Permandangan perkarangan Hotel Emirates Palace (EP) cukup mempesonakan."MACAM bangunan pentadbiran kerajaan di Putrajaya," begitulah reaksi rakan-rakan media sebaik sahaja Hotel Emirates Palace (EP) yang tersergam indah muncul dari kejauhan.Ia kelihatan seperti mahligai mewah milik saudagar kaya Arab dibina di tengah kawasan gurun gersang Abu Dhabi.Tidak sukar dimengertikan reaksi mereka. Ia seakan-akan imej bangunan pentadbiran kerajaan di Putrajaya yang maya tetapi di bumi gurun berpasir ini.Menariknya, suasana sekelilingnya dihiasi landskap hijau segar dipenuhi dengan pepohon kurma yang tersusun kemas dan diselangi pokok-pokok bunga berwarna-warni. Ah... indahnya laman EP ini! Ia membuatkan pengunjung terasa seolah-olah berada di sebuah taman yang indah dan permai.Setiap tetamu yang berkunjung juga pastinya terpukau dengan keindahan seni bina Arab di hotel EP itu. Sebuah pintu gerbang berkubah besar terdapat di jalan masuk ke arah hotel tersebut.Ciri-ciri seni bina Asia Barat jelas terserlah. Manakala di halaman depan pintu masuk hotel ada sebuah kolam air pancut yang menyambut ketibaan tetamu dengan persembahan yang begitu mengujakan. Ia memberikan kelegaan kepada tetamu EP yang kepanasan di luar. Percikan serta pancutan air sekurang-kurangnya meredakan suhu panas di luar.Menjejakkan kaki ke ruang dalam EP bagaikan memasuki ruang istana yang sangat besar dan tinggi. Bulu roma kita mungkin meremang kerana sejuk di dalamnya. Warna kuning melatari bangunan ini. Ia datang dari warna neon dan kilauan emas.Mengikut risalah tempat tersohor ini, lima kilogram emas yang boleh dimakan digunakan setahun untuk hiasan makanan khususnya dalam hidangan pencuci mulut! Tambahan lagi, EP dihiasi 1002 candelier dengan yang terbesar seberat 2.5 tan. Ia memberikan cahaya kuning yang terang benderang di sekitar EP. GOLONGAN BANGSAWANDengan memiliki 302 buah bilik utama dan 92 bilik lain ia sememangnya tempat mewah untuk golongan bangsawan! Difahamkan ia dibina dengan kos kira-kira USD$3 bilion (RM 10.29).Jika peribahasa Inggeris ada menyatakan kota Rom tidak dapat dibina dalam tempoh sehari, begitulah juga dengan EP. Seramai 20,000 pekerja terlibat dalam pembinaannya dalam tempoh tiga tahun. Ia direkabentukkan oleh Wimberley Allison Tong & Goo dari United Kingdom.Emirates Palace berfungsi sebagai hotel, tempat persidangan dan lokasi pameran. Misalnya, konsert Sir Elton John pernah diadakan di sini.EP juga menempatkan Pameran Daerah Kebudayaan Saadiyat Island, Abu Dhabi. Para pelancong berpeluang menyaksikan reka bentuk muzium-muzium yang bakal didirikan di Saadiyat Island. Antara muzium-muziumnya termasuk Muzium Nasional Sheikh Zayed, Muzium Guggenheim, Louvre Abu Dhabi, Performing Arts Center, Muzium Maritim dan Biennale Park and Pavilions.Orang ramai dapat menghayati hasil-hasil kerja arkitek-arkitek terkenal seperti Frank Gehry yang merekabentukkan pembinaan Muzium Guggenheim, Zaha Hadid (Performing Arts Center) dan Jean Nouvel (Louvre Abu Dhabi).EP juga merupakan 'syurga' bagi mereka yang gemar bersantai di sepanjang 1.3 kilometer kawasan pantai yang pasirnya halus dan putih bersih. Tidak menghairankan jika pengunjung EP terfikir mereka sebenarnya bukan berada di kawasan gurun.Selain itu, kemudahan-kemudahan yang turut disediakan termasuk kolam renang, gelanggang tenis, bar dan jakuzi.EP meninggalkan kenangan manis kepada setiap pengunjungnya. Mereka bukan sahaja meninggalkan jejak kaki pada butiran pasir di EP tetapi nostalgia indah yang terpahat dalam sanubari mereka.