FESTIVAL Muzik Kuala Lumpur 2009 masuk tahun keempat tahun ini dan seperti tahun-tahun sebelumnya ia adalah pembuka tirai kepada bulan Kuala Lumpur Festival yang diadakan sepanjang Julai.Festival Muzik KL kali ini diadakan pada 15 Julai dan 10 Julai yang menyaksikan enam konsert kesemuanya iaitu konsert "Lelaki Ini" oleh Anuar Zain, konsert "Ahmad Nawab Goes To Life Centre', konsert "Generasi Baru", konsert "Sound of Malaysia", konsert "Ruhani", konsert "Xtravaganza Nostalgia Semalam Di Malaysia" pada 10 Julai.Maklumbalas daripada orang ramai menunjukkan bahawa konsert 15 haribulan ada perbezaan dari segi penerimaan rakyat."Konsert "Lelaki Ini" oleh Anuar Zain, di Istana Budaya pada 12 Julai mendapat sambutan yang amat hangat dan untuk pertama kali semua tiket habis dijual. Jadi kita lihat sendiri tarikan Anuar Zain yang mempunyai peminat yang amat ramai ", kata Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli kepada Bernama.Persembahan Ahmad Nawab di Life Centre, yang menampilkan Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Syafinaz Selamat, Man Kidal, Steve Thorton dan Koir Kebangsaan turut mendapat sambutan hebat apabila 1,500 orang menyaksikannya.Konsert Rohani (4 Julai) dan konsert Sound of Malaysia (5 Julai) di Istana Budaya masing-masing dihadiri kira-kira 800 penonton dan konsert Generasi Baru di Hard Rock Cafe (5 Julai) mendapat sambutan hangat.Manakala Konsert Xtravaganza Nostalgia Semalam Di Malaysia (10 Julai) di Life Centre yang menampilkan penyanyi 70-an dari keduadua negara menyaksikan jualan tiket mencecah 1,000 dan ini membuktikan masih ramai yang berminat nostalgia penyanyi era berkenaan.Venue baruSatu daripada ciri penampilan baru bagi Festival Muzik kali ini ialah ia diadakan luar dari Istana Budaya bagi tujuan menampakkan kelainan di samping pengisiannya untuk golongan generasi muda hinggalah yang berumur.Venue baru yang terlibat ialah Life Centre dan Hard Rock Cafe."Kami merasakan ini satu eksperimen yang berjaya kerana kita telah mendapat venue yang lain selain dari Istana Budaya", jelas Norliza.Kalau sebelum ini Festival Muzik lebih dikenali sebagai festival tradisional tetapi tahun ini skopnya lebih luas merangkumi rock hinggalah kepada R&B dan tradisional.Pada tahun ini juga semua konsert adalah bertiket berbanding empat tahun pertama ada yang diberi percuma kerana penganjur tidak yakin orang akan datang jika dikenakan tiket."Pada tahun ini semua kerusi dikenakan tiket cuma kadar bayarannya amat munasabah dari RM25 hingga RM250 dan sudah tentu yang banyaknya ialah RM25.Kebanyakan tiket habis dijual melainkan konsert Rohani dan Sound Of Malaysia yang mungkin bukan konsert ekstrem.Jana pendapatanDari segi pendapatan kepada negara ia dianggap membanggakan pada tahun ini.Dalam hubungan ini Norliza berkata, ada dua implikasi satu mungkin masyarakat telah faham bahawa untuk menyaksikan persembahan yang baik dalam prasarana yang selesa seseorang itu perlu bayar dan kalau mahu percuma mungkin melibatkan persembahan di padang-padang.Masyarakat Malaysia bersedia untuk membayar bagi menyaksikan persembahan yang baik bukan sahaja untuk festival muzik malah teater dan seumpamanya."Kita perlu membayar sebagai menghargai tenaga kreatif di belakang persembahan tersebut", jelas beliau lagi. Kedua mungkin pada tahun ini lebih ramai yang membeli tiket kerana festival muzik khususnya menyediakan hidangan yang bersesuaian bagi pelbagai peringkat umur.Jadi bagi yang agak berumur boleh ke konsert nostalgia Semalam Di Malaysia manakala generasi muda ke Hard Rock Cafe untuk menyaksikan Meet Uncle Hussain dan ini menampakkan kepelbagaian dalam festival muzik tahun ini.Mungkin itu adalah antara sebab tiket habis dijual dan insyaallah berdasarkan maklumbalas yang diterima tahun ini JKKN akan terus memantapkan pelaksanaan Kuala Lumpur Festival."Sudah tentu kita akan sediakan pada tahun hadapan kepelbagaian program muzik dan venue untuk keselesaan di samping mendapatkan lebih ramai penaja kerana pembangunan seni muzik bergantung kepada gandingan kerajaan dan swasta", jelas beliau.Kuala Lumpur FestivalMengenai Kuala Lumpur Festival, Norliza berkata, keputusan untuk mengadakannya diputuskan oleh jemaah menteri empat tahun lepas yang berpendapat Kuala Lumpur perlu ada satu festival yang dapat menaikkan nama Kuala Lumpur itu sendiri di persada antarabangsa seperti festival lain."Jadi untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat seni dan budaya antarabangsa itulah matlamat utama. Bila orang sebut Kuala Lumpur dia akan fikir seni dan budaya", katanya.Kuala Lumpur Festival adalah gandingan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pelancongan dan Kementerian Wilayah Persekutuan.Bulan Julai dipilih atas nasihat Kementerian Pelancongan kerana pada bulan itu menyaksikan kehadiran paling ramai pelancong terutama dari negara Teluk Arab ke Malaysia.Sebenarnya Kementerian Pelancongan memasarkan Malaysia sebagai destinasi seni dan budaya sepanjang tahun tetapi oleh kerana Julai adalah bulan yang teramai pelancong menyebabkan festival itu diadakan pada bulan tersebut.Jadi kalau dilihat matlamat kedua Kuala Lumpur Festival ini juga ialah untuk memaparkan aktiviti seni dan budaya yang pelbagai dalam satu bulan ini, yang bukan sahaja bertujuan untuk pelancong luar negara malahan dalam negara.Yang ketiganya sudah tentu untuk merancak industri pelancongan negara kerana dengan kehadiran pelancong luar dan dalam negara ia menyumbang secara langsung kepada pendapaan negara."Insyaallah kita akan mensajikan kepelbagaian di dalam persembahan dan acara agar dapat menarik minat golongan ini dan mereka yang datang dari Eropah", katanya.Kerjasama swastaUntuk tahun 2009, sebanyak 70 aktiviti telah dikumpul berbanding 84 pada tahun lepas. Penurunan jumlah aktiviti ini mungkin dipengaruhi oleh keadaan ekonomi masa kini dan bagi meningkatkan kualiti."Sebenarnya 70 aktiviti ini bukan semua dilaksanakan oleh kementerian kerana ia mendapat kerjasama daripada 15 pihak swasta yang menyenaraikan acara masing-masing yang cuba dipasarkan oleh kementerian", katanya.Terdapat lima jenis aktiviti utama iaitu seni pementasan, yang merangkumi tari, teater dan muzik; seni tampak (lukisan, arca), bahasa dan persuratan (buku, gurindam dan puisi), warisan (kerja kahwin, permainan tradisional, lawatan ke muzium dan tempat bersejarah) dan kraf dan tekstil (yang diterajui oleh Kraftangan Malaysia menampilkan songket, batik, pelbagai fabrik rakyat Malaysia) sepanjang bulan Julai ini. Kerja kahwinAntara program yang amat besar pada bulan Julai ini ialah ekspo 'Kerja Kahwin' dan perkahwinan Malaysia."Ini kita adakan khusus bukan sahaja untuk pelancong luar negara malahan pelancong dalam negara untuk persediaan perkahwinan", kata Norliza.Ekspo Kerja Kahwin yang diadakan di Kraftangan Malaysia di Jalan Conlay berlangsung dari 4 hingga 13 Julai, dikendalikan oleh JKKN, melibatkan persembahan oleh lapan etnik kaum itu sendiri seperti Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Iban, Kadazan dan Orang Asli.Persembahan kerja kahwin itu melibatkan dari merisik, meminang, bertunang hinggalah ke acara perkahwinan, katanya."Seni dan budaya merupakan satu komponen penting dalam usaha untuk membangun dan memajukan negara. Masyarakat Malaysia yang berbudaya, bersatu dan mengamalkan nilai-nilai murni adalah intipati utama untuk menentukan negara dan rakyatnya mencebapi kesejahteraan hidup."Oleh yang demikian program pembangunan seni budaya bagi melahirkan masyarakat berbudaya dan cintakan seni perlu dipertingkat dan dimantapkan", kata Norliza. BERNAMA