suria

Mercy Bantu Penduduk Bangladesh Atasi Masalah Air Dicemari Arsenik

DHAKA: Sejak tiga dekad lepas, kesihatan penduduk miskin di kawasan pedalaman Bangladesh terus terancam kerana terpaksa menggunakan air yang dicemari arsenik.

Di Ruppur, sebuah kampung di Daerah Pabna 200 km dari sini, Artiah Khan, 38, dan Kamrun Nahar, 42, adalah antara 300 penduduk yang mengalami kesan serius akibat meminum air bawah tanah yang 90 peratus daripadanya dicemari bahan beracun itu.

Kedua-dua mereka mengalaami 'keratosis' (pertumbuhan tisu tidak normal) pada tapak tangan dan kaki.

Anak lelaki Khan berusia 25 tahun menemui ajal akibat keracunan arsenik dan seorang lagi mengalami simptom 'keratosis' manakala Nahar pula menjadi janda apabila suaminya meninggal dunia akibat barah yang berpunca daripada arsenik.

"Setiap 15 hari, saya perlu potong tumbuhan tisu di tapak tangan saya dan rasanya amat sakit serta berdarah. Akibatnya saya sukar melakukan kerja. Rawatan dan air bersih pun tak ada di sini," kata Khan. Keracunan arsenik adalah masalah kesihatan yang serius di negara ini dan satu kajian oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF)dan Biro Statistik Bangladesh baru-baru ini mendedahkan bahawa hampir 20 juta penduduk negara itu terpaksa bergantung pada air bawah tanah yang tercemar bagi memenuhi keperluan harian mereka.

Sejak tahun 1970-an, penduduk kampung seperti keluarga Khan dan Nahar menjalani kehidupan dengan meminum air beracun yang diperoleh melalui telaga.

Bagaimanapun, projek tebatan arsenik yang dilaksanakan Mercy Malaysia di Ruppur, memberi sedikit kelegaan kepada keluarga tani di kawasan itu, yang banyak bergantung hidup pada sumber air bawah tanah.

"Para penduduk kampung ini tidak ada pilihan. Ada antara mereka yang hilang ahli keluarga. Mercy cuba membekalkan air bersih dan selamat secara percuma kepada mereka," kata pegawai program bagi Bangladesh Mercy Wendy Neoh Siew Ping.

Melalui program ini, sukarelawan muda Mercy dengan kerjasama rakan mereka daripada Dhaka Community Hospital (DCH), sebuah pertubuhan sukarela, mengunjungi beberapa kampung seperti Ruppur dan Kabarikhola bagi memperkenalkan projek tebatan arsenik mengepam air dari perigi dan menadah air hujan.

Di Kabarikhola, Mercy membiayai dan membuat pemantauan terhadap satu projek perintis yang membolehkan penduduk 30 rumah menikmati bekalan air bersih melalui satu rangkaian paip setelah dipam dari sebuah perigi.

Di Ruppur pula, hasil cadangan Mercy, penduduk tempatan sedang membina kolam tadahan bagi menyimpan dan menyalurkan air hujan kepada 145 isi rumah.

"Kami cuba mengumpul air hujan, ia lebih lestari, bersih, mudah diurus dan tidak melibatkan perbelanjaan yang begitu besar. Pada musim hujan, penduduk kampung boleh membantu menadah air untuk disimpan bagi kegunaan pada musim kemarau. Melalui cara ini, mereka tidak lagi perlu bergantung pada air bawah tanah," kata Neoh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Fama Bantu Penanam Kubis

Artikel Lain