suria

Belajar bahasa 'asing' juga belajar memahami budaya lain

TREND hari ini, selain memberi tumpuan kepada Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, ibu bapa menunjukkan minat supaya anak-anak mereka menguasai bahasa lain. Bagi masyarakat bukan Melayu, ini tidak termasuk bahasa ibunda masing-masing.

Bagi mereka tiada apa yang merugikan dengan menguasai lebih banyak bahasa.

"Saya mahu anak saya menguasai tiga bahasa. Jadi saya pilih Mandarin (sebagai bahasa ketiga). Ada banyak pusat bahasa yang menawarkan kursus bahasa Mandarin tetapi kenapa tidak cuba pendidikan secara formal dalam bahasa itu", kata seorang Hazlinda Hamzah.

Kata-kata Hazlinda mengingatkan penulis kepada peristiwa empat dekad lalu apabila ibu beliau menyatakan hasrat untuk menyekolahkan adik beliau di sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina). Sekolah itu ialah SRJK(C) Yok Eng di Pasir Mas, Kelantan.

"Adik kamu perlu mengetahui (bahasa) lain (selain daripada Bahasa Melayu)", kata ibunya.

KEBUDAYAAN LAIN

Menurut aktivis sosial Fatimah Mansur, dengan belajar bahasa lain seseorang itu dapat memahami dengan lebih luas serta mendalam tentang budaya orang lain dan bagi beliau, satu bahasa asing tidak semestinya bahasa yang datang dari luar negara, kerana Malaysia mempunyai masyarakat majmuk yang mempunyai berlainan bahasa.

"Tanpa kebolehan berkomunikasi dan memahami sesuatu kebudayaan dalam bahasanya sendiri, tiada peluang dan ruang untuk memahami budaya itu.

"Memahami kebudayaan lain penting kerana kurang kefahaman boleh menimbulkan perasaan tidak mempercayai satu sama lain dan salah faham akan timbul. Juga tidak keupayaan dalam bekerjasama, berurusan serta berkompromi", katanya.

Menurut Fatimah, orang yang berpengetahuan dalam bahasa lain dapat merapatkan jurang antara budaya dan menggalakkan keamanan negara.

Katanya, belajar dan menguasai bahasa asing mengambil satu masa yang lama dan itu antara sebab kenapa ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah lain seperti SRJK (C).

KENAPA PERLU BELAJAR LEBIH BANYAK BAHASA?

Belajar bahasa merupakan satu perkara yang berlaku setiap hari, kata bekas pendidik Gurmukh Singh.

"Terdapat beberapa sebab. Belajar bahasa bukan lagi sesuatu yang hanya boleh dilakukan di sekolah. Globalisasi dunia telah mengubah pendekatan belajar bahasa".

Menurut Gurmukh, seandainya ipar duai atau rakan anda bertutur dalam bahasa lain yang asing bagi anda, eloklah belajar bahasa itu untuk membantu komunikasi dengan mereka. Ia satu kaedah yang efektif untuk memahami budaya dan adat resam mereka.

"Mungkin juga butiran tertentu yang anda perlu tercatat dalam bahasa lain dan asing buat anda. Dengan menguasai bahasa itu, anda akan mendapat maklumat yang anda perlukan dan ini menyenangkan anda untuk berkomunikasi dengan mereka yang di dalam bidang itu," kata beliau.

BAHASA ARAB

Bagi Jamiliah Othman, yang bertugas sebagai jururawat di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu buat beberapa tahun, belajar dan menguasai pertuturan bahasa Arab merupakan sebahagian dari penambahbaikan kerjaya beliau.

"Kejayaan dalam kerjaya memerlukan seseorang itu belajar bahasa asing. Kalau anda terpaksa bekerja dalam satu kumpulan yang bertutur bahasa asing, kebolehan anda berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa ibunda mereka akan membantu hubungan kerja anda dengan kumpulan berkenaan," kata beliau.

Eksekutif telekomunikasi Agnes Cheng bersetuju dengan pandangan ini.

"Pengetahuan bahasa lain (asing) boleh membantu peluang anda mencari kerjaya, mendapat kenaikan pangkat, dihantar bertugas di luar negara atau melakukan lawatan perniagaan.

"Syarikat yang mempunyai urusan di pasaran antrabangsa semakin memerlukan kakitangan yang boleh berbahasa asing. Kesimpulannya, menguasai bahasa asing membantu anda dalam semua segi," tambah beliau.

Bagi Fatimah yang pernah melawat negara asing, pandangan beliau ialah:

"Mungkin suatu masa anda perlu berurusan atau bercuti di luar negara. Ia satu persiapan yang baik jika anda dapat menguasai beberapa perkataan asas kerana ini dapat membantu anda dalam urusan seperti meminta minuman serta makanan dan juga bertanyakan panduan dan arah.

"Kalau anda fasih dalam bahasa asing itu, maka anda boleh berkomunikasi dengan orang tempatan di situ dan ini akan menceriakan lagi percutian anda," katanya. BERNAMA

Artikel Lain