KUALA LUMPUR: Berjalan semasa tidur, walaupun bukan sejenis gangguan yang mengancam nyawa, namun memberi risiko kepada individu berkenaan, dan orang lain.Ini berlaku kepada pelancong warga Denmark yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan tiga terbunuh dekat Nilai, Negeri Sembilan. Dalam kemalangan pada Julai 2010 di km 277.5 laluan ke utara Lebuh raya Utara-Selatan itu, keretaKenneth Jakobsen berlanggar dengan sebuah kereta lain, menyebabkan kematian tiga lelaki di dalamnya.Dua laporan kesihatan menyelamatkan Jakobsen, 29, setelah didapati beliau mempunyai penyakit berjalan semasa tidur atau 'sleepwalking' sehingga menyebabkannya hilang ingatan ketika melakukan perbuatan itu.Walaupun beliau boleh menarik nafas lega terhadap keputusan itu, namun kejadian itu memberi ingatan akan bahaya yang dihadapi orang lain dan mereka yang menghadapi gangguan tidur berjalan ini.Lebih-lebih lagi tidur berjalan ini bukan gangguan yang terpencil tetapi biasa dihidapi golongan kanak-kanak dan awal remaja.Mereka bukan sahaja boleh berjalan semasa tidur, tetapi juga boleh melakukan perbuatan seperti membuang air di dalam tandas, memandu kereta, bercakap, membuka pintu almari atau lebih bahaya lagi boleh mencederakan orang lain dan membunuh tanpa menyedarinya.KANAK-KANAK DAN AWAL REMAJAMenurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pantai, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman, penyakit berjalan semasa tidur ini biasanya berlaku pada kanak-kanak dan awal remaja yang berumur lingkungan 3 hingga 14 tahun. " Kebiasaannya penyakit itu hilang dengan sendirinya ketika pesakit berusia lewat remaja," katanya.Beliau berkata kanak-kanak dan awal remaja lebih mudah mendapat masalah ini berbanding orang dewasa disebabkan kitaran tidur mereka yang masih belum matang seperti orang dewasa.Kebiasaannya satu kitaran tidur yang lengkap dengan pergerakan mata pantas atau Rapid Eye Movement (REM) dan bukan REM, mengambil masa selama kira-kira 90 hingga 100 minit dan setiap malam seseorang itu melalui beberapa pusingan tidur REM dan bukan REM.Setiap pusingan itu dibahagikan kepada lima fasa dan tidur berjalan dikatakan berlaku semasa nyenyak di dalam tidur bukan REM (fasa tiga atau empat) di awal malam.Dr Daniel Zainal menarik perhatian bahawa seseorang itu kebiasaannya melalui kitaran tidur hingga peringkat empat dan lima secara puratanya. Namun apa yang berlaku pada kanak-kanak dan awal remaja, putaran tidur mereka hanya sampai ke peringkat empat.Tambahan pula, putaran peringkat tiga dan empat kanak-kanak dan awal remaja itu tidak sama dengan dewasa."Terdapat perkara-perkara sensitif yang berlaku pada fasa tiga dan empat yang menyebabkan kecenderungan untuk berlaku sleepwalking. Sebab itu pada peringkat akhir remaja, kebanyakan 80 hingga 90 peratus penyakit tidur berjalan yang dihadapi hilang sebab putaran fasa tidur mereka telah matang," katanya.TINGKAH LAKU SEMASA TIDUR BERJALANDr Daniel berkata mereka yang mengalami masalah tidur berjalan, kebiasaannya tidak akan mencederakan dirinya sendiri. Selain sukar untuk bangun, mereka juga tidak memberi tindak balas ketika bercakap dengannya."Ketika ia berlaku, mata pesakit akan terbuka dan kelihatan berkaca-kaca namun tidak ada memori ketika itu yang menyebabkan mereka tidak ingat apa yang berlaku."Kalau dia bercakap pun, butiran perkataan yang keluar itu perlahan dan sukar difahami. Senang kata, istilahnya, bercakap merepek," katanya.Kebiasaannya, mereka akan duduk di atas katil dan kemudian berjalan serta melakukan perbuatan yang berulang-ulang. Ketika itu jangan dikejutkan mereka, sebaliknya perlahan-lahan tunjukkan mereka supaya kembali tidur."Penderita juga tidak melaluinya setiap malam, sebaliknya berlaku secara berkala, mungkin seminggu sekali, atau sebulan sekali," katanya.FAKTOR DI SEBALIK TIDUR BERJALANSelain daripada faktor genetik yang menyebabkan kecenderungan seseorang itu berjalan semasa tidur, ia banyak disebabkan masalah psikologi seperti tekanan perasaan yang terbawa-bawa di dalam tidur.Ini boleh juga berlaku pada kanak-kanak yang pernah mengalami penderaan seksual terutama daripada ahli keluarga terdekat yang memberi tekanan emosi kepada mangsa, katanya.Selain itu 'post traumatic stress disorder' yang melibatkan trauma luar biasa berikutan tragedi yang menimpa seperti peperangan, gempa bumi, taufan , kehilangan orang yang tersayang dan sebagainya turut menyebabkan seseorang itu terbangun malam, termimpi-mimpi dan mengingau serta berjalan semasa tidur."Tekanan serta keadaan-keadaan itu menyebabkan mereka tidak mampu untuk tidur dengan sempurna dan menyebabkan mereka mudah mendapatnya."Sekiranya jadual tidur yang tidak teratur seperti kanak-kanak berumur 2-3 tahun yang susah hendak tidur, mereka juga mendapat kecenderungan itu begitu juga orang dewasa yang berhadapan dengan situasi sama," katanya.Menurut Dr Daniel, kanak-kanak yang mempunyai sawan, demam dan denyutan jantung yang tidak teratur juga sering berdepan dengan masalah tidur berjalan.Pada orang dewasa pula, ia sering terjadi berikutan pengambilan ubat-ubat yang merangsang seperti ubat tidur dan dadah seperti syabu."Secara amnya, penyakit ini sering terjadi pada mereka yang berhadapan dengan konflik dan tekanan jiwa terutama yang sudah lama dan tidak diselesaikan."Semuanya ini perlu dirawat dan kebiasaannya selepas mendapat rawatan, dalam tempoh dua minggu mereka akan pulih sekiranya tidak menghadapi masalah lain."Namun ada juga kes tertentu terutama membabitkan tekanan yang mana ia berterusan sehingga dewasa. Ini memerlukan pemantauan rapi," katanya.CARA ATASI MASALAH TIDUR BERJALANMengenai diagnosisnya, Dr Daniel berkata kebiasaannya doktor akan mengenal pasti faktor yang menyebabkan berlaku masalah bagi memudahkan merujuk pada pakar tertentu. Sebagai contoh, sekiranya berpunca daripada denyutan jantung yang tidak teratur, beliau akan menasihatkan pesakit merujuk kepada pakar jantung.Namun sekiranya membabitkan tekanan perasaan, trauma yang dahsyat atau masalah tidur yang tidak teratur, beberapa langkah perlu diambil untuk menangani tekanan."Keadaan hipnosis akan dilakukan bagi mencungkil masalah-masalah yang dihadapi serta mengajar teknik untuk bertenang bagi mengurangkan keresahan mereka selain diberi ubat-ubatan seperti pil penenang," katanya.Teknik-teknik menenangkan jiwa yang boleh dilakukan antaranya ialah meditasi, yoga atau zikir bagi orang beragama Islam. Selain itu, untuk membantu penderita tidur berjalan ini, aspek keselamatan harus dititik beratkan di dalam bilik atau di dalam rumah bagi mengelakkan kecederaan."Walaupun mereka tidak akan mencederakan dirinya, namun dibimbangi barang-barang di dalam rumah yang tidak selamat boleh mencederakan mereka seperti benda tajam dan yang mudah pecah seperti kaca yang perlu dijauhi," katanya.Langkah lain dengan memasang pintu keselamatan di luar bilik mereka atau di tangga serta menambah kunci keselamatan pada pintu bagi mengelakkan seseorang yang tidur berjalan ini keluar dari rumah. -BERNAMA