SAMBUTAN Hari Belia Negara 2010 selama dua hari yang bermula hari ini adalah satu pengiktirafan kepada belia di negara ini.Meskipun ia adalah satu era penuh cabaran kepada belia hari ini, dengan ramai yang terdedah kepada gejala negatif, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Datuk Fathul Razi Haji Bakri berpendapat di sebaliknya."Meskipun ramai belia hari ini sering dikaitkan dengan masalah sosial, namun bagi JBS masih ramai belia yang menempa kejayaan cemerlang dalam bidang yang mereka ceburi dan adalah penjana kepada nilai dan ekonomi negara," katanya."Mungkin ianya tidak melibatkan pencapaian yang boleh diukur mengikut semasa menyebabkan kurangnya tumpuan pihak media. Jika ada berita-berita mengenai anak muda, ia lebih kepada gejala sosial seperti buang bayi, rempit dan dadah."Seolah-olah yang negatif sahaja. Sedangkan pencapaian mereka dalam sesuatu bidang tidak ditonjolkan. Saya fikir, kita perlu ada perubahan minda supaya kecemerlangan anak muda dapat ditonjolkan," ulas beliau. MENDEKATI BELIA Mengambil pendekatan memahami golongan anak muda, JBS kini menumpukan kegiatannya kepada golongan muda yang berada dalam organisasi seni kreatif, NGO belia, agensi kerajaan dan swasta.JBS menyedari bahawa gerakan belia hari ini penuh dengan kreativiti dan inovasi dalam apa jua aktiviti mereka, yang menurut beliau adalah selaras dengan pemilihan tema pada tahun ini 'Belia Kreatif dan Inovatif Pemacu Ekonomi Negara'.Malahan, kata Fathul Razi, belia hari ini masih perlu terus diberi bimbingan dan pimpinan, ruang dan peluang untuk menjana inovasi dan kreativiti mereka.Belia mengikut garis panduan Dasar Belia Negara adalah mereka yang berusia lingkungan 15 hingga 40 tahun hendaklah juga diberi sokongan dari segi potensi dan sekaligus menjadikan mereka model ataupun idola kepada anak muda yang lain.Bagaimanapun, menurut Fathul Razi, cabaran untuk menjadikan mereka sebagai modal insan adalah untuk mengekalkan tahap pencapaian dan kecemerlangan golongan ini.Di sinilah Fathul Razi percaya bahawa 'model ikutan' boleh banyak membantu selain daripada menjalani proses latihan, pendedahan dan galakan. TIDAK TERBATASKEPADA SUKAN Sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan sukan dan juga belia, Fathul Razi turut berharap agar persepsi yang mengatakan kementerian dan JBS melebihkan pembangunan sukan daripada pembangunan belia. Beliau berpendapat, kurangnya hebahan atau maklumat mengenai kejayaan belia selain di bidang sukan adalah antara faktor yang menunjukkan seolah-olah pihaknya melebihkan pembangunan sukan. Menurutnya, gerak kerja KBS adalah seimbang dan berterusan berasaskan kepada peruntukan yang diperoleh dan tidak ada perbezaan dengan peruntukan pembangunan sukan. "Pembangunan belia digerakkan di setiap peringkat di daerah dan negeri. Ruang-ruang pembangunan belia bertumpu kepada keusahawanan dan kemahiran selain program Rakan Muda berasaskan keperluan dan kehendak anak muda. BELIA ELIT Pihak kementerian kini dalam usaha melahirkan golongan belia elit iaitu menerusi sistem memberikan bintang (star rating) kepada persatuan-persatuan yang dianggap cemerlang. Selain itu, latihan berterusan akan diberikan kepada kelompok yang berpotensi dijadikan 'model ikutan'. Menerusi kesedaran berterusan, barulah para belia akan melihat peri pentingnya mereka menyediakan diri, dan menyumbang secara positif kepada negara, kepada masa depan mereka sendiri dan generasi seterusnya. Selain itu, JBS sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam merangka dan mengurus program pembangunan belia telah mengambil inisiatif mewujudkan program "Generasi Bebas Jenayah" dengan memberi sasaran kepada golongan belia dan remaja yang berumur dari 13 hingga 40 tahun, khususnya belia-belia tidak berpersatuan dan mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi untuk terlibat dengan perlakuan jenayah. Menurut Fathul Razi,pendekatan program ini adalah satu langkah yang proaktif oleh pihak kementerian bagi memastikan anak muda negara mempunyai kesedaran mengenai bahaya perlakuan jenayah dan sebagai satu tindakan pencegahan jenayah oleh belia di peringkat komuniti. Program "Generasi Bebas Jenayah" diharap dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai tanggungjawab sosial bagi membanteras jenayah dalam masyarakat dan membantu merealisasikan generasi muda yang bebas daripada jenayah. Malah pihak kementerian turut mengadakan kerjasama dengan pihak RELA untuk melatih 3,000 belia sebagai RELA Muda yang akan mempunyai pengetahuan dalam kerja-kerja sukarela dan boleh menyumbang sekiranya berlaku bencana alam. Beliau berkata, ini secara tidak langsung dapat meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda. SAMBUTAN HARI BELIA Hari Belia Negara tahun ini dijangka dihadiri kira-kira 250,000 belia dari seluruh negara. Acara kemuncak sambutan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya dengan perhimpunan Hari Belia Negara bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebanyak 88 acara dan aktiviti dirancang sehingga 16 Mei yang termasuk kesenian, ekspo dan pameran, sukan, penyertaan swasta, kerohanian dan kebajikan, kesukarelaan, kreatif dan inovatif serta kemajuan dan pengiktirafan belia. - BERNAMA