suria

Panduan pencegahan gangguan seksual di dalam tren

MENGGUNAKAN pengangkutan awam seperti tren seharusnya merupakan satu pengalaman yang selamat dan selesa.

Walaubagaimanapun, dalam situasi hari ini, para penumpang harus sentiasa berwaspada di atas kemungkinan berlakunya kes gangguan seksual di dalam tren.

Menyedari kemungkinan ini, maka KTM Berhad ingin berkongsi tips dan cadangan bagi mengelakkan anda menjadi mangsa gangguan individu yang tidak bertanggungjawab.

Untuk makluman, tiada undang-undang khusus berkaitan gangguan seksual dalam pengangkutan awam di Malaysia.

Apa itu gangguan seksual?

Gangguan seksual adalah perlakuan, keadaan atau perbuatan yang boleh terjumlah kepada gangguan seksual seperti berikut:

Gangguan secara lisan

Penggunaan bahasa lucah melalui perbualan, cerita, jenaka atau membuat bunyi-bunyian, kritikan atau pujian yang berunsur seksual ke atas penampilan, pakaian, tingkah laku, tubuh badan atau aktiviti seksual sehingga seorang tersinggung atau terhina.

Gangguan secara isyarat

Gangguan yang dipamerkan dengan memberi maksud atau keinginan yang berunsur seksual, seperti menjeling, menggoda, menjilat bibir, menunjukkan anggota sulit atau bahasa isyarat yang lucah.

Gangguan secara visual

Menunjukkan gambar atau objek melalui bahan cetak, atau media elektronik seperti telefon, kamera, audio-visual sehingga menyebabkan penumpang berasa terganggu, tersinggung atau terhina.

Gangguan secara fizikal

Gangguan berbentuk fizikal yang berunsur seksual seperti mendekati seseorang dalam keadaan terlalu dekat sehingga menyebabkan seseorang itu merasa kurang selesa, memeluk, memegang, menepuk, mengosok, mencubit, mencium dan meraba seseorang sehingga dia merasa terhina dan tersinggung.

Apakah yang boleh dibuat oleh penumpang bagi mengelak daripada berada dalam situasi di atas?

Rancang masa perjalanan anda bagi mengelak daripada menggunakan pengangkutan awam pada waktu larut malam.

Semasa berada di dalam tren, pastikan anda berada di tempat yang selamat (seperti berada di kalangan penumpang sama jantina atau mereka yang membawa keluarga).

Jika anda mendapati diri anda berseorangan atau berada di kalangan hanya beberapa orang individu di dalam koc, adalah lebih selamat dan selesa sekiranya anda berpindah ke koc yang mempunyai ramai penumpang.

Di dalam tren yang sesak, pastikan posisi badan anda berada dalam keadaan paling selesa dengan sentuhan yang minimum antara anda dan penumpang lain.

Tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku gangguan seksual di dalam tren

Jangan panik. Segera berpindah ke tempat/koc yang lebih selamat.

Cakap dengan kuat dan tegas. Maklumkan kepada pengganggu untuk memberhentikan perbuatan yang dilakukan. Jika perlu, pekik atau jerit untuk menarik perhatian orang lain.

Duduk/berdiri di tempat lain seperti berhampiran penumpang yang lain jika anda merasa lebih selesa berbuat demikian;

Ambil tindakan yang agresif ke atas pengganggu seperti menyembur pewangi, mencucuk dengan pin tudung, menghentak kaki penganggu dengan hujung payung atau apa saja tindakan yang difikirkan terbaik untuk keselamatan diri anda. Ini akan menarik perhatian orang lain dan akan memeranjatkan pengganggu dan menghalang hasratnya;

Segera laporkan gangguan atau ugutan penumpang kepada Pusat Panggilan KTM Berhad, 03-22671200 antara pukul 7.30 pagi hingga 9.30 malam setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum atau anda boleh hubungi talian Bantuan Kecemasan KTM Berhad, 03-22631194 selepas pukul 9.30 malam;

Segera membuat laporan polis sekiranya pengganggu melakukan sesuatu seperti mencabul kehormatan. Ini merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Mintalah bantuan kakitangan atau pegawai KTM Berhad yang bertugas. Cuba beri gambaran yang jelas kepada polis tentang pengganggu tersebut, bahan bukti seperti rakaman gambar pengganggu (melalui telefon bimbit dan sebagainya) dan jika boleh dapatkanlah seorang saksi kejadian tersebut untuk turut hadir bersama-sama anda.

Unit Khidmat Pelanggan KTM Komuter

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain