MENCARI kesalahan orang lain adalah satu perbuatan yang terkutuk dan ditegah di sisi agama.Tetapi menyalahkan orang lain kerana masalah yang menimpanya dengan harapan untuk tidak dipersalahkan adalah jauh lebih buruk dan tidak bermaruah sama sekali.Apa yang kita lihat sekarang dalam kemelut politik yang berlaku di Kedah melibatkan DAP dan PAS serta reaksi-reaksi yang diberikan oleh kepemimpinan tertinggi Pakatan Rakyat terhadap kemelut-kemelut yang dimaksudkan, mencerminkan sikap hipokrit para pemimpin politik tertentu dalam menangani kemelut yang meletus.Tetapi yang apa yang lebih mengundang kemarahan rakyat ialah dari segi cara pemimpin parti politik seperti dari pakatan pembangkang cuba mengalihkan kemelut demi kemelut dan menyapunya ke bawah permaidani, seolah-olah masalah yang melanda sudah selesai atau tidak pernah wujud.Yang tahu dibuatnya ialah untuk menjadikan pihak lain sebagai kambing hitam, lalu memberi laluan mudah kepada mereka.Lihat sahajalah kepada kenyataan-kenyataan bersifat defensif yang dikemukakan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz dan ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution.Sudah menjadi kebiasaan untuk Anwar menyalahkan apa-apa sahaja kemelut politik PR kepada musuh politiknya dari BN termasuklah juga media-media perdana yang memburukkan namanya. Dan terbukti, sikap tersebut terbawa-bawa ke Kedah apabila beliau mendakwa tindakan DAP Kedah untuk keluar pentadbiran negeri Kedah sebagai angkara media-media perdana tertentu yang cuba memperbesar-besarkan ketegangan di negeri Jelapang Padi itu.Tok Guru Nik Aziz pula mengambil pendirian berkecuali dan tidak mahu campur tangan dalam kemelut tetapi sebaliknya menyerahkan kewibawaan MB Kedah untuk menyelesaikannya. Manakala Nasution pula menyifatkan kemelut dalaman DAP Kedah itu sebagai isu kecil dan tidak akan menjejaskan keutuhan PR.Cara PR menguruskan krisis dalaman mereka dilihat kurang matang dan memperlihatkan kelemahan ketara dari segi command of leadership.Kenyataan dan penegasan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim bahawa isu DAP Kedah keluar dari kerajaan negeri Kedah boleh diselesaikan dalam suasana baik hanyalah satu stop-gap measure bertujuan untuk menjernihkan keadaan. Tetapi hakikatnya, keluhan dan ketidakpuasan hati DAP Kedah tidak selesai ke mana.Ingatlah, rakyat tidak begitu bodoh dan mudah terpedaya dengan penafian-penafian tadi. Kalau wujudnya kemelut/konflik, akuilah sahaja. Buat apa mengatakan bahawa ia bukan masalah, tidak akan menjejaskan keutuhan PR dan menyalahkan media sebagai dalangnya?Bukankah PR merupakan sebuah pakatan yang berpegang teguh kepada prinsip kebenaran, keadilan dan ketelusan? Di manakah perginya semangat yang diuar-uarkan itu? Apakah ianya hanya jadi laungan kosong bagi meraih simpati pengundi? Benarkah ego itu lebih tinggi harganya daripada undi seorang rakyat?Realitinya, ini bukan kali pertama sindrom menyalahkan pihak lain dan penafian berlaku dalam PR. Malah dalam isu kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Presiden PAS baru-baru ini, terdapat usaha-usaha tertentu untuk menyalahkan pihak UMNO yang cuba memporak-perandakan PR.Isu pelantikan Mokhtar Mohd Jait sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang dipulau oleh PKR gara-gara Ketua Menteri Pulau Pinang tidak berunding dengan PKR turut menjadi fokus.Di pihak KM Pulau Pinang, beliau menyerahkan pengumuman Mokhtar Mohd Jait sebagai YDP MPSP kepada TKM I, Dr. Mansor Othman.Di pihak Johari Kassim orang yang menjadi tumpuan, beliau pula menuduh KM Pulau Pinang sebagai bermain helah dan melepaskan diri daripada persetujuan awal yang dicapai sebelum ini.Apa yang pastinya, proses menyalahkan antara satu sama lain dalam PR sudah bermula dan ia akan terus bermaharajalela sekiranya semua pemimpin dalam PR hanya mementingkan kedudukan, pangkat dan status mereka.Sampai bila lagi para pemimpin PR akan bersikap sedemikian? Jikalau inilah sikap anda, maka jangan terkejut sokongan padu yang diberikan oleh rakyat kepada PR yang menyaksikan kejatuhan lima buah negeri di Semenanjung tidak termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, akan beralih haluan sekali lagi.Sebagai seorang penduduk di Lembah Klang, saya amat sedih dan kecewa melihat sikap pemimpin PR yang hanya pandai menjerit-jerit dan memberi janji-janji tetapi di akhirnya gagal memenuhi keperluan rakyat.Dahulunya bermacam-macam janji diberikan sebelum PRU dan berjanji untuk menunaikannya tetapi sampai hari ini, apa jadi?Sebenarnya sikap sedemikian tidak banyak bezanya dengan para pemimpin kerajaan mahupun pembangkang terdahulu yang gagal melaksanakan kewajipan dengan baik.Sesungguhnya, imej PR yang digembar-gemburkan dalam media tempatan dan blog sebagai sebuah parti yang memperjuangkan semua kaum, memang sedap didengar dari jauh, tetapi dari dekat, ia memberikan mesej yang mengelirukan.Perlukah saya sebagai seorang pengundi bermuhasabah dan memikirkan semula parti manakah yang harus saya pilih pada PRU akan datang? Begitulah rasanya dalam hati saya ketika ini dan saya percaya semua rakyat yang celik huruf dan berpengetahuan mungkin mempunyai pandangan yang sama.Cukuplah dengan sandiwara dan politiking anda. Apa yang rakyat mahukan ialah penyelesaian dan pembelaan kepada semua masalah yang dihadapi. Hayatilah apa yang diluahkan oleh rakyat sebelum ditolak pada PRU 13 akan datang. PENYOKONG PAKATAN YANG CUKUP KECEWA. Selangor.