suria

Bantu Selamatkan Ikan Yu

KOTA KINABALU: Ikan yu sebagai pemangsa tangga teratas mengekalkan keseimbangan dalam jaringan makanan di laut dan tanpanya jaringan makanan di laut akan terjejas.

Bagaimanapun, ikan yu, dengan siripnya yang mempunyai permintaan tinggi kerana dijadikan hidangan istimewa, semakin berkurang dalam bilangannya dan kekosongan yang berlaku dalam jaringan makanan akibat kepupusannya membantu spesies lain untuk berganda tanpa kawalan dan mengucar-kacirkan ekosistem, termasuk menyingkirkan lebih banyak spesies dalam rantaian makanan.

Menangkap ikan yu secara berlebihan dan memotong siripnya yang bernilai tinggi, mengancam populasi yu. Lagi pun, perbuatan memotong sirip yu adalah sangat kejam kerana selepas sirip yu dipotong ikan itu dibuang semula ke laut untuk dibiarkan mati.

Malangnya kebanyakan orang tidak bersimpati dengan nasib ikan yu dan sikap ini tidak mengejutkan kerana yu digambarkan sebagai ikan yang memakan manusia, gara-gara penampilan ikan yu sebagai pembunuh dalam filem-filem. Sebenarnya yu bukan pembunuh, ia hanya menyerang apabila terancam.

Menangkap yu untuk mendapatkan siripnya akan kekal sebagai perniagaan yang menguntungkan selagi sup sirip yu ataupun 'shark fin soup' kekal dalam menu hidangan.

Sup Sirip Yu Tidak Mempunyai Nilai Nutrisi

Bolehkah ikan yu diselamatkan daripada kepupusan?

Mengharam atau mengawal aktiviti memburu dan memotong sirip yu hanya satu daripada usaha menyelamatkan yu. Kira-kira 20 buah negara telah melarang aktiviti ini.

Tetapi menguatkuasakan undang-undang ini perkara lain sama sekali. Ada pedagang yang akan mencari jalan lain termasuk mengimport sirip yu.

Mungkin satu-satunya cara paling berkesan untuk mengubah nasib yu ini adalah dengan menunjukkan bahawa sup sirip yu, yang selama ini dikaitkan dengan status atau tradisi masyarakat Cina, mempunyai sedikit atau langsung tiada nilai nutrisi atau perubatan.

Sirip yu itu sendiri tidak mempunyai sebarang rasa. Rasanya datang daripada sup dan sirip itu hanya memberikan tekstur.

Penasihat Teknikal bagi Green Connection (Aquarium and Science Discovery Centre) Prof Steve Oakley mengingatkan bahawa raksa metil yang terdapat pada yu termasuk siripnya boleh memudaratkan otak manusia jika mencapai paras tinggi.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia tidak lagi menghidangkan sup sirip yu dalam menu pada majlis yang dianjurkannya.

Pada September 2008 Gayana Resort di sini muncul sebagai pihak pertama dalam sektor pelancongan untuk menghentikan hidangan sup sirip yu.

Mendapatkan Sirip Yu

Mendapatkan sirip yu adalah aktiviti sosio-ekonomi bagi masyarakat di Pulau Mabul, di luar pesisir Semporna dekat Tawau.

Semasa musim memburu yu peralatan untuk menangkapnya termasuk umpan disediakan khusus bagi tujuan ini.

Setiap bot boleh meraih antara lapan dan 10 ekor jerung menggunakan mata kail.

Yu kecil yang beratnya kira-kira 10kg sementara yang besar boleh mencapai sehingga 60kg dan panjang 1.5 meter.

Selepas ditangkap sirip yu ini dipotong dan bahagian lain dibuang kerana harga pasaran yang rendah (30sen/kg). Bagaimanapun, spesies dengan nilai pasaran yang baik akan dibawa pulang untuk dijual.

Sirip daripada setiap yu ini dijual dalam set empat keping : satu sirip dorsal, dua sirip pektoral, satu siri kaudal, pada harga daripada RM130-RM150.

Yu membesar dan matang dengan perlahan-lahan, kata Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Ridzwan Abdul Rahman.

"Kemusnahan habitat, penangkapan ikan secara keterlaluan dan amalan penangkapan ikan yang tidak mapan termasuk penggunaan bom ikan, racun sianida dan memotong sirip yu kesemuanya menyumbang kepada tekanan terhadap kumpulan ikan ini," katanya.

Kerajaan Negeri beberapa bulan yang lepas mengisytiharkan komitmennya untuk melarang "pemburuan yu" di Sabah.

Perjanjian Antarabangsa

Dr Mabel B. Manjaji-Matsumoto, seorang pensyarah di BMRI berkata menyenaraikan spesies yu pada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Diancam Kepupusan (CITES), satu perjanjian antarabangsa antara kerajaan-kerajaan mungkin adalah langkah berkesan dalam melarang perdagangan sirip yu dan dengan itu boleh membantu mengurangkan pembunuhan yu untuk mendapatkan siripnya.

"Kebanyakan daripada spesies yu dan pari sudahpun berada dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Konservasi Semulajadi (IUCN) tetapi ini tidak bermakna perdagangan mereka terkawal."

Beliau berkata Senarai Merah IUCN bagi Spesies-spesies Terancam telah diiktiraf sebagai yang paling menyeluruh, selain pendekatan global yang objektif bagi menilai status pemuliharaan spesies tumbuhan dan haiwan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UMS (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Rosnah Ismail berkata penyelidikan akan membantu mempengaruhi dasar-dasar sedia ada terhadap pemuliharaan marin.

UMS terbabit secara langsung dalam pemuliharaan yu di Sabah melalui penyelidikan sejak 1995.

"Adalah wajar untuk menangani penangkapan yu secara haram, tanpa kawalan ataupun tanpa dilaporkan di perairan negara-negara jiran dan ikan itu didaratkan di pesisir Malaysia (seperti di Pulau Mabul)," jelas beliau. -BERNAMA

Artikel Lain