KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat minyak dan gas dijangka menjana pendapatan berjumlah RM70 bilion hingga RM75 bilion dalam 20 tahun akan datang daripada kegiatan cari gali sumber-sumber minyak baru di Malaysia, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas.Beliau berkata, ada kira-kira 1.7 bilion tong minyak dapat dihasilkan daripada sumber-sumber minyak baru dalam tempoh tersebut."Kerajaan akan menjana pendapatan daripada cukai hasil petroleum sebanyak RM58 bilion dalam tempoh itu," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan suku kedua syarikat itu di sini hari ini.Beliau berkata demikian bagi mengulas sokongan kerajaan berhubung syarikat itu yang akan dimasukkan dalam Akta Cukai Pendapatan Petroleum.Lima inisiatif baru dicadangkan bagi menggalakkan pembangunan sumber-sumber minyak baru, mempermudah usaha cari gali di medan-medan minyak yang sukar diteroka dan merangsang usaha cari gali domestik.Shamsul berkata, insentif cukai baru itu akan menarik lebih banyak pelabur minyak dan gas, besar dan kecil, untuk mengambil bahagian dalam usaha cari gali sumber minyak baru di negara ini.Lima insentif baru itu ialah elaun cukai pelaburan sebanyak 60 hingga 100 peratus perbelanjaan modal yang akan ditolak daripada pendapatan berkanun untuk menggalakkan pelaksanaan projek berasaskan modal di kawasan-kawasan yang banyak menghasilkan minyak, medan gas karbon dioksida tinggi, tekanan tinggi suhu tinggi, laut dalam dan projek prasarana bagi operasi petroleum.Ia juga merangkumi kadar cukai yang dikurangkan kepada 25 peratus daripada 38 peratus sekarang bagi pembangunan medan minyak persisian untuk meningkatkan daya maju pembangunan dari segi komersial; elaun modal dipercepatkan hingga lima tahun daripada 10 tahun, di mana penggunaan sepenuhnya kos modal yang ditolak boleh meningkatkan daya maju projek.Yang lainnya termasuklah pengecualian duti eksport ke atas minyak yang dihasilkan dan dieskport dari pembangunan medan persisian bagi meningkatkan daya maju projek.