PRESIDEN China, Hu Jintao telah dinamakan sebagai manusia yang paling berkuasa di dunia sementara Pengerusi Parti Kongres Kebangsaan India, Sonia Gandhi telah mendapat tempat kesembilan dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di tempat kedua, demikian menurut keluaran terbaru majalah Forbes keluaran 3 November lalu.Kedudukan ini mencerminkan perubahan yang amat nyata di arena dunia. Presiden Hu dipilih kerana kebolehannya untuk memerintah 1.3 bilion manusia, memimpin pasukan tentera yang terbesar di dunia malah kemampuannya dalam menguruskan projek–projek awam yang sebegitu besar.Selain itu, China telah dilihat maju dalam sektor ekonomi dan bergelar kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia dengan simpanan kewangan yang terbesar di dunia.Bank Dunia menganggarkan pertumbuhan ekonomi China berada pada 10 peratus tahun ini (sebelum itu 9.5 %), walaupun sebahagian besar negara maju terus berjuang dalam kejatuhan ekonomi.Menurut Forbes, kriteria penilaian dalam penyusunan ini meliputi pengaruh terhadap penduduk, kedudukan sumber kewangan dan kemampuan untuk memegang kuasa dan menerapkannya di beberapa bidang.Sonia Gandhi yang berumur 63 tahun merupakan pewaris yang unggul dalam dinasti politik Nehru – Gandhi, kata majalah itu. "Walaupun Sonia telah dilahirkan di Itali dan menganut agama lain (Roman Katolik), pengaruhnya ke atas lebih daripada 1 bilion rakyat India adalah sangat mengagumkan," kata Forbes dengan mengutarakan Sonia adalah tulang belakang dan menjadi kuasa sebenar pemerintahan Dr Manmohan Singh (tempat ke-18) iaitu perdana menteri yang berumur 78 tahun.Sepuluh orang yang paling berkuasa di dunia adalah seperti berikut; Raja Saudi Abdullah Bin Abdul Aziz al Saud berada di kedudukan ke-3, Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin (4), Pope Benedict XVI (5), Canselor Jerman Angela Merkel (6), Perdana Menteri British David Cameron (7) , Ketua Simpanan Persekutuan Amerika Syarikat, Ben Bernanke (8) dan pengasas Microsoft Bill Gates (10).