suria

Rebab, Mak Yong Bawa Pak Awang Jelajah Dunia

REBAB, iaitu alat muzik tertua dalam sejarah permainan muzik tradisi Melayu, dan persembahan Mak Yong, semakin dikenali oleh masyarakat luar negara selepas mendapat pengiktirafan badan dunia sebagai salah satu warisan yang perlu dipelihara.

"Dulu orang putih tak kenal pun muzik Rebab ni apatah lagi Mak Yong tapi sejak Unesco bagi pengiktirafan, kini dah banyak negara kenal budaya kita ini," kata Awang Omar memulakan bicaranya.

Awang, 58, yang terkenal dengan nama jolokan Pak Awang Mak Yong, telah menjelajah ke beberapa negara luar seperti Jerman, England, Perancis dan beberapa negara Asia bagi membuat persembahan di ibu kota negara terbabit.

Beliau berkata masyarakat di negara yang dikunjunginya itu mengagumi budaya seperti Mak Yong dan tertarik dengan keasyikan bunyian Rebab yang bagi mereka begitu menyentuh perasaan.

"Mereka mahu kita datang lagi untuk buat persembahan yang lebih besar dan lebih hebat di hadapan pembesar-pembesar mereka," katanya kepada Bernama selepas mengadakan latihan kepada sekumpulan anak-anak muda di sini baru-baru ini.

Pada November 2005, seni Mak Yong mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai salah satu warisan dunia yang perlu dipelihara.

Sejak itu, Mak Yong yang bertapak di bumi Kelantan telah diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan untuk dipersembahan ke negara luar terutama ketika mengadakan promosi menarik kunjungan pelancong asing.

Rebab pula merupakan instrumen penting untuk menghidupkan cerita dalam Mak Yong dan "pandai Rebab" pula merujuk kepada pemuzik yang bukan calang-calang orangnya untuk memainkan alat itu.

Kepandaian bermain Rebab boleh menghidupkan jalan cerita dalam persembahan Mak Yong seperti cerita Dewa Muda, Bongsu Sakti, Gading Bertimang, Raja Tangkai Hati dan Dewa Pecil.

Antara lagu yang perlu dimainkan dalam persembahan lebih dua jam itu ialah Ngadap Rebab, Sendayung Mak Yong, Sendayung Pak Yong, Lagu Barat Anjung dan Lagu Khabar Belas.

Awang yang berasal dari Kampung Bunohan, Tumpat itu mula bergiat dalam permainan Rebab sejak usianya 18 tahun dan seni tradisi Melayu ini telah membawanya menjelajah seluruh pelusuk kampung di Kelantan serta mengadakan beberapa persembahan di negeri lain.

Kehebatannya dalam mengalunkan bunyian Rebab itu membolehkan Awang dilantik sebagai jurulatih tetap bagi melatih bakat baru oleh Pejabat Kebudayaan, Kesenian Negara negeri Kelantan (PKKNNK).

"Sudah lima tahun saya bersama pejabat ini menghidupkan pelapis baru agar berminat mempelajari Rebab dan Mak Yong," katanya sambil menggesek alat muzik itu.

Namun Awang dilanda kebimbangan apabila kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS mengharamkan persembahan Mak Yong di khalayak ramai selepas memerintah pada 1990.

Kelantan mengharamkan Mak Yong dan Main Puteri atas alasan mengandungi unsur khurafat selain terdapat persembahan artis wanita yang mendedahkan aurat.

Sejak itu Mak Yong semakin dilupai oleh generasi muda dan menurut laporan PKKNNK, hanya kira-kira empat kumpulan Mak Yong sahaja yang masih aktif membuat persembahan di tempat tertutup atau di negeri luar.

Seorang pelajar, Mohd Idrus Mazlan, 27, berkata minatnya pada Rebab menyebabkan beliau mempelajari permainan seni itu daripada Awang.

"Saya berfikir jika tiada orang muda seperti saya untuk belajar Rebab, siapa lagi agaknya (yang akan mempelajarinya) dan paling dikhuatiri tiada lagi pemain Rebab dan Mak Yong jika tidak diwarisi oleh golongan muda ini," katanya.

Selain Rebab, antara instrumen muzik lain yang perlu ada dalam persembahan Mak Yong adalah alat genderang dan gong. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain