suria

Sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2010 15 Mac 2010.

KUALA LUMPUR: Menurut perangkaan Bank Negara Malaysia (BNM), 50 peratus daripada pemegang kad kredit yang diisytihar muflis berusia 30 tahun ke bawah. Dalam satu kajian yang dijalankan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), anak syarikat milik penuh (BNM) terhadap mereka yang mempunyai tunggakan ansuran bayaran pinjaman atau mengalami kesukaran membayar hutang mereka, menunjukkan 22 peratus mempunyai perancangan kewangan yang lemah.

Kira-kira 27 peratus responden membuat pengakuan tidak dapat mengawal penggunaan kad kredit mereka.

Satu kajian lain yang dijalankan Citibank mendapati 37 peratus responden meluahkan kebimbangan tentang masa depan kewangan mereka dan secara purata rakyat Malaysia mempunyai simpanan yang hanya dapat bertahan selama 11 minggu. Hasil tinjauan itu juga menunjukkan bahawa hanya 28 peratus berbelanja mengikut bajet yang dibuat dan hanya 22 peratus mempunyai pelan persaraan yang jelas.

Datuk Marimuthu Nadason, presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkongsi beberapa dapatan yang disebut di atas sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2010 yang disambut pada 15 Mac ini.

Tema tahun ini ialah "Wang Kita Hak Kita".

PERANCANGAN KEWANGAN

Menurut presiden Fomca, satu lagi kajian yang dijalankan CIMB memperoleh dapatan yang menarik di mana 93 peratus daripada responden menyatakan mereka tahu akan kepentingan perancangan kewangan.

Perancangan kewangan peribadi di mana membuat bajet ialah komponen penting, sepatutnya diambil berat oleh semua orang.

Hakikatnya berdasarkan hasil kajian dan tinjauan yang dirujuk di atas, tidak ramai rakyat Malaysia yang melakukannya serta mengamalkannya.

Dalam Belanjawan 2010, pihak kerajaan mengumumkan cukai perkhidmatan tahunan sebanyak RM50 dikenakan ke atas setiap kad kredit prinsipal serta RM25 untuk kad kredit tambahan.

Cadangan yang berkuatkuasa 1 Jan 2010 ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk menggalakkan perbelanjaan berhemah.

LETAK SASARAN

"Untuk itu fokus pertama kita sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2010 ialah untuk meningkatkan kemahiran kewangan di samping memupuk tanggungjawab kewangan dalam kalangan masyarakat pengguna negara ini. "Fokus utama kita ialah kanak-kanak dan golongan belia," Nadason memberitahu Bernama.

Alasan yang diberikan oleh presiden Fomca ini amat bertepatan sekali iaitu pengguna perlu dilatih pada usia muda lagi untuk mempunyai tabiat penggunaan dan kewangan yang baik.

"Sesuai dengan pepatah Melayu, jika mahu melentur buluh mestilah dari rebung. Jika mereka sudah mempunyai tabiat yang buruk, amat sukar sekali untuk membuatkan mereka berubah.

"Matlamat akhir kita untuk meningkatkan kemahiran celik kewangan termasuk kemahiran dalam perancangan kewangan, membuat bajet, perancangan persaraan, dan penggunaan yang berhemah," jelasnya.

CELIK MEDIA

Fomca juga menjadikan misinya untuk mendidik golongan belia agar mereka lebih memahami betapa kuatnya pengaruh media ke atas sikap penggunaan mereka. Nadason memberitahu bahawa sesetengah belia begitu mudah terpengaruh dengan taktik licik pengiklanan sehingga ada yang terjerat dengan perbelanjaan yang berlebihan.

Golongan belia juga, pada pandangan beliau mudah menjadi mangsa promosi makanan ringan dan tidak sihat.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan semakin ramai anak muda dibelit isu lebihan berat badan serta obesiti. "Dengan didikan supaya mereka lebih celik media, golongan beliau dapat mempertahan diri mereka daripada impak serangan pengiklanan media yang jika tidak dibendung, boleh menjejaskan nilai, harga diri serta tingkah laku penggunaan mereka," kata presiden Fomca itu lagi.

Untuk rekod, Malaysia dilapor menduduki tangga pertama di Asia dalam senarai negara yang mempunyai penduduk paling ramai mengalami obesiti dan berat badan yang berlebihan.

Statistik juga menunjukkan kira-kira 11.6 juta penduduk dewasa di Malaysia menderita penyakit-penyakit yang sukar diubati seperti kencing manis atau diabetes, tekanan darah tinggi juga kanser.

INSTITUSI KEWANGAN

Selaras dengan tema "Wang Kita Hak Kita", Fomca turut berharap bank dan institusi kewangan lain meningkatkan mutu perkhidmatan mereka kepada pengguna.

Pada 2008, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima sebanyak 1,354 aduan terhadap bank dan institusi kewangan. Jumlah itu ialah kenaikan 67 peratus berbanding tahun 2006.

Nadason yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah NCCC berkata aduan yang diterima termasuk pengiklanan yang mengelirukan, kadar faedah yang melampau, caj serta penalti di samping perjanjian yang berat sebelah di mana pengguna mendapati diri mereka berada di pihak yang rugi.

Satu lagi aduan yang diterima oleh NCCC ialah berkisar kepada taktik pengutipan hutang yang begitu agresif.

"Pengguna mahu bank terutamanya bersikap lebih prihatin dan bertanggung jawab dalam berurusan dengan mereka.

"Bank Negara sebagai pengatur perkhidmatan kewangan perlu mengambil langkah-langkah konkrit supaya dapat mengawal bank dengan cekap dan berkesan bagi melindungi kepentingan dan kebajikan pengguna," kata Nadason.

BERBUAT LEBIH UNTUK YANG MISKIN

Golongan miskin dan lemah dalam masyarakat juga perlu mempunyai akses mudah bagi mendapatkan perkhidmatan kewangan.

Presiden Fomca itu mencadangkan supaya diadakan skim-skim kredit mikro serta kredit khas untuk golongan miskin terutamanya dalam membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dengan pembabitan dalam perusahaan kecil.

Pembangunan kemahiran serta latihan keusahawanan juga perlu digembleng supaya golongan miskin dapat mengubah hidup susah mereka.

Nadason turut menekankan keperluan golongan itu mendapat pinjaman atau geran kecil untuk membolehkan mereka membuat perniagaan sendiri.-BERNAMA

Artikel Lain