suria

Menangani Pemandu Emosi, Agresif Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Yusof, 21, adalah seorang penuntut institut pengajian tinggi dan seperti rakan yang lain beliau memiliki sebuah motosikal bagi memudahkan pergerakan seharian.

Bagaimanapun, bagi Yusof, menunggang motosikal juga membantu beliau menenangkan emosi.

"Apabila saya menghadapi masalah atau berasa bosan, saya menunggang secara semberono untuk melepaskan emosi yang terpendam. Walaupun dalam mood riang, saya suka menunjukkan rasa teruja saya semasa menunggang atau memandu.

"Saya ada kalanya melakukan perkara yang menakutkan di atas jalan. Bagi saya, adalah menyeronokan kalau dapat mengatasi pemandu lain. Ia juga menyeronokan untuk meninggalkan pemandu lain di belakang apabila bermula dari lampu trafik.

"Saya suka memotong kereta lain di lebuh raya walaupun saya tidak mempunyai alasan untuk sampai dengan cepat. Saya memaki hamun pemandu lain atas jalan. Saya naik marah terhadap mereka yang memandu perlahan. Saya potong masuk dan keluar semasa menyusuri aliran trafik. Saya sentiasa menunggang atau memandu melampaui had laju.

"Saya menerima lima hingga tujuh saman sejak tiga tahun yang lepas. Terbabit dalam dua hingga empat kemalangan jalan raya, dan kebanyakannya kerana kecuaian sendiri," kata Yusof, seorang daripada pemandu/penunggang 'Emosi-Agresif' yang dikenal pasti semasa satu kajian profil pemandu muda berisiko tinggi.

Kajian ini dikendalikan oleh Dr Hasrina Mustafa dan Profesor Madya Dr Adnan Hussein, kedua-duanya dari Sekolah Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), dan Mohd Yusof Abdul Ghani dari Institut Malaysia bagi Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

Kajian psiko-sosial ini dijalankan ke atas 390 penuntut USM pada Januari 2010 untuk menilai pemandu muda di Malaysia bagi tujuan kempen keselamatan jalan raya berdasarkan kepada jenis personaliti, sikap dan tingkah-laku semasa memandu. PROFIL PEMANDU BERISIKO TINGGI DI MALAYSIA

Kajian ini mengenalpasti ciri-ciri psiko-sosial utama pada pemandu/penunggang berisiko tinggi di Malaysia yang lazimnya mengalami kemurungan yang tinggi, cenderung mencari sensasi atau melepaskan geram atas jalan raya.

Oleh itu masalah mereka ini dapat dilihat dalam bentuk gaya memandu agresif atau berbahaya seperti memandu dengan laju, potong masuk dan keluar semasa menyusuri aliran trafik dan tidak berhenti di lampu merah.

Kumpulan berisiko tinggi ini sebahagian besarnya terdiri daripada lelaki dengan pengalaman memandu yang tidak seberapa.

Keselamatan jalan raya adalah isu besar di Malaysia. Statistik oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya baru-baru ini menunjukkan bahawa secara purata 18 orang maut setiap hari kerana kemalangan jalan raya.

Kemalangan jalan raya adalah punca utama kelima bagi kematian dalam kalangan rakyat Malaysia selepas beberapa penyakit dan punca utama ketiga bagi kematian di kalangan lelaki dan kesepuluh dalam kalangan wanita.

PENEMUAN PENTING

Keputusan kajian ini membawa implikasi yang besar khasnya dalam merumus kempen-kempen keselamatan jalan raya yang disasarkan kepada golongan belia di Malaysia.

Pertamanya, keputusan ini membahagikan audien sasaran berdasarkan kepada jenis personaliti, sikap dan tingkahlaku semasa memandu.

Dengan membahagikan pemandu/penunggang muda di Malaysia kepada kumpulan berisiko tinggi dan berisiko rendah, mesej-mesej khusus dalam kempen serta program intervensi dapat dirumuskan untuk menampung keperluan kedua-dua kumpulan ini.

Jika berlaku kekekangan daripada segi sumber-sumber kempen seperti pembiayaan, masa atau tenaga kerja, kumpulan berisiko tinggi harus diberi keutamaan berbanding kumpulan berisiko rendah.

Keduanya, mesej kempen perlu menonjolkan mengapa penting untuk memisahkan perbuatan memandu daripada masalah emosi atau keghairahan, seperti cara mereka diajar untuk memisahkan alkohol dan memandu.

Seorang perancang kempen boleh juga menunjukkan cara-cara sesuai untuk melepas atau menyalurkan emosi seperti berkongsi atau menyampaikan masalah, keseronokan dan keghairahan bersama sahabat dan keluarga, di sebalik melepaskannya di atas jalan raya.

Pada dasarnya, pemandu/penunggang berisiko tinggi mesti dimaklumkan akan nasib yang bakal menimpa kesan daripada emosi yang turun naik semasa memandu.

PERANCANGAN BAGI KUMPULAN BERISIKO

Bagi pemandu/penunggang yang berisiko rendah, program intervensi jangka pendek mungkin memadai memandangkan mereka lebih responsif kepada program intervensi keselamatan jalan raya berbanding kumpulan berisiko tinggi.

Bagi kumpulan berisko tinggi, program intervensi ini perlu dijalankan secara bersiri untuk menangani ciri dan tingkahlaku psikologi yang dikenalpasti.

Mereka harus diajar untuk mengasingkan emosi mereka semasa memandu.

Untuk mengurangkan kemurungan, pemandu-penunggang berisiko tinggi perlu dilengkapi dengan kemahiran yang berkaitan seperti kemahiran pengurusan kemurungan dan meningkatkan keyakinan diri.

Pemandu/penunggang berisiko tinggi perlu dilatih untuk tidak menunjukkan emosi atau melepaskan tekanan jiwa di jalan raya.

BERTINDAK IKUT GERAK HATI UNTUK SENSASI

Kebanyakan mereka yang mencari sensasi dan pemandu yang berlumba bertindak mengikut gerak hati tanpa memikirkan akibat daripada tindakan mereka.

Untuk menangani ciri sikap ini, program intervensi perlu mendedahkan pemandu/penunggang sasaran kepada kemalangan yang boleh berlaku kerana sikap seumpama.

Program intervensi akhir mesti menangani gaya pemanduan dalam kalangan pemandu berisiko tinggi.

Program ini boleh diadakan dalam bentuk bengkel mengajar semula, membetulkan gaya pemanduan berbahaya seperti memandu dengan laju dan berlumba atas jalan raya.

TIADA MOTIVASI UNTUK PANDU SELAMAT Memandangkan kebanyakan pemandu/penunggang muda berisiko tinggi tidak mempunyai motivasi untuk memandu dengan selamat, mereka perlu didedahkan melalui paparan video berhubung nahas jalan raya yang boleh berlaku akibat pemanduan secara semborono.

Mereka perlu diminta berjaga-jaga dan bersiap menghadapi bahaya atas jalan raya akibat gaya pemanduan berbahaya mereka disusuli dengan latihan memandu praktikal.

Oleh kerana pemandu/penunggang sudahpun mempunyai kemahiran asas mengendalikan kenderaan, latihan yang diberikan perlu mematuhi objektif mendidik pemandu/penunggang berisiko tinggi dalam gaya pemanduan berhemah.

Mereka perlu dilatih untuk menjangka bahaya yang boleh berlaku, untuk mengawal dengan cekap kenderaan dan elak daripada mengalihkan tumpuan semasa memandu. Aspek-aspek ini tidak banyak ditekankan dalam program latihan memandu ditawarkan di Malaysia yang sebaliknya menekankan kepada kawalan asas kenderaan.

Kesimpulannya, pemandu/penunggang muda berisiko tinggi di Malaysia boleh digambarkan sebagai pemandu/penunggang 'emosi-agresif' yang tidak dapat memisahkan emosi dan keghairahan semasa memandu.

Dengan mengenalpasti ciri-ciri psiko-sosial pemandu-penunggang berisiko tinggi, mereka yang berkempen bagi keselamatan jalan raya akan dapat melaraskan program intervensi khusus serta memilih bahan promosi yang paling sesuai dengan keperluan psiko-sosial pemandu/penunggang berisiko tinggi.

Artikel Lain