COKLAT, makanan yang diolah daripada biji koko, dikatakan telah menjadi juadah istimewa sejak lebih 1,500 tahun yang lepas.Pada zaman peradaban Maya dan Aztec yang mendiami Mesoamerika dahulu, buah koko adalah bahan makanan yang tinggi statusnya sehingga dianggap santapan para dewa yang hanya dihidangkan dalam upacara keagamaan.Nilai biji koko yang tinggi juga melayakkan ia dijadikan mata wang atau sebagai pemberian istimewa ketika itu.Kini coklat menjadi kegemaran masyarakat dunia. Pelbagai gred, bentuk dan perisa coklat dihasilkan sama ada untuk makanan biasa mahupun sebagai hadiah istimewa.Melihat sektor pasaran terpilih bagi coklat sebagai makanan istimewa inilah yang mencetuskan idea Aimilia Omar, 27, untuk memulakan perniagaan coklat.Aimilia memasarkan coklat buatannya di bawah label "Grandeur" manakala satu produk lagi iaitu kek, di bawah jenama "Marvelcakes".Syarikatnya, AOM Food Industries mula beroperasi pada Mei 2007 dan diusahakan bersama suaminya Tengku Muazam Kamal Tengku Mahmood.Aimilia memberitahu bahawa perniagaan beliau bertitik-tolak daripada minat yang mendalam terhadap bidang bakeri."Keyakinan diri dan keinginan untuk bekerja sendiri menjadi pendorong kepada saya untuk membuka perniagaan bakeri ini", kata Aimilia."Bekerja sendiri lebih memberi kepuasan, dan kita tidak terkongkong. Selain itu, peluang untuk menghasilkan pendapatan terbentang luas dalam bidang makanan", katanya.NAMA YANG MUDAH DIINGATIMenurut Aimilia, nama Grandeur membawa maksud sesuatu yang menakjubkan dan mengagumkan."Nama Grandeur dipilih kerana ia mempunyai bunyi yang universal dan berprestij serta dapat diingati oleh pelbagai lapisan masyarakat sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak", katanya.Jelas Aimilia, koleksi coklatnya unik kerana memiliki pelbagai rasa dan dibuat menggunakan ramuan yang berkualiti tinggi.Bahan utama yang digunakan dalam pembuatan coklat Grandeur iaitu lemak coklat tulen adalah 100 peratus buatan tempatan keluaran Lembaga Koko Malaysia, agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia.Coklat buatan tangan ini terdapat dalam beberapa bentuk dan perisa iaitu pralin (gula-gula coklat) susu, pralin kacang hazel, badam, pralin berinti berperisa pudina, oren, strawberi, lemon, durian, beri biru dan kopi.Terbaru, sempena bulan Ramadan yang bakal menjelang, satu lagi perisa baru diperkenalkan iaitu coklat bersalut kurma."Terdapat dua versi Grandeur yang dipasarkan setakat ini iaitu Grandeur Premium yang diperbuat daripada coklat tulen, dan Grandeur Lite yang diperbuat daripada coklat sebatian iaitu coklat yang dicampur lemak sayuran dan gula", kata Aimilia."Coklat sebatian juga digunakan untuk menghasilkan coklat gourmet yang dihasilkan dalam pelbagai saiz dan bentuk dan dipakej dalam kotak hadiah yang dihias cantik sesuai untuk apa jua majlis", katanya lagi.Setakat ini produknya banyak dihasilkan menggunakan tangan oleh seramai empat pekerja sepenuh masa dan dua pekerja sambilan."Penggunaan mesin adalah terhad tetapi kami bercadang untuk membuat pelaburan pada masa akan datang dengan membeli mesin dan peralatan membuat coklat", katanya.COKLAT DI TALIANMengapa kita tidak temui coklat Grandeur di kedai-kedai?Aimilia berkata, 90 peratus perniagaannya dijalankan dalam talian menerusi Internet selain daripada menyertai pameran, karnival dan ekspo perdagangan anjuran agensi kerajaan dan swasta.Melalui penyertaan dalam pelbagai pameran ini, produk dijual terus kepada pelanggan, dan ini lebih mendekatkan lagi produk AOM di hati pelanggan setianya, kata Aimilia, yang memiliki Ijazah Kejuruteraan Rekabentuk dan Pembuatan Terbantu Komputer dari Universiti Malaya.Menurut Aimilia, penggemar coklat menilai makanan itu dari rupa dan keaslian rasanya."Berdasarkan maklum balas yang diperoleh dari pameran yang kami sertai, ada pengunjung yang menyangka Grandeur adalah coklat buatan Belgium."Setelah kami yakinkan mereka dengan menunjukkan label dan alamat syarikat baru mereka percaya bahawa Grandeur adalah keluaran tempatan", katanya.Pelanggan yang membeli Grandeur mengakui kelazatan coklat ini ternyata setanding dengan coklat buatan luar negara, kata Aimilia.BERMULA DARI KEK BATIKLiku-liku perjalanan AOM dari mula penubuhannya tidak banyak berbeza daripada kisah-kisah kejayaan usahawan yang lain - semuanya bermula dengan kegigihan, kesabaran dan titik peluh."Pada awal perniagaan, kami menggunakan apa yang ada di rumah dengan hanya bermodalkan hasil jualan kek batik yang kami hantar ke kafeteria Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam. Tiada sebarang bantuan daripada pihak bank mahupun pihak-pihak lain", cerita Aimilia.Keuntungan yang terkumpul dari jualan kek tersebut dijadikan modal pusingan untuk memulakan perniagaan. Selain itu Aimilia dan suami juga mula mempelbagaikan jenis makanan dengan memperkenalkan puding gula hangus, kek lapis pandan, kek cawan dan kuih tart."Dari hari ke sehari permintaan semakin meningkat, dan kami menyediakan perkhidmatan penghantaran terus ke rumah. Pelanggan bebas memesan atau mencadangkan hiasan kek mengikut citarasa mereka sendiri".Perniagaan AOM menerima suntikan semangat apabila baru-baru ini menerima geran bantuan sebanyak RM15,000 daripada Jabatan Pertanian Daerah Gombak bagi mengembangkan lagi perusahaan mereka. Pada masa yang sama Aimilia bersama suami juga berusaha memohon bantuan daripada agensi lain.Mengenai persaingan dalam mengusahakan perniagaan ini, Aimilia berkata, ia tidak terlalu membimbangkan kerana beliau yakin kelainan produknya dapat memberi kelebihan dan kepuasan kepada pelanggan.Dengan harga yang kompetitif, isu persaingan bukan menjadi masalah besar.Aimilia juga percaya bahawa selain faktor harga, pelanggan akan tertarik dengan perkhidmatan yang memenuhi keperluan."Pelanggan yang berpuas hati akan kembali lagi untuk mendapatkan produk kami", kata Aimila.Usaha dan pencapaian Aimila ternyata tidak dipandang sepi apabila beliau dipilih untuk menerima Skim Anugerah Jejak Jaya bagi tahun 2009 di Festival Pembangunan Ekonomi Islam anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).HARAPANSetelah lebih dua tahun beroperasi melalui gerai pameran dan di "alam maya", Aimilia menaruh harapan agar barangan buatan tempatan mendapat lebih pendedahan di kalangan masyarakat Malaysia.Masih ramai yang tidak sedar banyak barangan buatan Malaysia mempunyai kualiti yang setanding dengan saingannya di luar negara, jelas Aimilia.Tentunya agak janggal jika barangan buatan Malaysia lebih dihargai orang luar berbanding rakyat negara sendiri.Pada Ekspo Mega Kempen Beli Barangan Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 24 hingga 28 Jun, AOM bukan sahaja mensasarkan jenama Grandeur untuk menembusi pasaran seluruh Malaysia malah sedang meninjau pasaran Timur Tengah, China dan United Kingdom.Coklat Grandeur sesuai diberikan sebagai hadiah hari jadi dan boleh ditempah untuk majlis istimewa seperti perkahwinan, mengikut konsep pilihan masing-masing.Coklat Grandeur dan produk lain keluaran AOM boleh dipesan melalui laman web http://marvelcakes.blogspot.com atau http://grandeurchoc.blogspot.com. Penggemar coklat juga boleh menghubungi AOM di talian (03) 6137 6296. BERNAMA