suria

Transformasi Songket Kontemporari

KUALA LUMPUR: Kebanyakan rakyat Malaysia, terutama golongan dewasa, tahu apa itu songket. Songket ialah sejenis kain yang biasanya ditenun tangan, dan mempunyai corak rumit benang emas atau perak. Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang dari kain atau menenun menggunakan benang emas dan perak.

Songket yang bermutu tenunannya dan dijual dengan harga mahal, biasanya dikaitkan dengan fabrik tebal dan sarat dengan motif tradisional.

Tetapi ramai yang semakin menyedari bahawa kini benang sutera yang lebih lembut dan kurang tebal digunakan untuk menjadikan fabrik songket lebih ringan, menarik dan menggunakan motif kontemporari.

"Dengan tenunan tangan yang lebih halus, songket kini lebih menarik dan diguna pakai generasi kini. Selain itu, nilainya turut lebih baik dan tinggi,” kata Dr June Ngo Siok Kheng.

Dr Ngo ialah Timbalan Dekan dan pensyarah kanan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Sarawak Malaysia (Unimas).

Anak Sarawak ini melanjutkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Sains, dengan pengkhususan dalam percetakan tekstil di Universiti Philadelphia, Amerika Syarikat. Pada 2007 beliau mengambil PhD dalam bidang Seni Halus, di Unimas.

“Ada juga dalam kalangan rakan taulan saya yang berketurunan Cina yang mahukan pakaian perkahwinan Cheongsam mereka dihasilkan daripada kain tenunan songket.

"Motif serta warnanya disesuaikan dengan budaya asal dan yang dimiliki pelanggan yang menempah. Saya teruja dengan perkembangan ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. GABUNGAN IDEA Kain tenunan tradisi Melayu yang terhasil daripada hiasan benang emas atau perak ini asalnya untuk digunakan pada hari kebesaran, perayaan dan perkahwinan.

Walaupun pada masa dulu, ia ditenun untuk digunakan dalam kalangan kerabat istana, kini songket menjadi pakaian rasmi di majlis yang mensyaratkan tetamu memakai pakaian Melayu yang dipadankan dengan samping songket, kurung atau kebaya songket.

Kini tenunan songket turut diserlahkan dengan motif moden dan kontemporari yang diilhamkan daripada campuran dan variasi motif tradisional, motif seni halus dan dunia seni sejagat.

Kain songket tidak saja digunakan bangsa Melayu yang tinggal di kawasan yang padat dengan keluarga atau pewaris penenun tradisional seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak.

Malah ia kini menjadi pilihan pereka fesyen yang menjadikan songket sebagai asas untuk produk aksesori seperti beg tangan, dompet dan hiasan sarung kusyen, alas meja serta pelbagai lagi barang kegunaan rumah.

Dr Ngo mendalami minatnya di dalam bidang tekstil dan fabrik yang merangkumi fabrik songket untuk menghasilkan reka cipta unik fabrik songket, mewarna dan mencetak dengan menggunakan pewarna yang sintetik dan asli.

Kadang-kadang gabungan idea yang dihasilkan pewaris dunia tenun dan songket dengan orang ‘luar’ yang meminati seni tradisi sesuatu bangsa itu, menjadikan warisan seperti songket terpelihara.

Pandangan ini diluahkan seorang petugas industri perhotelan, Bidari Mohamad Suhaili, dari Bumi Kenyalang, Sarawak.

“Sebagai seorang warga negara yang bukan berketurunan Melayu, penglibatan Dr Ngo sebagai pengkaji dan pereka motif songket yang lebih moden sudah cukup membuktikan betapa hasil tenunan yang diwarisi, berjaya menambat hati bukan Melayu sepertinya untuk menceburinya," katanya.

Di samping itu, Dr Ngo juga mengaplikasi ilmu yang diperolehnya untuk rekaan dan fabrik batik di dalam projek mengembangkan industri kampung khususnya tenunan songket, dengan menawarkan kelas belajar menenun songket kepada golongan muda. INOVASI DAN REKA CIPTA Dr Ngo percaya idea baru dan inovasi yang diterapkan ke dalam hasil tenunan songket dengan hasrat merevolusikan warisan yang diturunkan sejak zaman berzaman ini akan memanjangkan lagi hayat warisan ini di mata dunia.

“Budaya boleh diolah dan diubah semula secara kreatif melalui pendidikan dan inovasi. Usaha ini tidak akan melupuskan mahupun mengusik keaslian hasil tenunan songket yang menjadi kebanggaan negara.

"Malah pengalaman teori dan praktikal yang dipanjangkan oleh warga penenun asal boleh menjadikan prosedur yang perlu untuk menghasilkan produk songket yang lebih mudah diselanggara," jelas Dr Ngo yang banyak mengkaji tentang pewarna benang tenun, jenis benang dan juga identiti ‘baru’ untuk songket.

Kraf yang dihasilkan setelah melaburkan masa menghadapnya untuk ditenun ini, tidak dinafikan memang cantik dan bermutu.

“Hasilnya perlu dihormati. Tetapi ketahanan produk masih rapuh, ia perlu diperbaiki supaya lebih tahan.

"Ada juga usaha untuk menginovasikan alat tenun atau ‘kei’ (turut disebut sebagai ‘kek’) yang kebanyakannya sudah uzur dan lama. (Ini kerana) kerja menenun menggunakan tenaga tekun penenun untuk mengetatkan benang yang ditenun sehingga selesai menjadi sehelai kain songket. Kalau tidak dibuat dengan berhati-hati, benangnya boleh terputus dan jika ia tidak disambung semula dengan baik, kain yang terhasil akan mudah reput dan koyak,” jelas pencinta kraftangan dan seni, yang baru mencecah usia 40 tahun ini. JENIS BENANG Dr Ngo turut memberi perhatian kepada jenama benang yang digunakan.

Benang yang digunakan perlu dicelup warna mengikut cita rasa semasa, dan hari ini bahan pencelup ialah daripada jenis sintetik. Faktor ketahanan serat benang ketika proses menenun, warna yang terhasil setelah dicelup serta variasi jenis benang yang dipasarkan merupakan antara riteria yang dititik beratkan untuk menghasilkan songket tenun yang berkualiti.

“Saya juga terlibat dengan ‘R&D’ di Yayasan Tuanku Nur Zahirah. Di Yayasan, kami menggunakan benang berjenama Lurex yang dibawa dari Eropah. Benang ini digunakan pereka terkenal termasuk Giorgio Armani," katanya .

Dr Ngo berkata terdapat banyak jenis benang; ada yang elastik, juga yang metalik dan yang diteguhkan dengan penggunaan bahan lain yang semula jadi.

"Inilah yang membangkitkan keunikan pada songket," katanya.

Dr Ngo tidak jemu-jemu mengkaji kesan menarik yang boleh digunakan dengan variasi benang yang pelbagai untuk mentransformasi kraf warisan ini menjadi produk yang menarik.

Kajian terbarunya melibatkan penggunaan benang yang siap diwarnakan dengan peluntur asli, yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan sayur-sayuran di Malaysia untuk industri tekstil keseluruhannya.

Ini membuatkan hasil yang diperoleh lebih mesra alam, katanya.

Dan bahannya termasuk daun inai, kulit bawang, kulit manggis, kunyit dan teh. Campuran bahan ini dikaji untuk mencipta ‘resipi’ warna yang bakal dijadikan garis panduan kepada penggiat industri tekstil dan tenunan di Malaysia.

WARNA “Warna yang diinginkan pengguna dan peminat songket ini turut mengikut peredaran zaman. Kini jenis warna metalik turut diminati, maka pilihan tidak lagi terhad kepada emas dan perak. Warna metalik seakan-akan gangsa pun sudah banyak digunakan.

"Motif pun sudah berbeza. Ia tidak terhad kepada motif tradisional seperti bunga tapak manggis, bunga pecah lapan, bunga lompat tikam, pucuk rebung dan lawi ayam saja. Kini songket diselang-seli dengan motif baru yang diilhamkan penenun sendiri. Pola terkini lebih ‘elaborate,’ moden dan halus," kata Dr Ngo.

Sambil memegang sehelai kain samping bermotif ‘baroque’ dwi warna -- coklat muda dan gelap.

Hari ini, samping songket yang dihasilkan, sering disesuaikan dan dipadankan sedondon dengan warna dan motif hampir serupa kain sarung atau selendang panjang, pasangan wanita sipemakai songket.

Sehelai songket yang sedang diusahakan Dr June untuk pakaian ‘cheongsam’ pengantin Cina baru-baru ini melihat kerjasama pereka songket dan pereka fesyen. Cabaran ini menjadikan projek ini lebih menarik, kata Dr Ngo.

“Ia mencabar kerana memerlukan pereka fesyen yang menghasilkan ‘cheongsam’ itu nanti memberikan inputnya supaya hasil yang bakal dipakai pengantin sesuai dengan songket yang diilhamkan dan ditenun. Konsep warna perlu dipersetujui," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain