suria

Hentikan Pencemaran Sungai Temiang

SEREMBAN: Meskipun permintaan untuk air bersih terus meningkat, namun sungai di negara ini, yang menjadi sumber utama untuk menyalurkan keperluan air minuman, didapati semakin tercemar.

Secara umum, sistem semulajadi mampu membersihkan air sungai yang tercemar, bagaimanpun ini tidak lagi mungkin kerana kadar pencemaran yang kian meningkat hasil daripada aktiviti manusia.

Justeru, isu pencemaran alam sekitar umumnya dan pencemaran sungai khususnya mesti diberi perhatian yang serius dan dikawal ke tahap yang paling minimum.

Sekiranya sumber ini dicemari sehingga ke tahap yang tidak dapat lagi digunakan oleh manusia; ini secara tidak langsung akan mengurangkan sumber air bersih, meningkatkan pencemaran dan secara sedar atau tidak menjejaskan kesihatan.

Namun siapakah yang patut dipersalahkan di atas keadaan sungai kita hari ini? Ia akan tertuding kepada diri kita sendiri - masyarakat, pengilang, penternak dan yang lain - kerana gagal untuk menghargai sungai sebagai sumber.

Perlaksanaan Undang-Undang Kurang Berkesan

Penyerahan tanggung jawab penjagaan sungai kepada kerajaan juga menerangkan betapa rendahnya tahap penglibatan masyarakat dalam usaha pemeliharaan sungai.

Sikap dan paradigama masyarakat harus diubah terlebih dahulu, dengan ini barulah segala langkah saintifik dan pengurusan kawalan terhadap pencemaran sungai memberi makna dan berjaya dilaksanakan kerana sebahagian besar masyarakat telah memahami dan berupaya menilai kualiti sungai.

Walaupun terdapat pelbagai peruntukan bagi mengawal pencemaran sungai tetapi pelaksanaannya kurang berkesan kerana undang-undang ini berdasarkan sektoral, mempunyai skop yang terhad dan tidak holistik.

Oleh itu, undang-undang yang lebih berkesan perlu diperkenalkan diikuti oleh penguatkuasaan yang ketat oleh agensi yang terlibat bagi mengekang masalah pencemaran sungai yang dijangka semakin meruncing pada masa hadapan.

Undang-undang yang digubal juga mestilah mengambilkira kepentingan ekonomi kerana sebahagian besar daripada masalah pencemaran sungai adalah akibat daripada aktiviti perindustrian, pembangunan infrastruktur dan projek lain yang ada kaitan dengan perkembangan ekonomi.

Program Pemulihan Sungai

Program Satu Negeri Satu Sungai (1N1S) yang dilancarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 2005 adalah projek perintis bagi perlaksanaan Pengurusan Lembangan Sungai Secara Bersepadu (IRBM.

Pengarah Bahagian Lembangan Sungai dan Pantai, JPS Datuk Ong Siew Heng berkata program 1N1S melibatkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk sama-sama memberi fokus dalam perancangan serta perlaksanaan program pengurusan sungai mengikut bidang tugas agensi masing-masing dalam lembangan berkaitan.

Katanya program ini adalah perjanjian bersama kerajaan negeri di mana setiap negeri perlu memilih satu sungai tercemar untuk dipulihkan.

"Sungai yang sebelumnya kotor, mati dan sepi dipulihkan hingga menjadi sungai yang bersih, hidup dan vibran. Kualiti air sungai diklasifikasikan kepada lima kelas iaitu kelas I-bersih untuk terus minum, kelas II-bersih tetapi perlu dirawat sebelum diminum, kelas III-tidak bersih dan memerlukan rawatan yang rapi sebelum diminum, kelas IV-hanya sesuai untuk pengairan pertanian dan kelas V-tidak sesuai untuk sebarang kegunaan," kata Ong.

Katanya rangka kerja untuk program pemulihan ini telah dijalankan oleh semua negeri seperti pemasangan perangkap sampah di sungai, penguatkuasaan sepenuhnya Manual Saliran Mesra Alam oleh (PBT) bagi semua pembangunan tanah dan penguatkuasaan sistem rawatan sungai.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu melaksanakan 'fog-food oil grease trap' dan 'GPT-Gross Pollutant Trap' di gerai makanan, pasar sebelum disalirkan ke longkang seterusnya ke sungai.

Sungai dan rezab sungai perlu diwartakan sebagai zon riparian untuk pelbagai habitat Amalan Pengurusan Terbaik (BMP) bagi semua pembangunan dengan menyediakan ESCP-Pelan Pengawalan Hakisan dan Kelodak dan memperketatkan syarat-syarat kelulusan dan penguatkuasaan undang-undang pengambilan pasir.

Penglibatan Semua Pihak

Ong berkata pengurusan sungai yang baik pasti melibatkan pihak seperti kerajaan, swasta dan orang awam dalam memastikan sungai terus terpelihara, tidak terancam dan sentiasa dipantau.

"Dengan adanya program 1N1S ini matlamat untuk mendapatkan sungai yang penuh dengan tumbuhan menghijau, air yang bersih dan jernih serta penuh hidupan air, lambat laun akan tercapai juga.

"Sungai adalah satu daripada aset negara yang bernilai dan perlu dipelihara.

Sekiranya sungai diurus dengan baik, ianya akan memberi pulangan bagi menjana ekonomi negara. Manakala program 1N1S yang dilaksanakan boleh dijadikan contoh kepada lembangan sungai yang lain.

"Oleh itu, program pemulihan dan pengurusan sungai perlu dijalankan secara berterusan bagi memastikan kesinambungan dan 'survival' sungai serta persekitarannya dapat dipelihara.

"Dengan usaha yang bersepadu adalah menjadi harapan akan wujud sungai di Malaysia yang tersohor di dunia pada masa hadapan setanding dengan negara maju," katanya.

Masalah Sungai Temiang

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam Negeri Sembilan Datuk V.S. Mogan berkata terdapat 458 sungai di Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan telah memilih Sungai Temiang yang mengalir di tengah bandar Seremban untuk dipulihkan dengan sasaran peningkatan kualiti air dari kelas IV ke kelas II menjelang tahun 2015, di samping mewujudkan persekitaran sungai yang bersih, hidup dan vibran.

Katanya, Sungai Temiang sepanjang 9 kilometer di mana luas kawasan tadahan ialah 11.26 kilometer persegi. Sungai ini juga adalah sungai yang mengalir terus ke dalam Sungai Linggi yang menjadi punca air minuman.

Mogan berkata perangai buruk manusia menyaksikan tilam usang pernah dicampakkan ke dalam Sungai Temiang sebagai jalan mudah membuang sampah sehingga ia tercemar teruk dan diletakkan di bawah program 1N1S.

Katanya, hari ini sudah nampak kemajuan dalam usaha itu meski pun masih banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh kerajaan sebelum program itu benar-benar membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Bagi mempercepatkan usaha itu, kerajaan negeri telah meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) pada awal tahun lepas bagi menjadikan Sungai Temiang benar-benar bersih.

"Menjelang 2015, kerajaan negeri berharap Sungai Temiang akan mencapai kelas II, berbanding kelas III dan IV yang dicatatkan pada masa ini. Kita tidak mengharapkan peningkatan drastik, memadai perubahan yang biasa kerana banyak cabaran yang terpaksa kita hadapi memandangkan sungai ini melalui kawasan bandarn yang padat dengan penduduk dan kegiatan ekonomi.

"Namun secara umumnya, sampah sarap di sungai ini sudah berkurangan dan tidak seperti dulu lagi," katanya selepas merasmikan Pusat Informasi Sungai Temiang di Jalan Tun Dr Ismail, di sini, baru-baru ini.

Usaha Masih Diteruskan

Beliau berkata pelbagai program telah dirancang pada tahun ini bagi mencapai sasaran menjadikan Sungai Temiang bersih daripada pencemaran seperti memasang perangkap sampah di tempat strategik.

Selain itu, katanya pusat penyembelihan ayam di Pasar Besar Seremban juga akan dipindahkan kerana bahan buangan dari pasar itu dikenalpasti menyumbang kepada pencemaran sungai tersebut.

"Kita juga menggalakkan para peniaga di pasar itu menghantar bahan buangan daripada peniagaan mereka seperti sisa sayur ke Pusat Informasi Sungai Temiang yang mempunyai mesin bagi menghasilkan baja kompos secara percuma," katanya.

Katanya secara keseluruhannya, usaha membersihkan Sungai Temiang memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk masyarakat setempat, pelajar dan penjaja dan peniaga di Pasar Besar Seremban, agar mereka berganding bahu menjaga kebersihan dan kualiti air sungai itu.

Mengenai Pusat Informasi Sungai Temiang, beliau berkata ia diwujudkan bertujuan memudahkan orang awam mendapatkan segala maklumat dan ilmu pengetahuan mengenai kualiti air sungai tersebut.

Pusat itu juga turut mempamerkan sumber pencemaran Sungai Temiang dan menyediakan pelbagai buku untuk bacaan dan rujukan pelajar dan orang awam mengenai program sungai di Negeri Sembilan.

Mogan berkata kerajaan negeri memandang serius isu alam sekitar kerana ia melibatkan kualiti hidup rakyat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain