suria

Lambaian Bali Yang Mempesonakan

BALI: Waktu malam di sekitar Legian, Kuta, pelbagai kafe, restoran, bistro dan kelab malam menggamit tetamu dengan suasana separa terang dan muzik kuat yang menggetar dada dan telinga.

Semua premis ini membarisi jalan sempit Legian, berselang-seli dengan pelbagai kedai menjual makanan, cendera mata, pakaian, beg, kasut dan kraf.

Di depan premis, di kaki lima, malah di tepi jalan sempit ini anak-anak muda terkinja-kinja mengikut alunan lagu yang dimainkan kelab-kelab malam, sedangkan kenderaan bertali arus menyusuri jalan itu.

Mereka menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day pada 14 Februari.

Tidak kurang juga ramai yang menjadi penonton suasana ini, di ruang-ruang kosong dan tepi jalan sambil cuba menolak lembut ajakan wanita-wanita berpakaian elegan dengan solekan tebal yang menawarkan pas-pas masuk ke premis hiburan ini.

GROUND ZERO

Kami yang menjejakkan kaki buat pertama kali di Pulau Bali, terbayang seketika di dalam kebingitan dan kerancakan suasana, semasa berdiri tidak jauh dari “ground zero” Bali, keadaannya ketika kejadian bom yang mengorbankan 202 dengan lebih 100 lagi cedera di Sari Club dan Paddy’s Cafe serta kawasan sekitarnya pada 12 Oktober 2002.

“Di tanah kosong yang berpagar hijau itu tempatnya,” kata Ketut, pemandu pelancong kami ketika menurunkan kami di monumen korban kejadian itu pada awalnya, yang dibina hanya beberapa meter di seberang jalan kelab Sari.

Kebetulan hotel yang kami diami “White Rose” terletak tidak sampai 100 meter dari simpang tembok peringatan itu dan kami berjalan kaki keluar setiap malam untuk mencuci mata, mengunjungi kedai-kedai sepanjang Jalan Legian ini.

Hotel ini dibuka pada tahun 1997 dan lima tahun kemudian, ia turut menanggung kerosakan akibat letupan bom itu.

“Masa itu tingkap-tingkap hotel ini pecah. Seorang jurutera yang menginap di hotel ini kehilangan isterinya yang sedang dalam perjalanan menjemputnya di sini. Dua bulan isterinya tidak ketemuan, akhirnya diberitahu isterinya ialah seorang daripada mangsa letupan.

“Masa kejadian itu jalan macet (sesak), dan mungkin ada bom juga yang meletup di jalan raya,” kata seorang petugas wanita White Rose Hotel.

PULAU DEWATA

White Rose diubahsuai pada tahun 2010 dan di sebalik keindahan landskap dan suasana mendamaikan di sini, keluar masuk kenderaan dan tetamu mesti melalui pemeriksaan dan pengawasan pengawal. Di palang pondok pengawal tertulis larangan membawa masuk senjata dan bunga api.

Namun langkah kawalan ini tidak mencacatkan keseluruhan suasana damai dan keindahan di Kuta khususnya dan Bali sebagai pulau pelancongan popular.

Deretan kedai di jalan sempit Legian tidak sunyi dengan pengunjung, baik siang mahupun malam.

Berjalan kaki ialah normanya kerana tiada ruang parkir kenderaan di sepanjang deretan kedai-kedai ini. Maka kami akan bertembung dengan pelancong berkulit putih yang berpakaian santai, atau yang menyarung baju batik dan wanitanya berpario membawa papan lungsur untuk ke pantai Kuta, tidak jauh dari situ.

Sambil melangkah, kami berhati-hati tidak memijak bekas kecil pemujaan bunga-bungaan, buah dan daun palma yang diletakkan di kaki lima dan pintu masuk kedai-kedai, amalan penduduk Bali yang 90 peratus daripada lebih 3 juta, beragama Hindu.

Dan Bali dipanggil Pulau Dewata oleh penduduk Indonesia.

Namun Bali yang sudah sekian lama mengalu-alukan pelancong, tidak alpa menyediakan kemudahan untuk pelancong beragama lain.

Di kedai-kedai makanan Islam akan disediakan bilik solat, sekurang-kurangnya sebuah ruang kecil dan tempat berwuduk.

Kebanyakan restoran makan yang disinggahi, selain menyediakan kerusi meja biasa, mengajak pengunjung memilih untuk makan bersila di wakaf–wakaf beralaskan tikar dan makanan dihidang di meja kayu rendah menggunakan bekas seperti bekas mengkuang.

BALI YANG SEDERHANA

Mengelilingi Bali untuk ke beberapa tempat menarik menyerlahkan kesederhanaan, ciri tradisional dan kesungguhan di dalam penyediaan produk yang dihidang kepada pelancong.

Baik dari segi latar hiasan rumah urut dan spanya hinggalah kedai-kedai di Legian umpamanya, apa yang dipamerkan untuk ditatap dari luar cermin kedai oleh penumpang kenderaan dan pejalan kaki, begitu menarik sekali, berwarna warni dan eksklusif daripada susunan manik hinggalah kepada kraf, yang dijual.

"Satu daerah satu industri" di Bali berjaya ditonjolkan apabila kami dibawa dari satu sektor ‘kerajinan’ kepada ‘kerajinan’ yang lain dengan begitu teratur sekali.

Daripada ukiran patung batu yang boleh dilihat di kiri dan kanan jalan sejauh berkilometer panjangnya, kami memasuki kawasan kerajinan kayu ukiran, kemudian kaca pateri hinggalah ke kawasan sawah padi seluas mata memandang dan juga sektor buah-buahan yang disusun cantik setiap satu jenis di gerai-gerai di tepi jalan.

‘Ketut’ yang sebenarnya nama timangan untuk anak ke-4 dalam keluarga di Bali, berkata penetapan kawasan kerajinan ini untuk menjadikan konsep satu daerah satu industri lebih berjaya ialah berdasarkan kepakaran dan kemahiran seni yang ada di sesuatu kawasan itu, adat yang menjadi amalan dan kesesuaian tempat.

Maknanya, patung-patung diukir sendiri oleh pakar tempatan di sesuatu kawasan itu, digunakan untuk upacara sembahyang mereka atau diletak di rumah, sama ada untuk pemujaan atau hiasan.

Sebab itu juga, katanya, hasil ukiran atau produk lebih cantik dan bermutu memandangkan ia dibuat dengan penuh perasaan dan kesungguhan oleh seseorang itu.

BARONGAN

Kesederhanaan persembahan produk oleh penduduk Bali begitu terserlah bila kami dibawa ke tapak teater persembahan “Barongan dan Kris” di Kampung Batu Bulan.

Tanpa hiasan berlebihan, pentas persembahan teater lima babak ini diperbuat simen biasa, dan penonton ditempatkan pada tempat duduk kayu bertingkat atau kerusi-kerusi plastik biasa saja.

Persembahan tidak menggunakan mikrofon atau teknik persembahan yang canggih tetapi segala yang dilakukan mengikut keperluan atau budaya dan kepercayaan yang diamalkan penduduk setempat.

Namun persembahan yang dijalankan setiap hari bermula pukul 10.30 pagi itu penuh sesak dengan penonton dan kenderaan bersusun-susun yang diparkir di tempat letak kereta.

Ketika pertunjukan yang kami hadiri, ramai penonton Indonesia yang datang dikatakan dari kepulauan Jawa, mengambil kesempatan sempena cuti Maulidur Rasul. KOPI LUWAK

Untuk melihat proses pembuatan Kopi Luwak iaitu kopi termahal (1 kg lebih kurang 2 juta rupiah atau RM684), kami dibawa ke kawasan ladang kopi yang memerlukan kami menjejaki batu-batu kerikil, melalui celah-celah pohon dan di bawah rimbunan pokok rendang.

Sesekali kami terserempak dengan reban musang kelapa atau luwak yang gemar memakan biji kopi.

Luwak yang sengaja dibela di ladang ini akan diberi makan biji kopi yang kemudian mengalami fermentasi di dalam saluran pencernaan luwak itu.

Biji kopi yang diambil dari najis atau sisa kotoran luwak ini kemudian dicuci, dijemur dan digoreng sebelum digiling atau dikisar menjadi serbuk kopi eksotik luwak.

Semua minuman di ladang ini boleh dicuba secara percuma di bawah bangsal kayu yang disediakan - Kopi Bali, Mocha, Kopi Ginseng, Teh Serai dan Teh Halia - ialah antara minuman yang disediakan.

“Kopi Luwak perlu dibayar dulu untuk disampel,” kata Ketut sambil kami menghirup minuman di Taman Herba dan Kopi di Bangli, Jurusan Tampaksiring-Kintamani itu.

KEINDAHAN SEMULA JADI Untuk menikmati keindahan semula jadi Bali, kami ke Gunung Batur. Dari Kampung Ubud, kenderaan kami mendaki hingga ke bandar pelancongan Kintamani dan menyaksikan keindahan gunung berapi yang masih aktif ini.

Kali terakhir gunung setinggi 1,500 meter di atas paras laut ini meletus ialah sekitar tahun 1994. Di bawahnya ialah tasik atau Danau Batur yang cantik dan kaya dengan hasil ikan.

Kami menghirup udara sejuk dan segar di situ sambil melihat jelas kesan lava yang dimuntahkan Gunung Batur daripada letusan terakhir 17 tahun lepas.

Dari gunung, kami ke tepi laut, ke pantai Tanjung Benoa pula,untuk melihat aktiviti menaiki ‘banana boat’, terjun skuba, meluncur ‘jet ski’, ‘parasailing’ dan sebagainya. Cuaca panas membuat kami mengambil keputusan untuk ke pantai Jimbaran pada malamnya untuk menikmati makan malam di tepi pantai. Keindahan suasana malam di tepi pantai dan deruan ombak, dilengkapkan dengan nyanyian merdu kumpulan kuartet; empat penyanyi jalanan yang begitu harmoni suara mereka, seolah penyanyi profesional, mendendangkan pelbagai untuk pelanggan.

Satu lagi keajaiban alam di Bali ialah di Pura Tanah Lot (atau tanah di laut) yang terletak di Kampung Braban, 30 meter dari ibu kota Denpasar.

Kami berjalan lagi sejauh 300 meter, melalui kedai-kedai menjual pakaian pantai, cendera mata dan kraf hinggalah ke penghujung pantai.

Di sini, sambil menyaksikan matahari yang mula terbenam, kami melihat sebuah candi yang seolah-olah terpisah di laut dengan tanah besar Bali. Candi itu masih digunakan untuk upacara pemujaan yang dilakukan enam bulan sekali, mengikut kalendar Hindu-Jawa.

Kami menunggu, sambil menikmati keindahan pemandangan dan pukulan ombak, sehingga matahari terbenam, dan candi itu menjadi bayang-bayang berlatar belakangkan lembayung mega merah di lautan Indonesia, sebelum beredar pulang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain