suria

ICRC Bimbang Peningkatan Kematian Orang Awam Di Afghanistan

MENJELANG berlangsungnya persidangan antarabangsa mengenai Afghanistan di London esok, kebimbangan mengenai peningkatan kematian orang awam terus menjadi perhatian, menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

Ketua Operasi ICRC bagi Asia Selatan Jacques de Maio berkata konflik yang semakin memuncak itu memerlukan semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga pasukan keselamatan Afghanistan, pasukan tentera antarabangsa dan pasukan bersenjata pembangkang.

"Lebih banyak perlu dilakukan untuk meminimumkan kesan perang ke atas orang awam bukan sahaja di zon perang, di mana pejuang dan orang awam perlu dibezakan pada setiap masa tetapi juga di kawasan yang jauh dari medan perang, malahan di sana, keselamatan bagi pekerja perubatan dan kesihatan perlu dijamin," katanya dalam kenyataan media yang dimuatkan dalam laman web ICRC yang menggunakan Kabul/Geneva sebagai tempat kenyataan itu dikeluarkan.

ICRC yang mempunyai pejabat Delegasi Kawasan di Kabul, berkata di Hospital Mirwais di Kandahar, satu-satunya hospital rujukan bagi kira-kira 3.5 juta orang, antara 500 dan 700 pembedahan berkaitan perang dilakukan setiap bulan oleh ICRC dan pakar bedah tempatan.

"Dan mereka adalah yang bernasib baik, ramai yang cedera dan sakit langsung tidak mempunyai akses kepada sebarang rawatan," kata Reto Stocker, ketua delagasi ICRC di Kabul.

"Kemudahan perubatan dan pos kecemasan turut tidak terkecuali daripada peperangan itu dan ada kalanya turut dijadikan sasaran. Apabila ambulans dihalang dan kadang kala ditembak, menjadikan mustahil untuk membawa mereka yang terbunuh," katanya.

Beliau berkata pekerja perubatan yang menjalankan tugas di kawasan pedalaman turut merisikokan nyawa mereka.

UNDANG-UNDANG KEMANUSIAAN

Menurut ICRC, undang-undang kemanusiaan antarabangsa menetapkan mereka yang sakit dan cedera, sama ada orang awam atau pejuang, tanpa mengira di pihak yang mana, perlu dirawat tanpa sebarang kelewatan dan tidak boleh didiskriminasi.

Pihak-pihak yang terbabit dalam konflik itu perlu pada setiap masa menghormati dan melindungi kakitangan, kenderaan dan kemudahan perubatan dan memberikan bantuan yang diperlukan mereka.

ICRC telah membantu di Afghanistan sejak 1979 dan kini menggaji 1,600 staf di seluruh negara itu.

Menurut laporan, Perdana Menteri Britian Gordon Brown telah menjemput Presiden Afghanistan Hamid Karzai, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Ban Ki-moon, sekutu NATO (Pertubuhan Pejanjian Altantik Utara), jiran-jiran Afghanistan, kuasa serantau dan badan utama antarabangsa ke persidangan di London untuk menetapkan jadual waktu bagi politik dan keselamatan bagi Afghanistan bagi 2010 dan seterusnya.

Tugas itu termasuk menyediakan pelan damai bagi tentera Afghanistan untuk mengambil alih keselamatan dan memperhalusi strategi bagi pengeluaran tentera NATO dari negara itu secara berperingkat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain