suria

'Saudagar senja' si penarik beca

KOTA BAHARU: Di tepian jalan raya yang sibuk dengan kenderaan yang bersimpang-siur di bandar ini, kelihatan sekumpulan penarik beca sedang menunggu pelanggan sambil menyapa orang yang sedang lalu lalang.

"Nok teksi ko? (mahu guna beca?)", itulah sapaan yang biasa didengar.

Beberapa penarik beca ini kelihatan tertidur di atas beca mereka kerana keletihan. Ada juga yang mempamerkan wajah gelisah dan tidak kurang wajah seolah dalam kesedihan.

Berapa sangatlah agaknya penumpang mereka dalam sehari? Bagaimana pula keluarga mereka hidup dengan hasil pendapatan menarik beca?

Di zaman yang serba maju ini di mana manusia mengejar masa, adakah masih ada yang mahu menaiki beca? Lebih cepat naik kenderaan lain. Lebih cepat dan lebih selesa.

Kehidupan yang sukar

Bagi Mat Hussin Said, 63, dari Kampung Paloh, Tumpat, sumber rezeki adalah dengan mengayuh beca.

Beliau yang telah menjadi penarik beca lebih 40 tahun menyifatkan pekerjaan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya menuntut kesabaran dan ketahanan yang tinggi walaupun terpaksa berpanas dan menempuh hujan demi mencari sesuap nasi.

Seawal pukul 7 pagi setiap hari, Mat Hussin sudah berada di tepi stesen bas Kota Baharu menunggu penumpang ataupun barang yang perlu dibawa ke mana sahaja.

Mat Hussin akan menunggu pelanggan yang ingin mendapatkan khidmatnya dengan penuh sabar. Biasanya pelanggan tetap Mat Hussin atau mereka yang sudah biasa menggunakan khidmat becanya akan mencari beliau sendiri bila khidmatnya diperlukan.

Walaupun hidup dalam serba kekurangan namun Mat Hussin mampu memelihara seramai 10 orang anak sementara isterinya Maimunah Saad, 60, tidak bekerja dan hanya mengharapkan hasil pendapatan suaminya.

Pendidikan secukupnya

Mat Hussin mendidik anak-anak dengan memberi pendidikan yang secukupnya kerana beliau tidak mahu mereka mengikut jejak langkahnya sebagai penarik beca.

Semua anak Mat Hussin iaitu enam lelaki dan empat perempuan kini sudah mampu berdikari dengan bekerja sendiri serta menceburi bidang perniagaan runcit.

"Saya amat bersyukur dan berbangga walaupun bekerja penarik beca namun masih mampu mendidik anak-anak hingga berjaya setelah melalui pelbagai keperitan Pernah juga berlapar untuk membeli buku sekolah anak-anak," katanya.

Pernah juga anak-anak Mat Hussin melarang beliau daripada menjadi penarik beca lagi, namun disebabkan sudah biasa dengan pekerjaan itu beliau keberatan untuk meningggalkan kerjaya itu.

Cabaran sebagai penarik beca

Pekerjaan penarik beca tidaklah mendatangkan pendapatan yang lumayan. Ia diibaratkan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

"Pendapatan yang diperoleh tidak menentu bergantung kepada pelanggan ramai atau tidak, namun purata pendapatan sehari ialah antara RM20 dan RM30," katanya Mat Hussin bukan sahaja mengangkut penumpang tetapi menawarkan khidmat menghantar barang seperti beras yang diimport dari Thailand untuk dihantar ke kedai-kedai.

Satu barang yang dihantar hanya dikenakan bayaran RM1.

Jika membawa pelancong, pendapatan yang diperoleh lebih lumayan berbanding dengan membawa penumpang tempatan.

Selama lebih 40 tahun menjadi seorang penarik beca pelbagai cabaran dan keperitan yang telah dilalui termasuklah melayan pelbagai kerenah penumpang. Ada yang cerewet dan ada pula yang baik hati.

"Pernah suatu hari seorang penumpang melemparkan kata-kata kesat menyuruh saya mengayuh beca dengan lebih laju, saya juga turut dihina dengan kata-kata yang tidak sedap didengar", katanya.

Menurut Mat Hussin pada masa kini penggunaan beca semakin berkurangan menyebabkan pendapatan juga tidak menentu.

Ini disebabkan ramai orang mempunyai kenderaan sendiri. Mereka yang bekerja sebagai penarik beca juga ibarat 'saudagar senja' yang semakin pupus di dunia serba moden ini.

"Cabaran yang paling besar ialah kalau hari hujan dan musim tengkujuh. Pada masa ini penarik beca sukar mendapatkan pelanggan. Dalam keadaan hujan tiada seorang pun penumpang yang mahu menggunakan beca kerana mereka pasti akan basah dan mereka lebih selesa memilih teksi ataupun bas", katanya. Kata Mat Hussin, walaupun anak-anaknya sudah besar, beliau akan tetap bekerja sebagai penarik beca selagi mampu melakukannya kerana hanya itulah kemahiran hidup yang ada pada beliau.

"Saya tidak tahu apa lagi hendak dibuat, saya tidak suka duduk di rumah diam sahaja. Bosan kalau tidak buat apa-apa", tambah 'saudagar senja' itu lagi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain