suria

Istana Budaya jadi platform utama realisasikan KL sebagai bandar seni

SEPULUH tahun berdiri gah menaikkan taraf seni persembahan dengan membuka pintu kepada persembahan tempatan dan antarabangsa, kini pentas berprestij Istana Budaya (IB) dilihat menjadi platform utama bagi merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar seni.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani berkata Istana Budaya dengan kedudukannya yang strategik bukan sahaja mempunyai panggung teater yang canggih untuk seni persembahan tetapi juga mempunyai kemampuan mementaskan pelbagai genre persembahan.

"Istana Budaya menjadi tempat utama bagi wadah pembangunan seni dan sebagai peneraju utama untuk Kuala Lumpur menjadi bandar seni," katanya dalam temu ramah dengan Bernama di sini, baru-baru ini.

"Kedudukan yang strategik di Jalan Tun Razak, bersebelahan dengan Balai Seni Lukis Negara dan bersambung dengan Perpustakaan Negara Malaysia menjadikan Istana Budaya sebagai pusat rantai budaya yang sesuai sebagaimana bandar-bandar seni yang lain seperti bandaraya Paris."

"Acara rasmi negara serta festival antarabangsa dan tempatan yang berlangsung di Istana Budaya mewajarkan Istana Budaya menjadi salah satu tempat utama untuk mengangkat Kuala Lumpur sebagai bandar seni," katanya.

Penonton baru

Beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang menyiapkan Laman Budaya di belakang Istana Budaya yang secara tidak langsung akan menjadikan pentas itu sebagai prasarana yang akan menyerlahkan lagi aktiviti seni dan budaya di Kuala Lumpur.

Peningkatan minat masyarakat terhadap seni sejak pembukaan Istana Budaya 10 tahun lepas juga dilihat berubah apabila rakyat Malaysia kini sudah mula mengenali seni persembahan itu sendiri baik dari segi penonton mahupun syarikat produksi.

"Atas saranan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan memberi tumpuan kepada remaja sekolah, ia memberi impak dalam mewujudkan penonton baru yang bakal menjadi pelapis kepada negara.

"Program seperti pementasan naskah sejarah dan persembahan kesenian tradisional menjadi teraju persembahan utama Istana Budaya dalam usaha mewujudkan masyarakat yang mengenal jati diri mereka dan bandar seni".

Beliau berkata sejak pengenalan slogan "Merakyatkan Istana Budaya", perubahan minda masyarakat kini sudah dapat dilihat dari segi sambutan kepada pelbagai program yang dianjurkan sama ada oleh produksi tempatan atau antarabangsa.

Fenomena baru

Katanya, jika sebelum ini masyarakat lebih memberi fokus kepada persembahan antarabangsa, kini syarikat produksi tempatan bersedia melabur dengan perbelanjaan yang tinggi dalam sesebuah produksi.

"Sebagai contoh, syarikat Enfiniti Production membawa fenomena baru kepada masyarakat apabila berjaya mencapai kutipan mengatasi 2 juta untuk satu-satu pementasan yang selama ini tidak pernah dicapai di Malaysia," katanya.

Beliau berkata tranformasi yang dilakukan terhadap Istana Budaya kini bukan sahaja mampu mengubah mentaliti masyarakat dalam menghargai seni, namun yang nyata ia juga berjaya menarik golongan remaja menjejakkan kaki ke pentas.

"Usaha Istana Budaya dengan menampilkan persembahan yang menjurus kepada minat golongan remaja dan mengangkat ikon-ikon mereka sebagai pendukung utama boleh membawa golongan ini untuk meminati seni budaya.

"Istana Budaya menyediakan pakej khas kepada golongan ini dengan kadar yang minimum dalam usaha menarik minat mereka datang menonton di Istana Budaya," katanya.

Program pelbagai genre

Hasil kajian menunjukkan bahawa usaha Istana Budaya menjual tiket terus ke sekolah memberi impak yang besar kepada kedatangan golongan ini untuk menyaksikan persembahan di Istana Budaya.

Istana Budaya kini mempunyai lebih 100 buah sekolah dari seluruh Malaysia yang menjadi pelanggan setia dalam menyokong produksi Istana Budaya.

Pastinya, beliau berkata 'tag line' itu juga nyata sudah membuahkan hasil kerana Istana Budaya kini berjaya menarik pelbagai kaum dan lapisan umur masyarakat ke lokasi itu.

"Seboleh mungkin Istana Budaya ingin mengubah persepsi masyarakat yang selama ini merasakan Istana Budaya hanya untuk golongan elit," katanya.

Di samping program besar di Panggung Sari, katanya, Istana Budaya juga mengambil inisiatif menganjurkan program pelbagai genre di panggung Lambang Sari yang lebih kecil kapasitinya, dalam menarik khalayak remaja dengan mengangkat persembahan kontemporari seperti muzik.

Selain itu, beliau berkata, program mingguan Laman Santai yang diadakan di Laman Beringin bersebelahan Istana Budaya turut mendapat sambutan luar jangkaan daripada pengunjung.

Beliau berkata usaha Istana Budaya mempelbagaikan program mengikut kehendak pelanggan berjaya mencipta satu fenomena masyarakat yang mencintai budaya dan seni tempatan.

Namun begitu, katanya, peranan media juga amat penting dalam usaha untuk memenuhi hasrat itu.

Fasa pasarkan produk berkualiti

Sementara itu, dekan teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, Rusminah Tahir berkata Istana Budaya kini sudah melepasi fasa pengenalan kepada orang ramai dan kini matlamat pentas itu ialah untuk memasarkan produk yang berkualiti kepada penonton.

"Masuk tahun 2000 hingga 2009 orang sudah mula kenal Istana Budaya, ia menjadi tunggak bagi segala seni persembahan, dan mampu menjadi platform utama bagi menghasilkan seni terbaik sekaligus menjadikan KL sebagai bandar seni," katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

"Namun matlamat itu seharusnya disokong oleh badan-badan lain seperti NGO, dan syarikat kerana dari sudut ekonomi, seni persembahan tidak boleh berdiri sendiri, kita tidak mempunyai dana yang cukup untuk itu," katanya.

Beliau berkata walaupun orang ramai kini sudah mula melangkahkan kaki ke pentas Istana Budaya untuk menyokong seni persembahan, namun dari sudut intelektualnya, matlamat pentas berprestij itu untuk membawa masyarakat ke dalam bandar seni nyata belum lagi tercapai.

"Penghargaan orang ramai terhadap seni itu tidak sampai lagi, kebiasaannya penonton yang datang menyaksikan teater, mereka hanya ingin melihat pelakon yang terlibat serta kegahan sesuatu produksi dan bukannya untuk menilai seni itu sendiri," katanya.

Capai KPI

Mengenai kepelbagaian program yang diselitkan di Istana Budaya masa kini, kata Rusmina, ia tidak menjadi masalah selagi kualiti terhadap sesuatu produk itu dititikberatkan.

"Kualiti kena ada, jika tidak, kita harus hadkan kepelbagaian program berlandaskan kualiti, bukan semua sesuai untuk dipentaskan di Istana Budaya. Harus ada pengawalan kalau hendak menjadikan ia berprestij," katanya.

Pengarah dan penerbit teater, Rohaya Atan pula berkata jika diukur dari sudut kuantiti, objektif Istana Budaya untuk membudayakan orang ramai, sekaligus menjadikan Kuala Lumpur sebagai anak seni sudah boleh berada di tahap berjaya.

Ini kerana, sehingga Jun 2009 Istana Budaya berjaya menarik sebanyak 84,119 penonton, manakala kutipan tiket yang dicatat sehingga 31 Jun 2009 berjumlah RM4,789,173.25.

"Sekurang-kurangnya ada 15 produksi teater setiap tahun, dan majoriti persembahan itu penuh atau pun 90 peratus penuh dan Istana Budaya sendiri sudah mencapai KPI bagi sasaran penonton," katanya. BERNAMA

Artikel Lain