suria

Jeli Bukan Lagi Pekan Koboi

JELI: Dalam tempoh lebih sedekad Jeli mengalami banyak perubahan daripada sebuah pekan "koboi" kepada pusat pendidikan, pertanian hingga menjadi pusat penghubung kedua sempadan Malaysia-Thailand di negeri Kelantan.

Jajahan Jeli, yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Kota Baharu, bukan sahaja menjadi laluan penghubung antara Grik, Perak dan Kelantan, bahkan sebagai pusat yang menghubungkan sempadan Ban Buketa, Selatan Thailand dan Bukit Bunga di sini melalui Jambatan Muhibbah.

Dengan hampir siapnya pembinaan pusat pemeriksaan Imigresen dan Kastam (CIQ) pada Ogos yang bernilai RM47 juta, ramai yang melihat landskap Jeli bakal berubah dengan lebih pesat.

Seorang penduduk tempatan, Norazmi Mat Nor, 42, yang kagum dengan perubahan yang dilalui di Jeli berkata kepada Bernama, dengan kehadiran pembangunan itu rakyat dapat menikmati peluang pekerjaan dan tawaran kehidupan yang lebih berkualiti.

Landskap Lebih Baik

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamad pula yakin Jeli akan berkembang pesat dengan landskap lebih baik menjelang 2015 kerana sehingga kini pelbagai projek pembangunan sedang dilaksanakan di daerah ini.

Projek-projek yang dijalankan itu bukan sahaja akan menjana pertambahan pendapatan penduduk malahan menyediakan kemudahan lebih baik kepada mereka.

"Usaha untuk mengubah landskap Jeli saya usahakan sejak dahulu lagi dan saya akan terus berjuang menambah infrastruktur terbaik di daerah ini, yang mempunyai kira-kira 40,000 penduduk.

"Saya akan pastikan Jeli dapat kemudahan lebih baik dalam segala perkara yang diperlukan penduduk daerah ini," kata Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Antara pembangunan terbaru yang dicapai Jeli ialah pembukaan cawangan Bank Mualamat yang ke-58.

Pembangunan Kampus

Seorang lagi penduduk, Nortakiah Abdullah, 20, berkata kemunculan Bank Muamalat yang menyediakan kemudahan produk berlandaskan syariah menerusi perbankan Islam dekat sini cukup dihargai penduduk.

"Dahulu penduduk di sini terpaksa ke Tanah Merah untuk mendapatkan kemudahan ini, masa perjalanan 45 minit diambil untuk ke sana namun kemudahan yang disediakan telah menjimatkan masa, tenaga dan perbelanjaan.

"Saya amat bersyukur sekali dengan adanya kemudahan ini, terima kasih kepada To'Pa (Mustapa) di atas usaha dilakukannya bagi memastikan penduduk mendapat kemudahan lebih baik dari sedia ada," katanya.

Katanya Mustapa membawa masuk pembangunan terutama dalam pembinaan projek kampus kedua Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Politeknik serta pembesaran jalan di sepanjang jalan raya Timur Barat menghubungkan Kelantan dengan Grik, Perak. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Jeli baru-baru ini untuk melihat sendiri pembangunan tersebut. -BERNAMA

Artikel Lain