suria

ANIMASI BUKAN SEKADAR KARTUN

PASARAN... Siri animasi televisyen, Upin dan Ipin, keluaran Les Copaque, kini berjaya tembusi pasaran antarabangsa. Evolusi animasi negara kian menunjukkan perkembangan memberangsangkan. Daripada kurangnya keyakinan masyarakat terhadap hala tuju dunia berkenaan, akhirnya ia beralih sebagai sumber dikenalpasti penting menjana pertubuhan ekonomi. - Foto BERNAMA
PASARAN... Siri animasi televisyen, Upin dan Ipin, keluaran Les Copaque, kini berjaya tembusi pasaran antarabangsa. Evolusi animasi negara kian menunjukkan perkembangan memberangsangkan. Daripada kurangnya keyakinan masyarakat terhadap hala tuju dunia berkenaan, akhirnya ia beralih sebagai sumber dikenalpasti penting menjana pertubuhan ekonomi. - Foto BERNAMA
PASARAN... Siri animasi televisyen, Upin dan Ipin, keluaran Les Copaque, kini berjaya tembusi pasaran antarabangsa. Evolusi animasi negara kian menunjukkan perkembangan memberangsangkan. Daripada kurangnya keyakinan masyarakat terhadap hala tuju dunia berkenaan, akhirnya ia beralih sebagai sumber dikenalpasti penting menjana pertubuhan ekonomi. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kemunculan dua kanak-kanak lelaki dengan gelagat tersendiri, Upin dan Ipin, di TV9 pada tahun 2007, bukan sahaja menjadi fenomena malah menyuntik "nafas baru" kepada industri animasi negara.

Ketika itu, sama ada di kedai kopi, pusat membeli-belah atau di mana sahaja lokasinya, karakter dua kanak-kanak lelaki itu menjadi antara perbualan hangat diperkatakan.

Minat? Bukan sekadar merangkumi anak-anak kecil malah si dewasa turut serta. Akan bagaimanapun, ini tidak bererti menerbitkan sentimen "diskriminasi" kepada siri animasi televisyen atau filem cereka animasi sebelum ini.

Karya seperti Usop Sontorian, Anak-anak Sidek pernah membibitkan kehangatan luar biasa kepada industri animasi negara. Cuma, ia agak sepi seketika dan kemunculan Upin dan Ipin mula membuka mata akan potensi kreativiti animasi tempatan.

Namun begitu, situasi demikian akhirnya menyebabkan ramai antara kita merumuskan bahawa 'animasi adalah kartun dan kartun adalah animasi'. Walhal, animasi adalah satu bidang yang sangat luas dan tidak sekadar terhad kepada dunia kartun sahaja.

KALAU LUAS, MENGAPA HANYA KARTUN?

Hasil daripada temuramah bersama beberapa peserta yang menyertai Seminar Animasi anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sempena Hari Seniman baru-baru ini, didapati ramai tidak menyedari kewujudan cabang lain dalam animasi.

"Sebelum ini, saya ingat dunia animasi hanyalah kepada skop kartun sahaja. Tambahan pula, media dilihat lebih memberi fokus kepada kartun sehingga timbulnya persepsi sedemikian.

"Melalui forum, baru saya tahu bahawa animasi ini cabangnya sangat luas dan pengetahuan ini amat bermakna kerana akan membantu saya memilih kursus nanti," kata Amran Saifuddin yang bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang animasi kepada Bernama baru-baru ini.

Bagi Rozaina Hamid pula, beliau sedikit mempertikaikan kewujudan cabang lain dalam dunia animasi.

"Sekiranya luas, mengapa hanya "kartun" sahaja yang lebih dipopularkan? Mengapa lain tidak popular? Adakah ia (cabang lain) tidak berpotensi tinggi?," kata Rozaina.

Menyentuh perkara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan Aswara, Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq berkata, situasi ini wujud bukan disebabkan cabang lain animasi tidak berpotensi tinggi tetapi bisnes animasi di sini lebih tertumpu kepada siri animasi televisyen dan filem cereka animasi.

"Majoriti penonton gemarkan kartun, jadi animasi berkenaan menjadi pilihan pasaran. Lagipun, siri animasi televisyen atau filem cereka animasi bukan sahaja diminati kanak-kanak malahan remaja," katanya.

ANIMASI BUKAN SEKADAR HIBURAN SAHAJA

Merujuk kepada definisi animasi itu sendiri: "Animasi adalah satu siri gambar still (lukisan atau potongan foto), yang mana selepas dirakam satu persatu dan diperlihatkan melalui monitor, akan mendatangkan ilusi pergerakan,".

(Definisi diubahsuai untuk era digital, dipetik daripada kertas kerja penulis skrip dan pengarah filem bebas, Hassan Abd Muthalib ketika membentangkannya di Dewan Bahasa dan Pustaka sempena Minggu Sastera Kebangsaan pada Nov, 2000).

Sekadar membaca definisi animasi, jelas menunjukkan ia langsung tidak menyentuh bidang itu tertakluk kepada dunia kartun sahaja.

Malah, stigma ramai yang menganggap bahawa animasi adalah berkait rapat dengan 'hiburan' perlu dikikis kerana ia juga melibatkan profesion serius seperti seni bina, kejuruteraan, perubatan dan penerbangan.

Dikenali sebagai "scientific visualization" kerana ia membabitkan pengiraan tepat, Ahmad Rafi berkata animasi telah digunakan untuk mendapatkan ramalan dan jangkaan terhadap sesuatu projek atau perancangan.

"Simulasi adalah satu daripada kaedah di bawah animasi. Ia digunakan untuk mengandaikan apa yang telah dan akan berlaku sekiranya mengambil sesuatu keputusan.

"Sebagai contoh, persediaan menghadapi bencana seperti kes tsunami. Tidak ada jalan lain kecuali menggunakan simulasi berkomputer dengan input fizik untuk menilai sekiranya ombak setinggi ini, bangunan atau ruang mana akan roboh dahulu.

"Ia turut digunakan dalam bidang seni bina, warisan, reka bentuk bandaran, automotif, perubatan dan sebagainya," katanya sambil menjelaskan bahawa bidang pengiklanan juga adalah satu profesion yang tidak ketinggalan menggunakan animasi.

Selain itu, "animasi" juga telah menjadi satu komponen penting dalam kalangan syarikat bermotifkan pendidikan di negara ini yang juga dikenali sebagai "edutainment".

Memandangkan sektor pendidikan adalah satu bidang sangat besar, animasi telah digarapkan sebagai medium interaktif untuk mencetuskan minat pembelajaran anak-anak. Bukan sekadar itu, tetapi filem, kandungan telefon mudah alih dan permainan "games" adalah antara cabang animasi yang semakin meningkat pantas.

"Data keseluruhan khasnya di negara maju menunjukkan 'games' adalah penyumbang utama ekonomi berpendapatan tinggi. Tetapi di Malaysia pembangunan kandungan berbentuk 'games' masih di tahap rendah walaupun berpotensi maju kehadapan," kata Ahmad Rafi.

KERAJAAN KOMITED BANGUNKAN INDUSTRI KREATIF

Animasi, yang adalah antara satu cabang dalam industri kreatif dikenalpasti berpotensi besar menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Atas faktor itu, industri kreatif yang berpaksikan kepada tiga skop utama iaitu, Multimedia, Seni Budaya dan Warisan Budaya telah diberi penekanan serius oleh kerajaan menerusi penggubalan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN).

Dengan memperuntukan sejumlah RM200 juta, DIKN diharap memberi peluang kepada kelompok masyarakat berbakat terutama generasi muda untuk berkarya sama ada dalam aspek multimedia, seni budaya atau warisan budaya dalam menghasilkan sesuatu kreatif.

Selain itu, terdapat juga beberapa agensi kerajaan yang turut berperanan memartabatkan industri kreatif negara ini, termasuklah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Multimedia Development Corporation (MDeC).

Mengenai bantuan MDeC kepada penggiat animasi, Naib Presiden Jabatan Kreatif Multimedia, MDeC, Kamil Othman berkata sebanyak RM75juta diperuntukkan untuk usahasama "co-production" di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

MDeC yang diwujudkan serta dipertanggungjawabkan oleh kerajaan sebagai pemangkin bagi melahirkan lebih ramai tenaga dalam industri multimedia kreatif juga telah membantu penggiat amatur dan profesional menyediakan tempat bagi mereka berkarya.

"Menerusi MaC3 (Pusat Animasi dan Kandungan Kreatif), penggiat amatur yang tidak mempunyai pejabat, boleh menyewa di sini dengan kadar harga berpatutan. Malah segala kelengkapan termasuk 'rendering farm' turut disediakan.

"Antara syarikat yang menggunakan kemudahan ini ialah Animonsta Studios yang menerbitkan BoBoi Boy," katanya.

Bagi mempromosikan karya animasi tempatan di luar negara, MDeC turut membawa penggiat ke MIPCOM, platform khusus untuk pasaran program TV dan hiburan yang diadakan setahun sekali di Cannes, pada bulan Oktober setiap tahun.

Tidak sekadar itu, MDeC turut menganjurkan 'Intellectual Property Creators Challenge' (IPCC) sejak tahun 2006 bagi mencungkil bakat baru dalam dunia animasi tempatan. Setakat ini, sebanyak 126 penggiat animasi telah dibantu MDeC melalui proram ini.

Untuk RMK-10, tumpuan akan diperluaskan kepada penggunaan teknologi animasi kandungan pendidikan, latihan dan kebudayaan, yakni tidak hanya tertumpu kepada bidang hiburan semata-mata.

SALADIN THE ANIMATED SERIES, KARYA KEBANGGAAN NEGARA

Adalah produk kreatif pertama terbitan MDeC, siri animasi televisyen, "Saladin the Animated Series", yang bekerjasama dengan Saluran Kanak-Kanak Al Jazeera (JCC) berpangkalan di Qatar, membuka mata negara luar terhadap potensi animasi negara.

Bukan sahaja ditayangkan di negara ini menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta pangkalan luar di negara-negara Arab, malah siri animasi itu berjaya diedarkan lesen penyiarannya di seluruh dunia. Menurut Pengurus Projek Saladin, Shahrain Jamaluddin: "Antara pembeli lesen penyiarannya adalah Cartoon Network Asia, RCTI Indonesia, ATV Turki dan pengedar antaranbangsa seperti Licenseworks untuk benua India, MondoTV untuk Eropah-Russia-Selatan Afrika,".

Saladin The Animated Series juga berjaya memenangi beberapa anugerah seperti Anugerah Karyawan Animasi 2011 anjuran Animas dan Accolade Competition Awards di Los Angeles, Amerika Syarikat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain