GUA MUSANG: Bersandarkan bukit batu kapur serta bangunan lama sejak 1931, stesen kereta api Gua Musang menggamit nostalgia dan menjadi elemen tarikan pelancong.Terletak di pekan lama Gua Musang, stesen kereta api Gua Musang ini dilihat bagaikan "hidup segan mati tak mahu" pada waktu malam mahupun tengah hari tetapi mula bertukar ceria setiap kali menjelang awal pagi, seolah-olah menyerupai sebuah pasar basah.Biarpun stesen kereta api ini sudah berusia 79 tahun, tidak mempunyai pendingin hawa dan bangunannya uzur, suasana sebegitu sebenarnya menjadi kekuatan kepada identiti Gua Musang.Pengurus Wilayah Timur Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Ibrahim Sulaiman berkata suasana unik itu telah berjaya menarik ramai pelancong ke sini."Dulu, semasa tiada jalan raya, stesen kereta api ini merupakan nadi kepada kegiatan ekonomi penduduk bukan saja di sini tetapi juga dari kampung-kampung kecil lain di Kelantan yang menggunakan kereta api membawa barang jualan mereka untuk dijual di Gua Musang dan kegiatan ini berterusan hinggalah hari ini," katanya kepada Bernama.Ketika itu kambing dan ayam hidup pun ada, namun apabila jalan raya utama antara Kuala Krai dan Gua Musang mula digunakan pada 1984, binatang ternakan hidup sudah tidak dibenarkan untuk dijual di stesen itu.Ibrahim berkata suasana "pasar basah" ini telah berjaya menarik perhatian pelancong dari Singapura, Sabah, Sarawak dan negeri-negeri semenanjung, untuk datang dan merasai sendiri pengalaman itu.Dari Januari hingga September lepas seramai 85,378 pelancong telah dicatatkan berbanding 67,277 pada tahun sebelumnya, satu peningkatan memberangsangkan.Selain "pasar basah", menariknya stesen kereta api ini ialah ia berhadapan pemandangan gua batu kapur serta menyimpan koleksi yang sangat berharga dengan satunya boleh mencecah sehingga RM3,000, iaitu ikan kelah."Sinilah satu-satunya stesen keretapi yang berdepan dengan pemandangan gua batu kapur dan anda boleh ke sana dalam masa lima minit saja dari stesen ini. Stesen kereta api Batu Caves ada gua tetapi bukan berhadapan seperti sini, dan ini merupakan antara faktor tarikan pelancong. "Kami juga ada bela ikan kelah sebanyak 13 ekor. Pelancong ada datang semata-mata hendak tengok ikan ini, malah bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra akan singgah sebentar di sini untuk melihat ikan ini setiap kali menaiki kereta api ke Kuala Lumpur," kata Ibrahim.Katanya Gua Musang juga mempunyai pelbagai tempat tarikan pelancong seperti Tokong Sweet Nyet Kong, Taman Negara Kuala Koh, Homestay Kampung Batu Papan dan di Kampung Renok Baru, Taman Etnobotani, Gua Madu dan Air Terjun Jelawang di Gunung Stong.Beliau berkata bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan kereta api ke sini, mereka boleh memilih sama ada ingin menggunakan perkhidmatan shuttle yang akan berhenti di setiap stesen ataupun menggunakan perkhidmatan ekspres.Bagi ekspres iaitu hanya berhenti di stesen besar saja, KTMB menawarkan perkhidmatan Ekspres Senandung Wau untuk mereka dari Kuala Lumpur ke Gua Musang dan sebaliknya. Bagi pelancong dari Singapura ke Tumpat dan sebaliknya ada dua perkhidmatan, sekiranya ingin bertolak pagi boleh menggunakan Ekspres Timuran dan malam, pula Ekspres Senandung Timuran."Melancong menggunakan perkhidmatan kereta api mungkin mengambil masa agak lama berbanding kapal terbang tetapi ia sangat sesuai bagi merehatkan minda sambil melihat pemandangan hutan, sungai serta air terjun," kata Ibrahim.Nama Gua Musang berasal dari pemburu yang ingin menangkap sekumpulan musang yang tinggal dalam gua bukit batu kapur. -BERNAMA