suria

Monyets & Yaks Bakal Tawan Annapurna Demi Kanak-Kanak Terpinggir

Pasukan Monyets & Yaks (MYTeam) ketika ekspedisi mereka ke Kem Pangkalan Everest di Nepal pada 2011.
Pasukan Monyets & Yaks (MYTeam) ketika ekspedisi mereka ke Kem Pangkalan Everest di Nepal pada 2011.
Pasukan Monyets & Yaks (MYTeam) ketika ekspedisi mereka ke Kem Pangkalan Everest di Nepal pada 2011.

EKSPEDISI pendakian kali ini sedikit berbeza dengan ekspedisi mereka ke Kem Pangkalan Everest di Nepal yang terletak pada ketinggian 5,400 meter pada 2011.

Berbeza, kerana kali ini pasukan Monyets & Yaks (MYTeam) menggalas dua cabaran serentak dalam usaha mereka menawan puncak Annapurna yang juga terletak di negara dan jajaran pergunungan sama bersaiz maha besar itu.

Cabaran pertama tentunya sejauh mana kemampuan serta ketahanan mental dan fizikal setiap pendaki bagi menjayakan program yang dinamakan 'Trek For A Cause' ini.

Tidak mudah untuk mendaki menelusuri trek sepanjang 80 kilometer yang terletak di Banjaran Himalaya ini sebelum bendera Malaysia dapat dikibarkan di Thorung La yang mencapai ketinggian maksima 5,416 meter (17,770 kaki).

Ditambah suhu yang menurun sehingga kira-kira -10 darjah Celcius dengan permukaan batuan dilitupi salji, hanya mereka yang mempunyai azam tinggi serta persediaan mantap sahaja yang mungkin mampu menaklukinya.

Namun MYTeam bersedia berdepan segala macam cabaran dan halangan pendakian.

Lebih membanggakan, kesemua 12 ahli pasukan ini juga sanggup menggalas satu lagi tanggungjawab apabila pendakian mereka disertai matlamat mengumpul dana demi membantu kanak-kanak terpinggir sebelum disalurkan kepada Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) untuk diuruskan.

"Kami pasukan pendaki amatur, naik gunung secara suka-suka dan sukarela sambil mencari dana.

"Dana ini akan digunakan untuk menampung keperluan pendidikan golongan sasar paling memerlukan iaitu kanak-kanak masyarakat Orang Asli, kanak-kanak pelarian dan kanak-kanak yang tiada dokumen pengenalan seperti kanak-kanak Bajau Laut di Sabah," kata Dr G. Balamurugan yang mengetuai pasukan pendaki MYTeam dalam ekspedisi kali ini ketika ditemuramah mStar Online sebelum berlepas ke Nepal.

Dr Bala dan pasukannya memulakan pendakian dari Katmandu pada 14 Mac dan dijangka tiba semula di tanah air pada 30 Mac.

Dari Katmandu, mereka akan mendaki ke Besi Sahar sebelum meneruskan pendakian ke Thorung La yang dijangka mengambil masa 12 hari dan kemudiannya turun ke Jomsom untuk berlepas pulang ke Malaysia.

"Jika semuanya berjalan lancar, kita jangka akan tiba di puncak pada pukul 9 pagi 25 Mac. Kita berharap dapat mencapai dua matlamat ini, menawan dan mengumpul dana. Dengan persediaan dan jika semua ahli mengikut arahan pendakian saya yakin impian ini akan terlaksana," katanya.

Cabar Diri Redah Trek Terbaik Di Dunia

Berbekalkan semangat dan keazaman yang tinggi, setiap pendaki, di atas nama pasukan akan cuba menawan puncak Annapurna yang menjadi salah sebuah daripada 10 puncak gunung tertinggi dunia dalam memastikan matlamat murni mereka terlaksana.

Sebagai pencinta alam Dr Bala dengan rasa teruja menegaskan Annapurna menjadi pilihan disebabkan keadaan trek yang mencabar dan pemandangannya yang cukup indah.

Katanya, sebelum mencapai ketinggian 3,000 meter, keadaan trek agak mendatar di tebing bukit sambil pendaki disajikan dengan pokok-pokok yang tumbuh di sekitarnya.

"Trek pendakiannya adalah antara tiga yang terbaik dalam dunia, tidak hairanlah ia begitu popular di kalangan pendaki sejak tahun 60-an.

"Cabaran mendaki di sini datang secara berperingkat terutama selepas ketinggian 3,000 meter yang mana oksigen semakin berkurangan. Di sini pokok, mahupun rumput tidak ada, yang ada hanya batu dan ais sahaja.

"Pada masa inilah kebanyakan pendaki akan berdepan masalah AMS (Accute Mount Sickness) yang akan membuatkan mereka sakit kepala, mual, muntah-muntah, sukar bernafas dan susah berjalan, malah mungkin boleh membawa maut. Begitu juga risiko ribut salji dan angin kencang," katanya.

Sedang asyik bercerita tentang masalah yang mungkin dihadapi mereka, beliau juga tidak mahu terlepas bercerita tentang pemandangan indah yang bakal tersaji di depan mata mereka kelak.

"Kita sudah merancang sejak sembilan bulan lalu. Setiap hari saya akan membayangkan diri kami di sana, itulah yang menaikkan semangat kami untuk terus mengumpul dana dan membuat persediaan sepatutnya," katanya sambil menunjukkan gambar-gambar pemandangan yang pernah dirakamkan pendaki Annapurna melalui komputer ribanya.

Beliau berkata setiap pendaki yang berusia 35 hingga 55 tahun melakukan persediaan secara individu memandangkan masing-masing mempunyai karier sendiri.

"Saya berenang pada waktu pagi mendaki beberapa bukit sebelum berangkat. Bagaimanapun, kekuatan mental juga penting," katanya.

Tambahnya, setiap sen dana yang dikumpul akan disalurkan terus kepada Muslim Aid kerana segala perbelanjaan pendakian dibiayai sendiri oleh pendaki.

Mendaki Sambil Beramal

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Muslim Aid, Habsah Marjuni berkata publisiti yang diterima hasil usaha pasukan pendaki ini mampu menarik perhatian orang ramai untuk menyumbang bagi membantu kanak-kanak terpinggir dan tercicir daripada menerima pendidikan.

Katanya, sudah menjadi tanggungjawab organisasi bukan kerajaan itu menjalankan tanggungjawab mencari dana bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada golongan yang paling memerlukan tanpa mengira kepercayaan atau suku kaum.

"Kita menyasarkan sebanyak RM100,000 untuk mengisi tabung ini. Setakat ini kita berjaya kumpul lebih kurang RM70,000 dan kita amat berterima kasih kepada individu dan syarikat korporat yang memberi sokongan.

"Usaha menyediakan pendidikan untuk golongan kanak-kanak ini adalah usaha berterusan, jadi kita akan terus menerima sumbangan orang ramai walaupun pasukan pendaki telah berjaya menawan Annapurna," katanya.

Mengulas lanjut Habsah berkata sumbangan yang diterima akan digunakan sebaiknya dalam usaha mereka memberikan pendidikan asas kepada golongan sasaran.

"Di Pulau Mabul atau di Semporna Sabah misalnya kita akan cuba mencari guru-guru untuk mengajar kanak-kanak di sana yang tidak pernah menerima pendidikan.

"Begitu juga kanak-kanak pelarian dan kanak-kanak Orang Asli yang kita akan beri bantuan sewajarnya seperti mengadakan kelas motivasi, kelas tambahan dan kasih sayang," katanya.

Ekspedisi kali ini memperlihatkan penglibatan dua warga Muslim Aid sendiri termasuk pengarahnya, Wan Rosli Wan Muda dan seorang lagi ahli, Amir Effendi Abdul Rahim.

Wan Rosli, yang tidak mempunyai pengalaman mendaki gunung sebelum ini berkata beliau menyahut cabaran kali ini kerana simpati dan ingin melihat anak-anak terpinggir mendapat pelajaran.

Katanya, pada mulanya terdapat rakan-rakan yang yang kurang bersetuju dengan pemilihan Annapurna untuk tujuan tabung pendidikan ini dan mencadangkan lokasi ditukar ke Mekah untuk mendapat cabaran yang lebih.

"Cabaran ke Mekah untuk menguji keimanan dan taqwa diri sendiri manakala ke Annapurna lebih kepada cabaran berkumpulan di samping pendaki terdiri daripada pelbagai kaum dan agama," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain