suria

Urutan bayi erat hubungan ibu dan anak

KAEDAH penyusuan bayi memang diakui keberkesanannya dalam meningkatkan interaksi dan ikatan yang erat di antara ibu dan bayi.

Malah bayi yang mendapat susu ibu secara eksklusif selama enam bulan bukan sahaja mendapat nutrien yang lengkap dan kuat daya imunisasinya, tetapi turut memiliki IQ yang tinggi.

Bagaimanapun, selain penyusuan ibu secara eksklusif sehingga bayi berusia 3 tahun, ada satu lagi kaedah yang membantu merangsang tumbesaran bayi yang sihat dan cergas iaitu urutan bayi.

Kajian perubatan moden menunjukkan bahawa urutan bayi meningkatkan tumbesaran tulang bayi sebanyak 15 peratus. Malah, urutan yang kerap juga ialah rahsia bagi menggalakkan perkembangan kemahiran motor yang lebih baik.

Ia turut membantu perkembangan otot dan orientasi yang semuanya amat penting dalam membantu bayi untuk belajar berdiri dan seterusnya berjalan.

Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail yang ditemui selepas menyampaikan teknik urutan bayi dalam bengkel Urutan Bayi "Touch' anjuran Johnson & Johnson Sdn Bhd berpendapat, dengan urutan, bayi yang lahir pra-matang akan bertambah beratnya 47 peratus dengan lebih cepat, manakala bayi yang cukup bulan dan sihat mempunyai stres yang lebih rendah serta daya ketahanan yang tinggi untuk melawan penyakit.

"Urutan adalah satu sentuhan yang ajaib antara ibu bapa dan bayi. Misalnya, apabila si ibu mengurut bayinya dengan cara memicit dan menenangkan bayi secara lembut, bayi dapat merasai perasaan kasih sayang ibu tadi dipindahkan kepadanya melalui sentuhan jari-jemari. Begitu juga sebaliknya. Ibu dapat merasai tindak balas bayi terhadap sentuhan mereka," jelas beliau.

FAEDAH URUTAN BAYI

Menurut Dr Zulkifli, kebanyakan ibu bapa bimbang untuk mengurut bayi mereka kerana tidak dapat mengagak tekanan bagaimana yang patut dikenakan ke atas tubuh bayi mereka dan risau sekiranya ia mendatangkan kecederaan.

Bagi Dr Zulkifli, sekiranya ibu bapa ingin memulakan urutan ke atas bayi mereka, ia boleh dimulakan dengan sentuhan yang lembut.

"Tekanan ditambah perlahan-lahan apabila ibu semakin yakin dan bayi pula kelihatan selesa dengan urutan anda," jelas Dr Zulkifli.

Selain merapatkan hubungan antara ibu dan bayi, urutan bayi juga dapat membantu pembesaran fizikal bayi. Ia turut menguatkan ketahanan tubuh badan, membina keyakinan diri dan membantu bayi berasa tenang dan selesa. Malah, bayi juga dapat tidur dengan lena.

Urutan bayi turut merangsang proses penghadaman makanan. Proses penghadaman akan lebih efisien, walaupun nutrien sama, bayi yang diurut akan menggunakan zat makanan dengan lebih baik lagi.

"Semasa mengurut, ibu bapa dan bayi juga akan mempunyai hubungan mata. Sentuhan penuh kasih sayang daripada ibu bapa juga menambah interaksi antara mereka dan membentuk hubungan ibu bapa-bayi yang erat.

Selain itu, Dr Zulkifli turut mengingatkan ibu yang ingin melakukan urutan bayi hendaklah mendapat kerjasama yang sepenuhnya daripada bayi. Mengurut bayi merupakan satu aktiviti terapeutik dan ia boleh dilakukan melalui perasaan kasih sayang di samping mewujudkan suasana bergurau senda yang mesra.

Kadang kala bayi mungkin terasa letih. Maka tiada rangsangan diperlukan. Bayi perlu berehat dan cubalah mengurut bayi anda selepas tidur.

LANGKAH PERMULAAN

1.Pastikan anda berkeadaan selesa, tidak tergesa-gesa, kuku yang pendek dan tidak terganggu selama 15 minit. Mainkan muzik yang agak perlahan untuk menenangkan perasaan anda dan bayi anda.

2.Pastikan keadaan bilik sederhana panas sepanjang waktu mengurut. Bentangkan selimut atau kain yang lembut untuk bayi dibaringkan.

3.Urutan paling sempurna dapat dilakukan sebaik-baiknya selepas mandi dan ketika bayi belum berpakaian. Bagaimanapun, urutan juga dapat dijalankan semasa bayi berpakaian.

4.Minyak bayi yang lembut boleh mengurangkan geseran ke atas kulit bayi. Gosok kedua-dua belah tangan untuk memanaskan tangan sebelum menyentuh bayi anda. Sapukan minyak secukupnya di tangan anda supaya anda boleh mengurut dengan lebih mudah.

5.Bermulalah dengan sentuhan yang lembut. Tambahkan tekanan secara perlahan-lahan apabila anda semakin yakin dan bayi anda berasa selesa dengan urutan anda.

6.Pandanglah mata bayi anda, menyanyi atau bercakaplah dengannya sambil mengurut.

7.Seelok-eloknya, anda mengurut pada waktu yang sama setiap hari, agar bayi dapat merasainya sebagai satu rutin.

8.Adalah disyorkan untuk anda bermula dari kepala hingga ke hujung kaki, kemudian baru beralih ke bahagian belakang bayi.

AMBIL PELUANG BELAJAR TEKNIK URUTAN

Selain berpeluang mempelajari teknik urutan bayi daripada pakar, bengkel satu hari itu turut menunjukkan kepada ibu-ibu terutamanya kepada bakal ibu cara-cara memandi dan menyusukan bayi.

Ia pernah diadakan pada tahun lalu dan sambutan hangat yang diterima menunjukkan bahawa lebih ramai ibu bapa sedar akan kepentingan terapi 'sentuhan' dan mereka mengambil inisiatif untuk mempelajari cara yang betul dan berkesan untuk mengurut bayi.

Bengkel ini akan diadakan pada hujung minggu dalam bulan Julai dan Ogos di Selangor, Sabah, Melaka, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi talian 1-300-88-0566 (dari Isnin-Jumaat, 9 pagi-5 petang). BERNAMA

Artikel Lain