suria

Gelap dalam terang di Perak

BANYAK di antara berita yang diterbitkan mengenai pergolakan kuasa di Perak sejak awal bulan ini pada peringkat awalnya terlalu kabur dan mengelirukan. Keadaan ini diburukkan lagi dengan keengganan pihak terbabit untuk memberi penjelasan kepada umum mengenai duduk perkara sebenar sehingga ia membawa kepada kancah perundangan.

Teka-teki hanya mula terjawab apabila ketiga-tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat tersebut dilaporkan sedang diberi naungan oleh Barisan Nasional.

Apa pun, kedudukan semasa menunjukkan wakil dari Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat masing-masing menguasai jumlah kerusi yang sama banyak. Dua wakil PKR serta seorang wakil DAP berkenaan kini menjadi calon bebas.

Ketika rencana ini ditulis, Barisan Nasional, atau lebih tepat lagi Umno, telah berjaya merampas kembali negeri tersebut. Namun, hanya segelintir pihak yang dekat dengan barisan pengatur strategi politik di kedua-dua belah pihak yang dapat melihat gambaran sebenar situasi ini.

Golongan yang paling terjejas adalah khalayak ramai yang bergantung kepada maklumat melalui media. Kekalutan maklumat yang tercetus akibat perlumbaan pihak media dalam mendahului laporan berita antara satu sama lain sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan.

Hal ini secara umumnnya disebabkan oleh permainan politik antara kedua-dua kem Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Ada di kalangan pemimpin Pakatan yang mendakwa wakil rakyat mereka telah 'disorok' oleh Barisan Nasional, manakala pihak yang satu lagi berdiam diri seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Umno seharusnya bersikap lebih terbuka dan telus dalam cubaannya untuk kembali berkuasa di Perak. Modus operandi yang bersifat sulit atau senyap-senyap akan memberi gambaran yang salah kepada golongan yang telah lama menyimpan curiga terhadap muslihat politik Umno dan Barisan Nasional.

Apa yang diperlukan oleh Umno kini adalah pembersihan rohani dan jasmani parti berkenaan. Namun, tindakan ini nampaknya bertentangan dengan apa yang diikrarkan oleh pemimpin-pemimpinnya selepas pilihanraya umum ke-12.

Umno tidak bertindak membersihkan strukturnya daripada elemen rasuah tetapi menambahkan lagi risiko dengan memberi naungan kepada dua orang pemimpin PKR yang berhadapan dengan tuduhan rasuah.

Keengganan pemimpin-pemimpinnya mendengar pandangan orang-orang lama di dalam parti dan juga daripada pemimpin-pemimpin parti komponen nampaknya bakal memberi impak yang besar dalam pilihanraya umum ke-13. Pada satu sudut yang lain, sesetengah pemimpin-pemimpin veteran Umno pula tidak dapat memberi banyak tekanan kerana 'dosa' lampau mereka ke atas Istana.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah mengepalai gerakan memansuhkan kekebalan raja-raja Melayu pada 1993 sekadar memberi pandangan bahawa perbuatan membawa Sultan ke mahkamah adalah tidak baik dari segi etika.

Namun, ada peruntukan undang-undang yang membolehkan perkara ini dilakukan, katanya seperti dilaporkan The Star pada Khamis. Ini adalah berikutan tindakan pemimpin DAP Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak.

Media sememangnya memainkan peranan penting dalam mengolah pandangan ramai. Akhbar-akhbar berbahasa Melayu, khususnya, kebelakangan ini cenderung memberikan tajuk besar kepada berita mengenai laporan-laporan polis yang dibuat oleh kumpulan-kumpulan Melayu terhadap Karpal. Ini disertakan juga dengan rencana-rencana yang menitikberatkan elemen 'derhaka' kepada Sultan.

Perkara sebaliknya pula yang berlaku apabila Sultan Negeri Sembilan disaman oleh pelakon hollywood terkenal Bruce Willis berkenaan pelanggaran satu perjanjian perniagaan pada akhir November lalu.

Tidak ada rakyat Negeri Sembilan ataupun rakyat Malaysia yang berdemonstrasi membantah tindakan 'kurang ajar' Willis. Mungkin kerana ini adalah hal berkaitan peribadi ke bawah duli Sultan dan tidak melibatkan pentadbiran kerajaan.

Pelakon yang terkenal dengan filem Pulp Fiction dan siri Die Hard itu pula bukanlah warganegara Malaysia.

Di pihak PKR pula, dua orang ahli Dewan Undangan Negeri Perak yang berpaling tadah itu bukanlah calon wakil rakyat yang paling sesuai. Semasa pilihanraya 8 Mac lalu diadakan dengan tergesa-gesa, PKR dikatakan mengalami masalah besar dalam meletakkan calon yang benar-benar berwibawa.

Sememangnya ramai di kalangan barisan kepimpinan parti adalah dari kalangan yang 'ada otak', tetapi tidak cukup untuk bertanding di kesemua kerusi yang perlu dipenuhkan oleh PKR. Di peringkat bawahan, keahlian parti itu pula pada umumnya terdiri daripada anak-anak reformasi jalanan dan bukannya dari jenis reformasi yang memerlukan keupayaan intelek.

Dua wakil PKR tersebut dikatakan sebagai calon yang paling lemah. Kedua-dua mereka 'terpaksa' dicalonkan juga kerana parti tersebut sudah kehabisan barisan pemimpin yang boleh bertanding di negeri itu. Ini setelah mengambil kira keadaan bahawa ramai yang akan menyokong siapa saja selain Umno dan Barisan Nasional.

Sekiranya dibandingkan dengan DAP, PKR mempunyai lebih banyak sumber dana. Perhatikan sahaja ibu pejabat baru mereka di Merchant Square, Petaling Jaya. Lot pejabat di pusat perniagaan baru itu kelihatan lebih gah berbanding ibu pejabat operasi DAP nasional di unit rumah teres dua tingkat di Seksyen 21, Petaling Jaya.

Namun, pastinya kedua-dua pejabat ini tidak dapat menandingi kehebatan Bangunan Umno Perak di Ipoh. Umno juga tidak perlu mengedarkan kantung-kantung untuk diisi sumbangan derma bagi tujuan itu dan ini di majlis-majlis ceramah mereka, seperti yang sering dilakukan PAS dan DAP.

Lalu, mengapakah dua orang wakil rakyat PKR dan seorang wakil DAP itu berjaya 'dibeli' oleh Umno sekiranya perjuangan yang disertai mereka selama ini adalah sesuatu yang tulus dan suci? Apakah nilai dan kualiti perjuangan yang boleh ditawarkan oleh Umno/Barisan Nasional, sekiranya ia lebih baik daripada PKR mahupun DAP?

Banyak daripada ciri-ciri ini semestinya boleh dikuantum dengan wang ringgit.

Senario ini telah mula kelihatan semasa Kongres PKR, bila ada wakil yang telah mula bersilat lidah dengan kosa kata yang sering kedengaran dalam Perhimpunan Agung Umno, umumnya berkaitan pemberian projek-projek.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa 'semangat juang' ahli-ahli parti 'reformasi' ini telah banyak yang luntur, tambahan pula sinar 16 September yang dijanjikan ketua umum mereka kini telahpun kelam.

SALHAN K. AHMAD

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Syria menggamit rakyat Malaysia

Artikel Lain