suria

Industri Bioteknologi Berkembang Dengan Pemulihan Ekonomi Global

INDUSTRI bioteknologi Malaysia dijangka berkembang antara lapan hingga 10 peratus pada 2010, dipacu oleh sentimen ekonomi global yang bertambah baik dan penekanan untuk mengkomersilkan produk tempatan dalam pasaran antarabangsa, kata para penganalisis. Mereka berkata pertumbuhan itu juga sejajar dengan pasaran bioteknologi global yang dijangka terus meningkat pada 2010. Para penganalisis itu juga meramalkan pasaran bioteknologi global bernilai kira-kira AS$306 bilion menjelang 2013, dengan bioteknologi dijangka menjadi antara sektor paling menguntungkan di rantau Asia Pasifik.

Menurut firma penyelidikan antarabangsa RNCOS, kerajaan Asia menjadikan bioteknologi satu keutamaan, mengiktiraf potensi pertumbuhan industri yang amat besar dan kepentingan strategiknya.

Dengan industri bioteknologi menghampiri fasa matang di pasaran maju seperti di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, dikatakan bahawa kebanyakan syarikat bioteknologi kini menyasar pasaran membangun seperti India, bagi pertumbuhan seterusnya.

DASAR BIOTEKNOLOGI NEGARA

Di pasaran tempatan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Malaysia (Biotechcorp) Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata industri berkembang dengan ketara sejak Dasar Bioteknologi Negara diperkenalkan pada 2005.

"Dalam tempoh singkat empat tahun, industri telah berkembang dengan pesat. Apabila dasar itu diperkenalkan, kami terpaksa bermula daripada permulaan," kata Iskandar Mizal kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata dasar itu diperkenalkan dalam tiga fasa untuk berfungsi secara asasnya sebagai wadah bagi pembangunan industri. Menurut Iskandar Mizal, fasa satu (2005-2010) disasarkan bagi pembangunan keupayaan dan prasarana, termasuk penubuhan majlis penasihat dan pelaksanaan, pendidikan dan latihan pekerja berpengetahuan, pembangunan perniagaan dan pewujudan industri dalam bioteknologi pertanian.

"Fasa dua (2011-2015) adalah untuk membawa penyelidikan makmal ke dalam pasaran manakala fasa akhir adalah aspek pengkomersilan, yang menumpukan untuk membawa syarikat Malaysia ke peringkat global," jelasnya.

Sehingga Disember 2009, terdapat 135 syarikat BioNexus di Malaysia dengan jumlah pelaburan dilulus lebih RM1.51 bilion.

Empat daripada syarikat BioNexus telah disenaraikan -- satu di Bursa Saham London, satu lagi di Bursa Saham Australia dan dua di Bursa Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan kemunculan 50 lagi syarikat berstatus BioNexus dalam tempoh dua tahun akan datang, menjadikan jumlahnya kepada 185.

Status BioNexus bersamaan dengan status Koridor Raya Multimedia, di mana syarikat-syarikat mendapat pelepasan cukai dan geran kerajaan untuk penyelidikan.

Sementara itu, industri bioteknologi ketika ini menyumbang kira-kira 1.0 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili baru-baru ini berkata di bawah fasa kedua Dasar Bioteknologi Negara, sumbangan itu dijangka meningkat kepada 2.5 peratus daripada KDNK.

"Semua negara sedang beralih kepada industri bioteknologi. Ini bukan hanya daripada perspektif penjagaan kesihatan tetapi juga dalam pertanian bagi bekalan makanan mampan dan bagi tenaga boleh diperbaharui," kata Iskandar Mizal.

FASA PENGKOMERSIALAN

Beliau berkata industri dijangka berdepan dengan beberapa cabaran ketika ia bergerak ke arah fasa pengkomersilan.

"Ketika kita bergerak ke fasa ini, terdapat lebih banyak cabaran. Tetapi berdasarkan kepada platform kukuh yang dibina, kami amat optimistik untuk bergerak kehadapan," katanya.

Beliau berkata kerajaan menyediakan platform bagi pertumbuhan dan sektor swasta harus mengambil peluang tersebut untuk mengembangkan lagi industri.

"Platformnya sudah ada. Mereka kini perlu mengambil peluang untuk mempercepatkan pertumbuhan industri. Juga terdapat banyak peluang yang ditawarkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain