suria

Erti Pengorbanan, Kepayahan, Peperangan Dan Keamanan

Bahagian pertama daripada dua siri rencana penghargaan kepada Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor.

KUALA LUMPUR: Sejak kematian jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor akibat ditembak ketika bertugas membuat liputan misi kemanusiaan di Somalia pada 2 September lepas, penulis banyak diajukan soalan "Adakah berbaloi wartawan menggadai nyawa di kawasan bencana dan bergolak?" Ramai yang tidak percaya wartawan dan jurukamera seperti kami membuat liputan ke tempat-tempat sebegini dengan rela hati dan bukan semata-mata kerana ditugaskan. "Ya", kami ditugaskan ke sana dan "Ya" juga kepada soalan bahawa kami pergi dengan rela hati kerana naluri kemanusiaan kami kuat untuk melihat dan membantu memaparkan penderitaan rakyat akibat pelbagai pergolakan di dunia.

Misi bantuan kemanusiaan ke Somalia bermula dari 28 Ogos, 2011 anjuran Kelab Putera 1Malaysia yang diketuai Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. Kami pergi dua hari sebelum umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri, satu lagi faktor yang boleh melemahkan semangat kami untuk meninggalkan keluarga dan negara ketika itu.

Namun tekad untuk berkongsi kesengsaraan yang dirasai penduduk Somalia, mengatasi segalanya lebih-lebih lagi kira-kira setahun lepas, pada 9 Ogos, 2010, situasi hampir sama telah kami hadapi. Ketika itu umat Islam sedang bersiap menyambut Ramadan manakala penulis dan allahyarham Noramfaizul, yang lebih mesra dipanggil Faizul, sibuk berkemas membuat persediaan untuk menyertai misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, Palestin. Beberapa hari selepas pulang dari Gaza, pada 3 September 2010, menjelang Aidilfitri, kami bergegas pula ke Pakistan bagi membantu mangsa banjir paling buruk di negara itu.

MISI KE KAWASAN BERGOLAK

Ada apa di Gaza, Pakistan dan Somalia?

Semenanjung Gaza kami sifatkan sebagai penjara besar bagi rakyat Palestin.

Melihat kehidupan penduduk di situ, penulis dapat merasakan seksa penindasan yang dilakukan regim Israel terhadap rakyat Palestin.

Pendorong semangat Faizul dan penulis untuk menyertai misi ke Gaza tercetus daripada peristiwa serangan tentera regim Israel ke atas kapal bantuan Mavi Marmara yang turut membawa sukarelawan Malaysia dan mengorbankan berbelas sukarelawan dari Turki. Walaupun untuk memasuki Gaza sudah cukup sukar kerana kami terpaksa menunggu selama tiga jam untuk melepasi imigresen di Mesir dari sempadan Rafah, namun masih terkeluar kata-kata; "Dik, kita beruntung dapat mengikuti misi ini," daripada allahyarham Faizul.

Benar apa yang diungkapkan beliau, kerana pengalaman melihat sendiri penderitaan rakyat Palestin sememangnya tidak cukup untuk digambarkan dengan kata-kata atau tulisan.

Namun melalui rakaman lensa kamera video Faizul, setidak-tidaknya penonton BernamaTV dapat melihat sendiri keadaan di sana dan kesengsaraan yang dihadapi penduduk Palestin.

KEADAAN DI GAZA

Secara fizikalnya kesan serangan tentera Israel pada penghujung tahun 2008 dan awal 2009 masih dapat dilihat melalui rumah dan bangunan yang berlubang-lubang dan ada yang runtuh menyembah bumi akibat ditembak dan dibom.

Serangan kejam itu menyebabkan lebih 2,000 rakyat Palestin terkorban, berbelas ribu lagi cacat dan lebih 80,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Tekanan ekonomi turut menghimpit sejumlah 1.5 juta penduduk Gaza dan pengangguran mencecah 70 peratus.

Seorang sukarelawan dari Australia, Dr Jean E. Calder yang berkhidmat di Kolej Pembangunan dan Keupayaan Khan Younes dan menetap di Gaza selama lebih 15 tahun berkata parut serangan Israel memberi kesan psikologi yang mendalam kepada kanak-kanak Palestin. "Perasaan trauma dan takut kepada bunyi letupan terbawa-bawa sehingga ke dalam mimpi. Ia sukar untuk dihilangkan. Jika trauma generasi muda ini gagal disembuhkan, ia akan memberi impak negatif terhadap masa depan Palestin," kata Dr Jean. Faizul ketika itu tidak puas merakamkan visual sekitar tempat kami dibawa, tetapi mahu ke terowong penyeludupan Gaza yang dianggap penyambung nyawa rakyat Palestin.

Terowong bawah tanah itu dijadikan laluan penyeludupan bahan mentah dikatakan dari Mesir selepas wilayah itu dikenakan sekatan regim Zionis sejak 2007. Tel Aviv kerap menuduh laluan rahsia itu digunakan untuk penyeludupan senjata api sehinggakan kerajaan Mesir suatu ketika bertindak menutupnya. Beratus-ratus rakyat Palestin mati semasa menggunakan terowong itu semata-mata untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas untuk hidup.

Keperitan penduduk Palestin menggunakan terowong itulah yang membuatkan Faizul meminta kebenaran ketua media yang mengikuti misi di Gaza, Azman Md Noor untuk pergi ke terowong berkenaan.

"Misi kita tak lengkap kalau visual terowong tu kita tak rakam. Ia sebahagian tanda perjuangan rakyat Palestin untuk meneruskan kehidupan," katanya. Atas desakan Faizul rombongan itu sampai ke kawasan yang mempunyai beratus-ratus terowong penyeludupan yang panjangnya berpuluh-puluh kilometer menghubungkan Gaza dan sempadan Mesir. Terowong-terowong berkenaan ada yang hanya boleh dilalui seorang individu dan ada juga yang boleh dilalui lori pengangkut barang.

Sepanjang berada di tempat-tempat ini Faizul sering mengingatkan penulis supaya tidak berpisah jauh darinya. "Dik, kau jangan pergi jauh dari abang, kawasan ni berbahaya. Abang tak nak sesuatu berlaku pada kau."

Begitulah tahap kewaspadaan kami ketika berada di kawasan tidak selamat yang pada bila-bila masa sahaja boleh diserang atau terperangkap dalam serangan puak-puak yang terlibat dalam sesuatu konflik. Kami juga bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi menggunakan kenderaan yang dilindungi umpamanya di Gaza, kami menaiki kenderaan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin. Semasa di Gaza, misi Kelab Putera 1Malaysia yang dinaungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya menghulurkan bantuan kepada 5,000 rakyat Palestin di Gaza City, Jabalyah, Der Al Balah, Khan Younis, Rafah dan Saifa.

MISI KE PAKISTAN

Lain pula keadaannya di Pakistan yang kami jejaki dari 3-11 September, 2010. Banjir yang melanda negara berkenaan pada bulan Julai 2010, adalah bencana alam terburuk di Pakistan dalam tempoh 80 tahun.

Bencana itu menyebabkan lebih 2,000 nyawa terkorban, tanaman musnah, binatang ternakan mati, satu juta penduduk kehilangan rumah dan 20 juta lagi terjejas kehidupan mereka. Kira-kira 3.5 juta kanak-kanak terdedah kepada pelbagai jenis penyakit akibat bencana alam itu. Sudahlah dilanda banjir, Pakistan juga diancam dengan wilayah bergolak.

Peshawar adalah kawasan pertama yang kami kunjungi untuk menghulurkan sumbangan kemanusiaan. Keselamatan kami di wilayah ini sememangnya sentiasa teruji kerana setiap hari ada sahaja laporan kematian akibat serangan puak pemberontak dan serangan berani mati di masjid-masjid di wilayah itu yang didakwa dilakukan sekutu pergerakan Al-Qaeda. Selain Peshawar, kami turut membuat liputan di Nowshera, Swot, Charsaddar dan Chaksari.

Liputan bantuan juga dibuat sehingga ke Karachi yang turut berdepan dengan kegiatan kumpulan pemberontak yang lengkap bersenjata.

DUGAAN YANG DIHADAPI

Dalam keadaan cuaca panas mencecah sehingga 40 darjah selsius serta perjalanan jauh dari satu tempat ke satu tempat yang adakalanya memakan masa hingga lapan jam, sememangnya suatu pengalaman yang tidak boleh dilupakan terutama anggota misi beragama Islam yang sedang berpuasa. Jalan tidak berturap ke kawasan berkenaan amat mencabar mental dan fizikal, sehingga ada ketikanya kami terpaksa keluar dari kenderaan bagi membolehkan kenderaan yang membawa kami melepasi halangan aliran air.

Malahan kami juga sentiasa berwaspada terhadap sebarang serangan daripada pihak yang berniat untuk merampas barang bantuan.

Sepanjang sembilan hari di Pakistan, penulis melihat kelemahan operasi penyaluran bantuan sehinggakan kesengsaraan mangsa banjir diburukkan lagi dengan konflik bersenjata kumpulan pemberontak.

Visual kanak-kanak yang kotor dan berpenyakit, penempatan sementara yang mempunyai beribu-ribu khemah yang daif serta mangsa bencana yang berebut-rebut mengambil barang bantuan dan makanan, dirakamkan sepenuhnya oleh Faizul. Selepas misi ke Gaza dan Pakistan, pada Februari 2011, Faizul mengikuti misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke New Zealand bagi membantu mangsa bencana gempa bumi sementara penulis pula membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia membantu mangsa gempa bumi, tsunami dan bencana loji nuklear di Jepun pada Mac 2011.

MISI KE SOMALIA

Penulis dan Faizul berganding semula dalam misi bantuan mangsa bencana kemarau dan kebuluran Somalia dari 29 Ogos, 2011. Sejurus keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Abdulle, Mogadishu, kami sudah merasai ketegangan pergolakan bersenjata di situ.

Sepanjang jalan ke hotel dan tempat penginapan kami, kelihatan ramai askar dan individu membawa senjata. "Kita kena bergerak bersama-sama dalam satu konvoi. Askar bersenjata mesti mengiringi pergerakan kita. Sini berbahaya," kata pemandu bas yang membawa kami ketika digesa untuk bergerak lebih awal tanpa menunggu anggota misi yang lain.

Pergolakan di Somalia berlarutan akibat perang saudara yang meletus sejak tahun 1991. Pergolakan itu menyebabkan rakyat Somalia tidak kenal mana sahabat, mana musuh kerana mereka bersengketa sesama sendiri. Keadaan bertambah buruk dengan kemunculan puak pemberontak yang dikenali sebagai Al-Shaabab yang menguasai beberapa wilayah di luar Mogadishu. Nasihat yang sama juga diberikan Faizul kepada penulis setibanya kami di Hotel Naashablood yang menempatkan 47 anggota sukarelawan dan wartawan media cetak Malaysia. "Jangan pergi jauh dari abang, kawasan di sini berbahaya," katanya.

Sejak misi bermula sejurus selepas solat sunat Aidilfitri di Masjid Isbahasyiga pada 29 Ogos, 2011 sehinggalah petang 2 September 2011, apa yang penulis saksikan keadaan hidup di Mogadhisu amat menyayat hati. Kematian berlaku setiap hari, penyakit akibat kekurangan zat serta penyakit kulit adalah situasi yang dihadapi oleh kebanyakan kanak-kanak dan wanita di khemah sementara. "Bencana kemarau yang melanda, menyebabkan 3.5 juta penduduk berhadapan dengan kebuluran, akibat makanan tidak seimbang kanak-kanak dan wanita menghidap cirit-birit dengan 200 kematian setiap hari, termasuk akibat mangsa konflik bersenjata," kata Penasihat Teknikal kepada Menteri Kesihatan Somalia, Dr Abdi Awad Ibrahim. Mogadhisu kami sifatkan sebagai muzium perang terbuka. Kesan tembakan serta bom boleh dilihat di semua binaan di ibu negara Somalia ini.

Setiap hari kami akan balik ke hotel penginapan untuk menghantar laporan liputan dan visual, sebelum pukul 5 petang waktu tempatan kerana bimbang bahaya apabila suasana sudah gelap. Namun pada 2 September, pergerakan pulang kami agak lambat, kira-kira pukul 5.45 petang. Ketika kenderaan pacuan empat roda yang kami naiki bergerak menuju ke hotel, suasana agak sunyi sehinggalah tiba-tiba kedengaran dua das tembakan yang mengorbankan Faizul.

MENJAWAB SOALAN

Semasa menyertai misi ke Semenanjung Gaza, Pakistan dan Somalia penulis dan Faizul tidak pernah terfikir pula untuk meminta jaket kalis peluru daripada penganjur. Dalam fikiran penulis dan minda Faizul hanyalah untuk memberi laporan dan visual terbaik. Untuk soalan yang berkali-kali ditanya, kenapa pengamal media seperti kami sanggup berkorban nyawa untuk tugasan membuat liputan di kawasan-kawasan bergolak ini, jawapannya ialah "demi kemanusiaan". Agar kehidupan beratus-ratus juta manusia yang sengsara bertarung nyawa dapat dikongsi dengan masyarakat, agar mereka dibantu dan tidak seharusnya dibiarkan.

Adakah kematian Noramfaizul Mohd Nor itu sia-sia? Bagi penulis tidak.

Allahyarham telah berjasa, memainkan peranan dalam membentuk pemikiran masyarakat agar prihatin terhadap kesukaran hidup yang dihadapi orang lain walaupun bukan seagama atau sebangsa.

Erti bencana, erti kepayahan, erti kesengsaraan, erti peperangan dan erti keamanan yang perlu disedari dan diambil iktibar oleh masyarakat, semuanya diterjemahkan melalui visual yang dirakam oleh allahyarham. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain