebuah institusi kesihatan di sini, Dr S. Mogan berkata, stress yang positif boleh membuatkan seseorang lebih berhati-hati, fokus dan kreatif dalam kehidupan harian.

Menurut sejarah, Alexander Graham Bell mencipta telefon, alat yang mencetus revolusi dalam bidang perhubungan, ketika ingin membantu tunang beliau yang telah hilang pendengaran. Sukar untuk didefinisi

Kata Dr Mogan, memang sukar untuk memberi definisi mengenai stress kerana ia suatu aspek yang subjektif.

"Kalau anda tanya 10 orang tentang apa yang sebabkan mereka rasa stress, maka anda mendapat 10 jawapan yang berlainan.

"Sebabnya tiada definisi tentang stress yang dipersetujui semua, apa yang stress bagi seseorang mungkin perkara yang menyeronokkan atau tiada apa-apa bagi orang lain.

"Contohnya, penunggang motosikal akan berasa gembira bila dapat memecut kenderaan mereka manakala ini perkara yang menakutkan bagi orang lain. Menang dalam perlumbaan mungkin lebih stress daripada kalah tapi ini merupakan stress yang baik", kata beliau.

Menurut pendidik Fatimah Mansur, stress melonjakkan produktiviti seperti bila pelajar menghadapi peperiksaan. "Pelajar berusaha dengan lebih keras bila peperiksaan telah hampir manakala pekerja di pejabat bekerja dengan lebih cepat bila waktu pulang sudah dekat", kata beliau.

Fatimah berkata, orang ramai perlu mendapat stress yang sesuai untuk produktif dalam kehidupan seharian. "Anda boleh guna dan gembleng stress untuk menjadi lebih produktif", kata Fatimah lagi. Risalah Kementerian Kesihatan

Menurut risalah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, antara punca stress ialah beban kewangan, masalah rumahtangga, menunggu terlalu lama, mangsa buli, beban kerja yang tinggi, suasana persekitaran yang tidak sihat, rasa rendah diri, kesesakan jalan raya, serta tragedi.

Seseorang yang mengalami stress akan menunjukkan kegelisahan, risau keterlaluan dan gangguan emosi, insomnia (tidak dapat tidur), kurang fokus dan tumpuan kerja serta resah dan cepat marah. Mereka digalakkan mengambil 10 langkah 'B' iaitu bertenang, bernafas dengan dalam, berkata 'relakslah', beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam dan berfikiran positif. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain