Pemilik pasar raya mini Tan Jai Wei, bersama beras jenama 'Kampungku' merupakan penganut agama Buddha yang berniaga sambil bersedekah termasuk untuk aktiviti-aktiviti Islam di Taman Kenari. - foto BERNAMA KULIM: Walaupun merupakan seorang penganut agama Buddha, seorang pemilik pasar raya mini, Tan Jai Wei, 46, menjalankan perniagaan yang cenderung ke arah Islam dan banyak bersedekah untuk aktiviti-aktiviti Islam.Semuanya bermula selepas dia menganjurkan Karnival Sayur-Sayuran untuk membantu tabung mengutip derma pembinaan sebuah masjid di sini enam tahun lalu."Saya dilahirkan sabagai seorang penganut Buddha. Sejak saya bermimpikan satu suara ghaib pada malam selepas saya anjurkan Karnival Sayur-Sayuran yang saya adakan khusus untuk memulakan tabung derma membina masjid di Taman Kenari, saya berasa amat tenang dan mula mencintai Islam," kata Tan ketika ditemui Bernama di pasar mininya di Taman Kenari di sini.Tan, pemilik Pasar Mini Wang Shang itu, membuat pengakuan bahawa pada zahirnya dia seorang Cina dan memeluk agama Buddha tapi pada batinnya dia adalah Islam dan banyak mengamalkan cara hidup Islam termasuk dalam menguruskan perniagaan pasar mininya.Bermula sebagai seorang pemborong sayur, selama 15 tahun perniagaannya agak kurang stabil, tetapi sejak 2006 dia bertekad untuk mendermakan sebahagian keuntungan yang diperolehinya melalui jualan beras untuk aktiviti masjid dan surau.Tan berkata, kehidupannya juga sudah berubah apabila dia tidak lagi minum arak, main nombor ekor dan tidak lagi makan makanan yang dilarang oleh Islam.Sejak 2006 dan selepas menaik taraf perniagaannya dengan mengutamakan penjualan beras secara borong dan runcit, selain lebih mengutamakan kerja amal berhubung dengan Islam, perniagaannya kini semakin maju.Seperkara yang lebih membanggakan dirinya sejak perubahan itu, Tan kini berjaya menjadi pengedar utama beras paket berjenama 'Kampung Ku' sejak 15 Mei lalu dan diberi kepercayaan oleh sebuah kilang beras di daerah Yan untuk urusan pengedaran komoditi tersebut ke seluruh negara.Pada paket plastik beras ada tercatat tulisan 20 sen daripada harga beras itu akan didermakan kepada masjid dan surau.Tan berkahwin dengan Hong Nga Ho, 46, dan mempunyai dua orang anak Tan Tai Wei, 16, belajar di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Chio Min di sini dan Tan Wei Hwa, 11, pelajar tahun empat di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent St Anne di sini.Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kulim Syeikh Radzi abdul Mutalib berkata Tan mempunyai pertalian erat dengan pihaknya dan mengakui dia adalah seorang yang berminat dengan ajaran Islam dan sedang mempelajari selok-belok tentang Islam.Syeikh Radzi berkata Tan juga seringkali memberi sumbangan berupa barangan dan wang ringgit terutama hasil jualan beras kepada masjid, surau dan masyarakat Islam di daerah Kulim.