suria

Hitam Putih Royalti Minyak Kelantan

JIKA dikaji perkataan "royalti minyak" tentunya menduduki kedudukan teratas dalam carta politik lebih 1.6 juta rakyat Kelantan, sejak isu itu dibangkitkan tahun lepas.

Tidak kira di kedai kopi atau di laman siber, isu ini hangat diperdebat.

Apatah lagi apabila sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 1 Mac lepas mahu membawa isu tuntutan royalti petroleum itu ke mahkamah kerana ia didakwa melibatkan berbilion ringgit "hak" rakyat negeri itu. Anehnya, usul itu turut disokong wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Umum di negeri itu mengetahui, selama ini, isu royalti minyak yang menjadi modal politik PAS sejak sebelum pilihan raya kecil Manik Urai Julai lepas, menuduh wakil rakyat BN tidak memperjuang isu berkenaan.

Buktinya pada pilihan raya kecil itu, banyak papan iklan dengan gambar pelantar minyak dinaikkan di kawasan Manik Urai, terutama di Jalan Kuara Krai-Gua Musang, bagi mencetuskan persepsi rakyat kepada sentimen kerajaan negeri kononnya kerajaan pusat meminggirkan rakyat Kelantan.

Adakah dakwaan ini benar atau ia sekadar bermotif politik?

Cari Kebenaran

Bagi anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, debat mengenai isu itu perlu dihentikan.

Katanya polemik yang berlaku tidak menguntungkan rakyat tetapi mengelirukan. Anggota Parlimen Bebas itu berkata "royalti minyak" atau "wang ihsan" ialah soal istilah, namun yang lebih penting RM20 juta yang akan diberikan oleh kerajaan pusat kepada rakyat Kelantan perlu digunakan dengan sebaiknya.

"Kerana itu saya tetap akan membawanya ke mahkamah, jika kerajaan negeri melengah-lengahkan untuk berbuat demikian. Tindakan ini untuk cari kebenaran dan hentikan polemik," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kerajaan Kelantan bertegas menuntut bayaran royalti RM2 bilion (tuntutan tahun lepas) terhadap operasi cari gali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat, namun negeri itu didapati tidak layak mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Dua telaga minyak yang dipertikai itu didapati terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan negeri Kelantan, namun mengikut Seksyen 4(2) Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969, perairan wilayah negeri didefinisi hanya setakat tiga batu nautika sahaja.

Artikel 3 Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCLOS) pula menyebut, perairan wilayah Malaysia diukur dari garis pangkal hingga ke kawasan tidak melebihi 12 batu nautika.

Artikel 57, konvensyen yang sama menjelaskan bahawa kawasan "di luar dan bersebelahan" kepada perairan Malaysia yang tidak melebihi 200 batu nautika dari garis pangkal ialah Zon Eksklusif Ekonomi.

Kawasan yang dituntut itu juga terletak di kawasan pelantar benua bertindih di Teluk Siam, Laut China Selatan, yang dibangunkan secara bersama Pihak Berkuasa Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) sejak 1979.

Bazir Masa

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian berkata tindakan membawa isu itu ke mahkamah bukan jalan penyelesaian yang terbaik, sebaliknya akan memakan masa dan membazirkan sumber kewangan.

"Adakah kepentingan politik mengatasi kepentingan lain?" soal Sivamurugan.

Jika diteliti hujah Sivamurugan ada kebenarannya kerana proses di mahkamah akan memakan masa dan tentunya isu itu akan melarat sehingga pilihan raya umum akan datang serta dijadikan modal politik.

Beliau tidak menolak kemungkinan isu itu dimainkan bagi memastikan kelangsungan politik PAS di negeri itu yang dikuasainya sejak 1990 memandangkan tiada isu lain yang lebih dekat di hati rakyat Kelantan, ketika ini, kecuali royalti minyak.

Berdasarkan perkembangan semasa, nampaknya PAS tetap berkeras dengan tuntutannya dan menjadikan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) sebagai sandaran utama, menuntut kerajaan pusat membayar royalti lima peratus daripada hasil pengeluaran minyak mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 1975 antara Petronas dan kerajaan negeri.

Kerajaan pusat tetap berpendirian negeri itu tidak layak berdasarkan peruntukan undang-undang yang terlibat antaranya Akta 144, Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969, Akta Pelantar Benua 1966 dan peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan.

Layak Atau Tidak Layak

Namun begitu, atas kepentingan rakyat Kelantan, pembayaran wang ihsan RM20 juta tetap akan diberikan kepada rakyat negeri itu yang juga merupakan lima peratus daripada hasil pengeluaran gas di Medan Bumi Selatan, Blok PM301 yang berdekatan dengan perairan negeri itu.

Jumlah itu, menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed ialah jumlah pengeluaran gas di kawasan terbabit sejak Mei 2008, yang juga antara dua telaga minyak yang dipertikai kerajaan Kelantan.

Kawasan di Blok PM302 pula masih tidak mengeluarkan hasil.

Namun ketika isu tuntutan royalti minyak itu akan dibawa ke mahkamah, tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengemukakan usul cadangan pada Disember 2009 supaya pindaan dibuat pada Akta 144 perlu diteliti semua pihak, terutama rakyat Kelantan di perantauan.

Usul pindaan terbabit ialah supaya had batasan negeri diperluas melangkaui tiga batu nautika sehingga 200 batu nautika.

Bukankah ini bermakna parti pembangkang, termasuk PAS, "mengakui" negeri itu tidak layak mendapat royalti minyak?

Hakikatnya, dengan fakta hitam putih yang terbentang, rakyat Kelantan lebih tahu akan tujuan sebenar isu ini dibangkitkan dan menilai apakah benar kerajaan pusat meminggirkan rakyat Kelantan atau sebaliknya. -BERNAMA

Artikel Lain