KEWARTAWANAN secara umumnya adalah satu bidang komunikasi yang mana wartawan berperanan sebagai medium untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Perkara paling mendasar yang membezakan kewartawanan Islam dan Konvensional ialah Kewartawanan Islam adalah satu profesion yang berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah. Kewartawanan Islam mementingkan pegangan tauhid yang kukuh, menghayati serta melaksanakan suruhan Islam dengan penuh keikhlasan dan bertujuan untuk menegakkan agama Allah. Tujuan kewartawanan Islam adalah menanam nilai yang baik dalam individu, menegakkan amal maaruf nahi mungkar dan menyebarkan dakwah Islam. Ini penting terutamanya dalam era ledakan teknologi dan globalisasi di mana agama Islam itu sendiri telah menghadapi pelbagai cabaran. Media baru seperti 'blog' yang sekarang ini tumbuh bagai cendawan setiap hari telah disalagunakan kerana terdapat usaha-usaha memburukkan dan menyebarkan fitnah tentang Islam melaluinya terutama selepas berlaku peristiwa serangan 11 September 2001 yang telah menjejaskan imej Islam. Oleh sebab itu wartawan Muslim perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan untuk menangkis tomahan tidak baik dan memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap Islam. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Mashitah Ibrahim berkata wartawan Islam sebenarnya memainkan peranan yang besar dan memikul tanggungjawab yang berat. "Wartawan Islam adalah seorang pendidik, pendakwah dan pemimpin," katanya ketika merasmikan kursus kewartawanan Islam anjuran Yayasan Taqwa dan MPI. Prof. Dato' Dr. Mohd. Yusof Haji Othman ketika menyampaikan ceramahnya dalam kurus tersebut juga telah menjelaskan peri pentingnya konsep kewartawanan dalam Islam. "Media tanpa agama buta, agama tanpa media tempang," kata Dr. Yusof. Ketika membentangkan kertas kerjanya dalam kursus tersebut, Dr. Naim Haji Ahmad menjelaskan, kewartawanan Islam perlu berteraskan kepada al-Quran dan Sunnah kerana terdapat ayat-ayat dan sunnah Rasulullah yang dapat dijadikan panduan bagaimana adab-adab dan cara-cara perhubungan dengan ketua, teman sekerja, keluarga, ibu bapa, sesama manusia, masyarakat malah adab-adab perhubungan dengan alam persekitaran dan makhluk-makhluk yang bukan jenis manusia dan sebagainya."Dalam Islam, profesion kewartawanan sebenarnya adalah satu tugas dan kerja yang murni dan ia juga merupakan satu ibadah jika dimulakan dengan niat yang baik, ikhlas serta tatacara yang berasaskan syariat islam,""Wartawan Muslim wajib menghayati dan mengamalkan kehidupanan sebagai seorang islam dan mempunyai tanggungjawab sosial serta turut berperanan penting dalam membentuk kehidupan sahsiah masyarakat melalui penulisan berita, rencana, laporan, dan sebagainya dalam media cetak ataupun elektroni,""Setiap kandungan yang disampaikan mesti diteliti dan mempunyai mesej yang baik untuk tujuan medidik, menerapkan nilai murni dan menyebarkan dakwah,"kata Dr. Naim. Etika turut memainkan aspek yang penting dalam kewartawanan Islam, ini kerana budaya perlakuan yang diamal dan budaya material yang digunakan dalam setiap aspek kehidupan haruslah berdasarkan kepada kod etika yang meliputi nilai Islam. Sebagai contoh, wartawan Muslim harus memastikan kesahihan terhadap apa yang dikata dan didengar. Menurut Sheikh Al-Azhar Muhammad Sayyed Tantawi (2004), prinsip terpenting dalam membanteras berita palsu ialah dengan mengenalpasti kesahihan berita yang didengar dan yang diperkatakan oleh masyarakat. Selain itu juga, wartawan Muslim perlu menyediakan diri dengan fakta yang bernas dan hujah yang kukuh. Sebagai seorang muslim maka wajib memerangi berita palsu dan yang tidak berasas dengan hujah dan fakta yang benar serta teori dan praktikal yang betul yang dapat menumpaskan penipuan. Sikap bersangka baik juga harus diperbanyakkan oleh seorang wartawan Muslim kerana menurut Imam Tantawi antara hukum terbaik yang didatangkan oleh syariat Islam untuk memerangi propaganda dan berita palsu ialah membiasakan manusia supaya bersangka baik sesama mereka kerana Al-Quran telah menyatakan bahawa sangkaan baik terhadap orang lain merupakan sifat orang yang benar-benar beriman. Wartawan Muslim yang sebenar adalah wartawan yang komited, kuat bekerja, ikhlas dan sentiasa berharapkan keberkatan dan keredhaan Allah. Nama-nama seperti Abdullah Munsyi, A.Rahim Kajai, Zaaba, Tok Kenali, Samad Ismail, Burhanuddin Helmi dan ramai lagi adalah contoh wartawan terbaik dalam bidang kewartawanan Islam kerana sumbangan besar mereka dalam bidang penulisan. Cadangan kerajaan untuk mewujudkan rangkaian televisyen Islam yang khas baru-baru ini adalah langkah yang harus dipuji, langkah ini dapat menampung keperluan dan permintaan siaran program-program berbentuk kekeluargaan, sosial, budaya serta ekonomi yang mencakupi tuntutan syariat. Rangkaian televisyen Islam itu nanti berupaya menjadi pilihan untuk umat Islam negara ini memperoleh maklumat tepat mengenai sesuatu perkara yang menyentuh syariat Islam dan akhirnya akan dapat mencapai matlamat Islam itu sebagai cara hidup.