suria

Anak Juga Boleh Mengalami Stres

KUALA LUMPUR: Jangan fikir orang dewasa sahaja boleh mengalami stres atau tekanan, anak juga boleh mengalami stres.

Ini adalah hakikat yang perlu diambil berat terutama ibu bapa.

Perkara ini antara yang ditekankan Sarada Devi R. Subramaniam, Pegawai Psikologi, Unit Kaunseling Keluarga, Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ketika bercakap mengenai permasalahan remaja.

Menurut beliau, stres wujud apabila sumber permintaan sekeliling melebihi keupayaan yang ada pada diri sendiri.

Beliau memberi contoh aspek pendidikan, di mana ibu bapa meletakkan jangkaan yang sangat tinggi terhadap pencapaian akademik anak masing-masing.

"Memang ada ibu bapa yang berkemampuan sanggup mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi memastikan anak mereka cemerlang tetapi keadaan ini akan menekan jiwa anak. "Kasihan melihat anak yang dipaksa belajar bukan untuk memenuhi cita-cita mereka tetapi untuk memenuhi hasrat ibu bapa," kata Sarada.

PERANAN IBU BAPA

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya melihat dahulu sama ada mereka telah memainkan peranan yang sebaiknya dalam membantu merealisasikan kecemerlangan itu sebelum meletakkan tekanan ke atas anak. Ini termasuk menyediakan keperluan asas seperti buku, peralatan serta tempat belajar.

Kelengkapan yang cukup adalah penting dalam memastikan anak dapat belajar dengan selesa di samping ibu bapa sendiri mengikuti perkembangan dan kemajuan anak di sekolah. Menurut Sarada, anak mula rasa tertekan sekiranya mereka merasa mustahil untuk mencapai kejayaan yang tinggi hingga akan berputus asa, kecewa dan murung setelah gagal mencapai impian ibu bapa. "Keadaan bertambah buruk apabila ibu bapa mula marah setiap kali anak gagal mendapatkan markah yang baik," tambahnya. Beliau berkata, dalam hal ini, perkara yang penting ialah meletakkan harapan berdasarkan kemampuan diri anak. "Ini adalah perkara yang amat penting dalam proses membimbing anak dengan sempurna. Ibu bapa perlu berbincang dengan anak tentang sasaran itu dan bagaimana mereka boleh membantu. "Cara ini yang terbaik kerana anak akan merasa sasaran yang diletakkan itu adalah sasaran mereka bukan sasaran ibu bapa," Sarada memberitahu Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Bangunan LPPKN, Jalan Raja Laut di sini baru-baru ini.

TAMBAH STRES

Anak termasuk remaja juga boleh menjadi bertambah stres sekiranya mereka sering melihat ibu bapa bertelagah.

"Secara tidak langsung, emosi anak akan menjadi amat tertekan, tambahan jika menduduki peperiksaan. Anak yang terbeban dengan keadaan yang penuh dengan konflik itu tidak akan dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan peperiksaan. "Mereka mungkin berkongsi masalah dengan rakan yang kemudian memberi sesuatu untuk mententeramkan perasaan mereka. "Kebetulan ia bukan panadol tetapi bahan yang boleh mengkhayalkan di mana akhirnya mereka boleh terjerumus melakukan perkara-perkara di luar jangkaan. Inilah antara kesan jika keluarga sering berkonflik secara berpanjangan tanpa mencari sebarang jalan penyelesaian," jelas Sarada.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada anak yang akan lari dari rumah kerana terlalu tertekan dengan konflik ibu ayah dan isu tersendiri yang tidak dapat dikongsi dengan ibu bapa.

"Mungkin mereka mempunyai teman lelaki dan termakan pujukan. Kerana terlalu percayakan teman lelaki untuk menjaga diri mereka, akhirnya mereka melakukan perkara yang boleh merosakkan diri mereka.

"Jadi, bukankah semuanya ini bermula dari rumah," kata Sarada.

JAGA EMOSI

Beliau lalu menyarankan pasangan yang mahu bertengkar supaya tidak melakukannya di depan anak.

Anak akan hilang kepercayaan terhadap ibu bapa jika sering menyaksikan mereka bergaduh.

Bila anak itu berkahwin, mereka mungkin menggunakan cara penyelesaian yang sama iaitu bergaduh untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya, terutama sekali apabila mereka melihat ibu mereka didera ayah secara fizikal atau emosi.

Sekiranya anak mereka adalah lelaki dan kemudian beristeri, mereka mungkin turut melakukan kekerasan ke atas isteri mereka seperti yang dilakukan oleh ayahnya. "Jadi, anak akan belajar kemahiran menyelesaikan masalah melalui apa yang dilihat dalam kehidupan persekitaran keluarganya.

"Oleh yang demikian, ibu bapa perlu lebih prihatin dan menjadi model contoh dalam keluarga.

"Jangan terlalu beremosi di depan anak. Kalau perlu juga bertengkar lakukan di bilik tidur. Beritahu dulu anak yang emak dan ayah mahu berbincang perkara yang agak serius.

"Beritahu juga, walaupun bergaduh, ibu dan ayah tetap sayang kamu," katanya, sambil menjelaskan kata-kata positif dapat mengukuhkan ikatan keluarga.

"Tolonglah jaga emosi anak," Sarada berpesan lagi.

Beliau berkata, menjadi remaja adalah tempoh yang kritikal di mana mereka mudah dipengaruhi terutama oleh rakan sebaya. "Sebab itulah remaja selalu digalakkan berkongsi sebarang isu atau emosi mereka dengan orang yang dipercayai, kalau tidak dengan keluarga, dengan kaunselor," katanya.

ANAK KECIL

Dalam soal stres dan anak kecil, Sarada berkata, mereka boleh mengalami tekanan jika pergerakan mereka terlalu dikawal atau disekat.

Anak kecil, katanya perlu dibenarkan bermain kerana ia juga satu bahantara pendidikan dan terapi terbaik untuk menangani stres. "Malangnya apa yang berlaku sekarang, ada segelintir ibu bapa menganggap rumah seperti muzium, semuanya mesti teratur dan kemas, tidak boleh bersepah sedikit. "Bermain juga penting untuk membina proses pemahaman, pembelajaran, pembinaan kognitif dan kendiri kanak-kanak," tambahnya.

Sarada turut menyentuh hakikat, semakin ramai ibu bapa menghantar anak ke taska atau tadika seawal usia tiga tahun.

Bermain, bagi kebanyakan anak hanyalah apabila mereka berada di premis berkenaan dan bila balik ke rumah mereka dikerah buat kerja rumah dan sering dilarang bermain. "Ingat semasa waktu alam kanak-kanak kita, ibu ayah lepaskan kita bermain dan lihat bagaimana ia membantu perkembangan diri dan personaliti kita," katanya.

Sarada juga menegur sikap sesetengah ibu bapa yang lebih gemar membelikan pelbagai gajet permainan elektronik daripada membenarkan anak bermain sesama anak ataupun kawan sebaya.

"Tidak ada ruang untuk berinteraksi serta komunikasi yang efektif. Ini kurang menyeronokkan. "Anak juga kurang masa yang kualiti bersama emak dan ayah," kata Sarada yang juga kaunselor berdaftar.

BERI MASA

Sarada turut memberi senario anak yang merasa tertekan kerana kurang perhatian ibu bapa.

Sudahlah waktu siang mereka dihantar ke taska atau tadika, sekembali dari sekolah, dijaga pula pembantu rumah.

Hakikatnya, sesetengah ibu bapa yang bekerja memang mempunyai masa yang begitu terhad dengan anak.

Ada yang sekadar bertanya kerja sekolah dan kemudian menyuruh anak masuk tidur setelah selesai kerja sekolah.

Kasih sayang ibu bapa yang begini adalah seperti mengguna kad Touch & Go. Sekejap sangat masa yang diluangkan. Itu pun mungkin pada hujung minggu, jika tidak sibuk melayari internet atau menonton televisyen atau video.

Rutin kehidupan yang seperti ini hanya akan merenggangkan hubungan kekeluargaan sehingga menjadikan anak merasa tersisih dan tidak mendapat kasih sayang yang mencukupi daripada ibu bapa mereka.

Keadaan yang sedemikian sudah tentunya akan mendorong anak keluar rumah dan menghabiskan masa bersama kawan.

Ibu bapa berperanan memberikan anak mereka sebanyak mungkin sokongan dan juga kasih sayang supaya anak merasa lebih senang dan selesa berada di rumah.

Seperti kata Sarada, hubungan erat yang sedemikian membuatkan anak sering merasakan rindu kepada ibu dan ayah.

"Kenapa? Sebab mereka ini bukan sahaja menyayangi anak tetapi menghormatinya sebagai seorang individu. "Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah makan bersama-sama terutama malam. Cuba mulakan sebarang perbualan, contoh perkara yang digemari oleh anak. Bantu mereka buat kerja sekolah atau melihat buku kerja dan latihan mereka.

"Jika tidak, cukup sekadar menunjukkan minat pada apa yang mereka belajar. Ibu bapa juga boleh menghadiri semua acara sukan atau aktiviti anak. Bagi sokongan dan galakan," katanya.

Di samping itu, ibu bapa juga boleh sama-sama bermain permainan kegemaran anak seperti catur, scrabble atau uno di samping menonton rancangan televisyen kegemaran mereka bagi mengekalkan hubungan mesra.

SIAPKAN DIRI

Belum bersedia dan tidak bersedia untuk menjadi ibu bapa. Faktor ini ada kesannya kepada cara seseorang ibu atau ayah mendidik anak atau melaksanakan tanggungjawab keibu bapaan.

Demikian pandangan Katherine Loo Saw Moay, seorang lagi Pegawai Psikologi LPPKN dalam wawancara dengan Bernama.

Menurut beliau, ada ibu merasa tertekan apabila mendengar suara anak menangis kerana emosinya tidak bersedia untuk menjadi seorang ibu ditambah tidak mendapat sokongan suami.

"Ada juga isteri yang murung selepas melahirkan anak tetapi suami tidak mengendahkan," jelas Katherine, juga kaunselor berdaftar.

Sehubungan itu, pasangan yang ingin berkahwin perlu tahu peranan dan tanggungjawab sebagai isteri dan suami sebelum meneruskan hajat mereka.

Bagi Katherine, konflik berlaku dalam mana-mana keluarga, yang penting cara mengendalikan konflik.

"Masing-masing berbeza dari segi latar belakang. Masing-masing ada cara sendiri dan memanglah kita selesa dengan cara kita tetapi selepas berkahwin, kena cari cara kita, cara bersama.

"Tolak ansur itu amat penting. Suami atau isteri perlu buat perubahan apabila sudah berkahwin. Banyakkan berbincang dan berkomunikasi," jelas Katherine.

KURSUS PRA-PERKAHWINAN

Bagi mengurangkan tekanan dalam rumah tangga yang akan turut memberi kesan kepada anak, LPPKN menyediakan kursus pra-perkahwinan.

Pakej kursus yang dikenali sebagai "SMARTSTART" (Panduan untuk Pengantin Baru) ini adalah untuk pasangan yang mahu atau baru berkahwin.

Kursus ini ditawarkan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil.

Kursus yang diperkenalkan sejak 2006 meliputi pelbagai modul.

Antaranya, Persediaan Perkahwinan, Komunikasi Yang Berkesan, Kesihatan Keluarga, Kehamilan dan Kelahiran, Alam Keibubapaan, Menguruskan Sumber Keluarga, Menangani Tekanan dan Konflik serta Undang-Undang Keluarga. Menurut Katherine, pasangan yang mendaftar untuk pakej Smart Start ini digalakkan datang secara bersama.

"Untuk kursus dua hari ini, kita hanya mengenakan bayaran RM50 sepasang. Kita juga berikan buku panduan yang lengkap dengan pelbagai maklumat kepada pasangan untuk dijadikan rujukan, " tambahnya.

MANFAAT KURSUS

Katherine berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan untuk menganjurkan kursus itu. Pakej kursus ini boleh juga dimanfaatkan bagi mereka yang sudah lama berkahwin bagi menyemarakkan kembali rasa cinta dan kasih sesama pasangan.

"Kadang kala sibuk dengan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa sehinggakan lupa keseronokan menjadi suami isteri. Sekurang-kurangnya dua kali setahun pergilah bercuti bersama.

Letakkan anak di tempat yang selamat, mungkin dengan ahli keluarga yang dipercayai, datuk atau nenek sebelum pergi bercuti.

"Ini dapat mengurangkan tekanan, mengeratkan hubungan suami isteri serta menyemarakkan api cinta," Sarada mencelah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain