suria

Misi Kemanusiaan Kontinjen Malaysia Di Afghanistan

KUALA LUMPUR: Kembara 40 anggota pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Bamiyan, Afghanistan memberi pelbagai pengalaman kepada pasukan kontinjen Malaysia di negara bekas perang itu.

Buat pertama kalinya, ATM menjejakkan kaki di bumi Afghanistan selepas kerajaan Malaysia bersetuju menerima jemputan Kerajaan Afghanistan dengan menghantar satu kontinjen, yang diklasifikasikan sebagai bukan negara ahli NATO, bagi menyumbang kepada pembinaan dan pembangunan semula Afghanistan.

Sebelum ini Malaysia sememangnya dikenali di mata dunia sebagai negara yang sering melibatkan diri dalam misi pengaman seperti di Somalia, Bosnia, Kemboja, Timor Leste, Sahara Barat, Namibia dan Lubnan.

MALCON ISAF BUKAN TUGAS KOMBAT

Misi yang dikenali sebagai Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kumpulan Induk Kontinjen Malaysia (MALCON ISAF) ini adalah khusus untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan dan tidak terlibat dengan sebarang penugasan perang.

Penugasan adalah menjurus kepada bidang perubatan yang kritikal meliputi khidmat kesihatan, pergigian dan bantuan kemasyarakatan selain membantu paramedik di kalangan warga tempatan serta memberi latihan dalam pendidikan kesihatan, alam sekitar dan kesihatan umum.

Misi ini melibatkan tujuh pegawai dan 33 anggota lain-lain pangkat termasuk tujuh wanita yang antara lain melaksanakan Operasi Interim bantuan dan sokongan nasional ke Afghanistan (Op INSAF) yang bukan sekadar memenuhi misi kemanusiaan, sebaliknya mampu mengukuhkan hubungan serta kerjasama antara Malaysia dan Afghanistan.

Kumpulan ini berada di Wilayah Bamiyan, yang terletak di tengah Afghanistan, dan bertugas bersama Pasukan Pembangunan Semula Wilayah dari New Zealand dari tempoh enam hingga sembilan bulan.

DUA CHARLIE DIGUNAKAN

Kira-kira 500 orang termasuk sanak saudara 30 pegawai dan anggota Pasukan Perubatan ATM membanjiri perkarangan Pangkalan Udara TUDM Subang pada 19 Oktober lepas bagi mengucapkan selamat jalan pasukan berkenaan.

Sebelum itu kumpulan pertama yang berperanan sebagai pasukan peninjau yang turut merangka pelan tempat tinggal kumpulan ini di Bamiyan telah berlepas pada 16 Julai.

Dua pesawat udara Hercules C-130 Hercules, atau lebih dikenali sebagai Charlie digunakan untuk mengangkut kumpulan terbabit yang pada masa sama mencipta sejarah bagi pesawat pengangkut itu tiba di bumi Qatar buat pertama kalinya di bawah kendalian anak tempatan.

Selain membawa kumpulan terbabit untuk penerbangan selama 50 jam ke Afganistan, pesawat terbabit juga membawa bersama 18.4 tan pelbagai barang, peralatan kesihatan dan keperluan asas kumpulan misi itu.

MENEMPUH RANJAU PENERBANGAN Selepas berlepas kira-kira satu jam dari Subang, kembara kumpulan ini singgah di Maldives bagi mengisi minyak sebelum bertolak menempuh perjalanan kira-kira lebih lima jam menuju Pangkalan Udara Al-Udeid, Qatar.

Pengkalan tentera ini terletak di Barat Doha dan mempunyai rumah anggota dan pegawai tentera Udara Amerika Syarikat dan dipercayai dijadikan pangkalan bagi menyerang Iraq satu ketika dahulu.

Kembara ini perlu mendapatkan kebenaran pelepasan penerbangan untuk memasuki ruang udara Afghanistan bagi tujuan keselamatan dan walaupun proses ini dilihat merumitkan, namun hampir kesemua anggota berpuas hati dengan kerjasama diberikan pasukan keselamatan Qatar dan tentera Amerika Syarikat.

Di pengkalan ini juga, kembara ini akan singgah untuk urusan logistik dan penukaran pesawat pengangkut di mana difahamkan amat sukar untuk memasuki ruang udara Afghanistan kecuali dengan menggunakan pesawat yang dikendalikan tentera Amerika.

Akhirnya selepas lebih 24 jam menempuh pelbagai kesukaran, perubahan cuaca dan pertukaran pesawat, Pasukan Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiba di Bamiyan, Afghanistan pada 22 Oktober dan mendarat di Pangkalan Udara Bamiyan setelah melalui Bagram, sebuah daerah berdekatan kira-kira pukul 11.45 pagi waktu tempatan menaiki pesawat Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), C130.

Ketibaan mereka disambut Pengarah Pasukan Pembangunan Semula Wilayah (PRT) New Zealand, Richard Newland dan Komander MALCON ISAF, Leftenan Kolonel Norazan Omar.

PENEMPATAN ANGGOTA SEPERTI DI NEGARA SENDIRI

Tiga blok bangunan milik Pasukan Perubatan anggota ATM di Kem Pasukan Pembangunan Semula Wilayah (PRT) New Zealand yang siap sepenuhnya di Bamiyan ini dijangka dapat membantu anggota mempersiapkan diri dalam misi bantuan perubatan di Afghanistan.

Komander Malcon Isaf, Lt Kol Norazan Omar berkata, "kemudahan ini sangat selesa, cantik dan yang paling lengkap di Bamiyan dengan adanya air, elektrik, internet dan rumah penginapan yang dilihat sangat sesuai untuk menjalankan misi ini".

Tiga blok itu dilengkapi dengan dapur, blok penginapan pegawai dan lain-lain pangkat, tandas, surau, dewan makan dan blok pejabat.

Pengarah Urusan Dwi Makna Sdn Bhd, syarikat yang dilantik kerajaan, Major (R) Mohamed Yussof Datuk Tahwil Azar berkata projek pembinaan yang bermula 1 September lepas mengambil masa 45 hari untuk siap.

Projek yang dibuat dengan kerjasama syarikat Afghan Bamica Construction Company (ABCC) itu menggunakan kepakaran jurutera negara dan dibantu kira-kira 50 hingga 80 tenaga buruh tempatan.

Mohamed Yussof berkata antara cabaran yang dihadapi dalam menyiapkan projek ialah membawa masuk peralatan ke kawasan yang tidak mempunyai struktur jalan yang baik itu.

CUACA DAN PERMUKAAN MUKA BUMI YANG EKSTREM

Suhu yang terlalu sejuk hingga mencapai tahap -40 darjah Selsius adalah antara cabaran besar anggota ATM dalam misi ini.

Ketua Pengurusan Logistik Perubatan Kumpulan Induk Malcon-ISAF, Mejar Hassan Masro berkata masalah suhu sejuk yang ekstrem itu memang telah dikenalpasti pasukannya.

"Semua pegawai dan anggota sudah dipersiapkan dari segi mental dan fizikal untuk menghadapinya", katanya.

Selain itu, Pasukan Perubatan juga berdepan dengan kawasan tempat tinggal dan pusat operasi yang terletak di permukaan bumi yang tinggi iaitu kira-kira 9,200 kaki, namun ianya menyejukkan mata dengan keindahan laluan sutera yang terdapat di kebanyakan kaki bukit Bamiyan.

Perbezaan waktu juga merupakan satu lagi cabaran Pasukan Perubatan iaitu Bamiyan awal lebih kurang lima jam berbanding waktu di Malaysia dan Pasukan Perubatan perlu mengubah jam, waktu bangun, waktu solat, waktu tidur mereka untuk tempoh enam bulan berikutnya.

BUKAN MUHRIM, CARA HIDUP DAN PENJAGAAN DIRI PENDUDUK BAMIYAN

Salah satu cabaran dalam misi ini adalah faktor bukan muhrim tidak boleh bercampur dengan mana-mana individu dan dalam perkara ini, Pasukan Perubatan telah pun bersedia dengan doktor dan pembantu doktor lelaki dan wanita.

Pemerhatian pasukan ini mendapati pada mulanya rata-rata penduduk malu untuk bertegur sapa atau mendapatkan pemeriksaan awal di klinik yang dilawati kecuali antara sesama jenis.

Namun selepas beberapa kali lawatan, penduduk mulai menerima kehadiran pasukan ini dan penduduk tempatan boleh berkomunikasi dan memahami apa yang cuba disampaikan mereka termasuk kepada petugas dan doktor tempatan.

Pegawai Perubatan MALCON ISAF Mejar Dr Mohammad Azim Che Azmi berkata sikap penduduk tempatan dalam penjagaan diri dan kesihatan mereka dilihat sangat rendah memandangkan mereka selesa dalam keadaan itu sejak sekian lama.

Beliau berkata kedatangan Pasukan Perubatan itu bukanlah untuk mengubah cara hidup mereka sebaliknya menunjukkan cara asas penjagaan diri bermula dengan cara membasuh tangan dengan ringkas tetapi mengikut prosedur yang betul.

Seorang lagi pegawai perubatan MALCON ISAF Kapten (Dr) Ummi Khaltum Mohamed Taib pula berkata ada di kalangan penduduk tempatan yang tidak memakai sarung tangan ketika musim sejuk sebaliknya hanya menggosok tangan dengan batu bagi menyerap kesejukan dan mendapatkan haba.

BAMIYAN PERLUKAN BANTUAN DUNIA

Pemerhatian Pasukan Perubatan itu juga mendapati berlaku masalah kekurangan doktor dan jururawat tempatan di sini, menyebabkan mereka terpaksa merawat pelbagai penyakit di luar bidang mereka dalam sesuatu masa.

Bamiyan yang mempunyai lebih 60,000 penduduk ini juga kekurangan pakar menyambut kelahiran, sakit mata, pemakanan dan kesihatan umum untuk menangani pelbagai penyakit bawaan yang boleh menyebabkan kematian seperti batuk kering, malaria dan taun.

Rata-rata anggota Pasukan Perubatan berpendapat, sesungguhnya Bamiyan sangat memerlukan bantuan dunia dalam membantu memajukan wilayah ini ke arah yang lebih moden dan lengkap dari segi keperluan awam seperti jalan raya dan hospital.

Mereka mengakui struktur muka bumi di paras tinggi dan cuaca ekstrem mungkin antara halangan namun tidak mustahil jika wilayah yang mempunyai monumen patung Buddha yang diiktiraf UNESCO sebagai tapak tinggalan sejarah ini menjadi pusat pelancongan terkenal satu hari nanti.

KEPAKARAN DAN KESUNGGUHAN MALAYSIA DISEGANI

Kepakaran dan kesungguhan Malaysia melibatkan diri dalam misi bantuan kemanusian antarabangsa mendorong Afghanistan menjemput Malaysia menyalurkan misi bantuan kesihatan untuk rakyatnya.

Gabenor Bamiyan, Habiba Sarabi berkata kepakaran Malaysia selain faktor agama yang sama adalah antara penyebab yang menarik perhatian kerajaan Afghanistan.

Pihaknya sangat menghargai usaha murni kerajaan Malaysia yang sudi menerima jemputan mereka walaupun kawasan itu mempunyai pelbagai masalah seperti bekalan air bersih, elektrik, laluan darat yang berdebu dan berbatu serta kekurangan tenaga pakar dalam bidang sakit puan, sakit mata, pemakanan dan kesihatan umum.

Beliau turut berharap pelabur Malaysia sudi melibatkan diri dalam pelbagai bidang pembangunan seperti eko-pelancongan dan makanan memandangkan Bamiyan terkenal dengan kentangnya.

MISI YANG BERJAYA

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan di Afghanistan akan ditambah daripada 40 kepada 120 orang pada penghantaran pasukan ketiga pada bila-bila masa.

"Kita juga sedang berunding agar ada pihak negara ketiga yang boleh bersama-sama membiayai pembinaan dan penghantaran pasukan itu kerana ia memakan kos yang tinggi.

"Dalam lawatan panglima tentera darat British baru-baru ini, saya meminta supaya dengan budi bicara beliau mencari beberapa rakan sahabat untuk membantu dari segi penanggungan kos dan kalau boleh kita mahu negara-negara Islam yang lain seperti Indonesia dan Brunei menyertai misi kita," katanya.

Misi MALCON ISAF begitu besar nilai sumbangannya jika dilihat dengan cabaran yang terpaksa dilalui di Afghanistan dan pada masa yang sama ia berusaha untuk mengekalkan rekod baik Malaysia sebagai pasukan pengaman dan kemanusian yang disegani. - BERNAMA

Artikel Lain