suria

Cukupkah Makan Untuk Hidup?

KUALA LUMPUR: Jika diberi pilihan antara 'makan untuk hidup' dan 'hidup untuk makan', tentu ramai yang memilih cadangan pertama yang penting bagi kelangsungan hidup.

Tetapi rakyat Malaysia khususnya memang suka makan. Pendek kata,jika diminta menyenaraikan makanan kegemaran mereka, sekelip mata akan tersenarai pilihan mereka pada berhelai-helai muka surat.

Namun, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wan Hasmah Wan Mohd sewaktu melancarkan Pameran Nestle Nourishing Malaysia di sini baru-baru ini, berkata kajian menunjukkan rakyat Malaysia tetap mengalami kekurangan nutrisi atau berlebihan nutrisi.

Sementara makanan enak merupakan nikmat dan penting dalam kehidupan, orang ramai perlu sedar bahawa tabiat pemakanan tidak sihat ditambah dengan gaya hidup tidak aktif, mengundang penyakit kronik.

Pendedahan Wan Hasmah turut disokong penemuan yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Koordinasi Pemakanan dan Nutrisi Kebangsaan, di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, yang menyatakan lebih kurang 8.7 juta warga dewasa yang berumur antara 25-64 tahun tidak memenuhi apa yang dicadangkan oleh Garis Panduan Pemakanan Malaysia 2010.

ASAS PEMAKANAN SIHAT

Pemakanan yang baik memastikan tubuh memperoleh tenaga dan nutrien yang diperlukan untuk individu berfungsi, melakukan aktiviti seharian. Ia mengurangkan risiko kekurangan zat, kekurangan berat badan, pertumbuhan terbantut dan anemia. Begitu juga masalah berlebihan zat makanan boleh menyebabkan penyakit atau obesiti.

Wan Hasmah berkata oleh itu pengetahuan dan kesedaran mengenai nutrisi adalah penting.

Menurut Wan Hasmah, tanggungjawab menyedarkan, menyampaikan maklumat serta mendidik orang awam tentang kepentingan kesihatan dan nutrisi serta tabiat pemakanan yang baik, tidak hanya terletak pada pihak kerajaan sahaja. Tugas berkenaan turut menjadi tanggungjawab pihak korporat terutama yang terlibat dalam industri pemakanan.

KESIHATAN KELUARGA PERLU PERANCANGAN BIJAK

Sedar atau tidak, kaum wanita memainkan peranan penting sebagai ibu dan penjaga dan berupaya mempengaruhi kehidupan yang lebih sihat dalam keluarga dan masyarakat.

Golongan ini ialah kumpulan pengguna yang perlu memiliki kesedaran dan pengetahuan untuk lebih menitikberatkan pemakanan ahli keluarga mereka demi kesihatan dan kesejahteraan hidup jangka panjang.

Malah, Wan Hasmah menggesa peranan yang sama turut dipikul oleh kaum lelaki, bapa dan juga suami, iaitu mengambil langkah dan tanggungjawab menjaga keluarga dan orang yang disayangi dengan menyokong kaum wanita, ibu dan isteri membuat keputusan bijak sewaktu memilih pemakanan isi rumah.

Amalan tiga prinsip asas pemakanan iaitu seimbang, pelbagai dan sederhana jika diikuti, dapat memberi seisi keluarga peluang menikmati gaya hidup sihat.

Secara praktisnya amat mudah, iaitu memakan pelbagai jenis makanan setiap hari dengan memastikan makanan yang lebih sihat, dan mengambil makanan secara sederhana.

Sederhana yang dimaksudkan ialah dengan mengambil jumlah makanan yang sesuai untuk mengekalkan berat badan sihat dan mengoptimum proses metabolisme badan.

APA DALAM PANDUAN INI

Panduan perancangan bijak dan membeli-belah yang dikeluarkan Persatuan Pemakanan Malaysia mungkin dapat membantu para ibu memulakan pemakanan yang berkhasiat untuk keluarga.

Antara lain, panduan ini mendidik ibu merancang hidangan untuk keluarga sebelum keluar membeli-belah. Ia turut menyarankan pembeli meneliti dan membuat perbandingan produk bagi mendapatkan khasiat pemakanan terbaik.

Pengguna digalak merancang sajian sekeluarga setiap minggu. Amalan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti pemakanan melalui penggabungan kesemua kumpulan makanan ke dalam sajian harian keluarga, malah dapat mengelakkan kemusykilan dalam menentukan apa yang ingin dimasak.

Ia turut menjimatkan masa dan wang. Perancangan awal mengurangkan kemungkinan terlebih belanja atas pembelian berasaskan gerak hati.

Dalam menyokong usaha kerajaan mendidik masyarakat awam mengamalkan diet yang lebih sihat serta gaya hidup aktif dalam kalangan warganya, Nestle Malaysia memulakan program Nestle Nourishing Malaysia yang kini dalam edisi keempat.

Program ini turut mendedahkan pengguna dengan maklumat perkembangan teknologi dan penyelidikan terbaru serta sumber yang dimasukkan ke dalam produk keluaran syarikat berkenaan.

Bagi pembaca yang berminat mendapatkan maklumat lanjut tentang pemakanan sihat, boleh melayari www.nutriweb.org.my. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain