JOHOR BARU: Barisan Nasional (BN) tidak perlu terikut-ikut dengan 'tarian' DAP dalam mempertaruh penasihatnya Lim Kit Siang sebagai calon kerusi parlimen Gelang Patah pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13,) kata pengerusi BN kawasan itu Datuk Abdul Aziz Sapian.Beliau berkata tidak ada keperluan bagi BN untuk mengikut jejak langkah DAP menampilkan 'pemimpin besar' bertanding di kawasan itu."Adalah lebih baik untuk BN mengetengahkan pemimpin tempatan di kawasan ini, seorang yang lebih tahu tentang isu dan permasalahan yang membelenggu masyarakat tempatan."Kita tidak perlu terikut dengan rentak DAP yang mempertaruhkan orang luar (Lim) untuk mencari penyelesaian tempatan. Beliau (Lim) mempunyai pengetahuan yang kosong tentang Gelang Patah," katanya.Berikutan keputusan DAP meletakkan Lim di situ, terdapat spekulasi yang B Njuga berkemungkinan meletakkan nama besar dalam kalangan pemimpin MCA untuk mencabarnya.Antara nama pemimpin MCA yang disebut berpotensi untuk dicalonkan ialah Presiden MCA Datuk Chua Soi Lek dan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.Sebelum ini, pengerusi MCA Gelang Patah Jason Teoh dikhabarkan sebagai calon pilihan MCA di situ.Pada pilihan raya umum 2008, calon BN Tan Ah Heng berjaya mempertahan kerusi Gelang Patah dengan mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Zaliha Mustafa dengan kelebihan 8,000 undi.Abdul Aziz yang juga anggota dewan undangan negeri Nusajaya, satu daripada kerusi negeri dalam kawasan parlimen Gelang Patah berkata penduduk tempatan akan kerugian jika memilih Lim sebagai wakil rakyat mereka.Rekod veteran DAP itu yang sering berpindah kerusi parlimen sepanjang karier politiknya, kata Abdul Aziz, bukti jelas tentang tahap perkhidmatan yang bakal ditawarkannya.Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembara Jalinan Kasih anjuran Jabatan Penerangan Malaysia di Kampung Baru Muafakat, Gelang Patah pula, Abdul Aziz menyifatkan Gelang Patah bakal menjadi tapak 'kubur' kepada kerjaya politik Lim.Ini kerana rakyat di kawasan itu tidak dapat menerima pemimpin yang hanya tahu berjanji tetapi gagal menunjukkan prestasi, katanya."Kenapa dia nak pindah ke Gelang Patah? Tak lain tidak bukan sebab wakil rakyat Ipoh Timur ini (Lim) tidak memberikan perkhidmatan yang terbaik di kawasan itu menyebabkan rakyat berdendam."Sebab itu dia datang ke Gelang Patah, tetapi rakyat tahu tipu muslihatnya yang hanya mahu tempat dan bukannya mengutamakan perjuangan untuk rakyat," katanya. BERNAMA